1 TAHUN 10 KEROSAKAN PEMERINTAHAN PAKATAN HARAPAN


1 TAHUN 10 KEROSAKAN PEMERINTAHAN PAKATAN HARAPAN
28 April 2019M | 22 Syaaban 1440H

Setahun berlalu, rakyat mula muak dengan mainan politik kerajaan Pakatan Harapan. Keputusan-keputusan politik yang diambil oleh Pakatan Harapan tidak jauh beza dengan kerajaan Barisan Nasional dahulu, bahkan lebih teruk lagi. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memandang serius kerosakan-kerosakan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan.
10 kerosakan utama yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan sepanjang setahun pemerintahan:

1. Institusi Islam dan Agama Islam
Kerisauan utama kita melalui pemerintahan Pakatan Harapan adalah nasib Islam di tangan pemerintah. Bermula dengan pelantikan Menteri Agama dengan kontroversi istilah ‘Hifz Ad-din’ yang menyebabkan kekeliruan rakyat, menteri yang memperkecilkan isu pakaian pekerja menutup aurat, memberi ruang kepada pendokong LBGT dan liberalisme untuk terus menyebarkan ideologi kononnya atas dasar intelektual dan menghindari diskriminasi, pertikaian relevensi JAKIM dan banyak lagi isu yang menggugat institusi Islam, agama persekutuan Malaysia.

2. Perundangan
Kita juga tidak lupa kisah-kisah yang menimbulkan kontroversi di Malaysia seperti pelantikan peguam dan hakim negara, kisah “tarik tali” berkaitan pemberian royalti negeri-negeri pengeluar minyak dan gas, kes Banglo Lim Guan Eng dan banyak lagi.

3. Kemahasiswaan
Janji terhadap mahasiswa terus terkubur; kononnya dikatakan bayaran semula PTPTN adalah bermula apabila gaji mencecah RM4000, malangnya sehingga ke hari ini menteri masih membisu. Kebajikan mahasiswa hilang entah kemana bahkan tidak disebut langsung dalam bajet 2019 dan. Kebebasan daripada cengkaman politik yang mahu diberikan kepada Universiti Awam (UA) malah menjadi fatamorgana semata.

4. Institusi Diraja
Kerajaan Pakatan Harapan juga dilihat gagal memantau isu-isu berkaitan penghinaan Agong dengan baik. Sepatutnya kerajaan Pakatan Harapan lebih tegas dalam isu-isu berkaitan Institusi Diraja. Kisah “perang media terbuka” yang disaksikan antara Tun M bersama TMJ juga tidak seharusnya berlaku.

5. Perpaduan Kaum
Isu di Kuil Sri Maha Mariamman yang menyebabkan kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib sehingga kini masih dalam pertikaikan, malah ditambah kenyataan-kenyataan kontroversi Menteri Perpaduan yang memarakkan lagi kemarahan rakyat. Kita juga kesal dengan sijil UEC yang ingin diiktiraf, penggunaan bahasa mandarin dalam kenyataan rasmi negara dan penggunaan Bahasa Inggeris oleh PDRM.

6. Integriti Pengurus Tadbir
Dimanakah integriti pengurus tadbir negara seandainya ramai yang telahpun terlibat dalam penipuan sijil akademik? “Politicking” melampau pula seolah-olah menjadi darah daging pemimpin sehingga lupa untuk melaksanakan kerja. Tidak lupa juga budaya fitnah yang terus berlegar dalam kalangan menteri. Budaya lompat-melompat parti juga perlu terus diingati pasca-pilihanraya yang telahpun menggugat kredibiliti pemenang kerusi pilihanraya.

7. Kos Sara Hidup Tinggi
Janji hanya populis, yang dikatakan harga minyak akan turun RM1.50 masih pada paras lebih kurang sama, janji pendidikan percuma seolah-olah lenyap daripada kotak pemikiran kementerian, tol yang dijanjikan hapus hanya berakhir dengan alasan-alasan seorang politikus. GST yang bertukar SST tidak memberi perubahan signifikan pun pada kos sara hidup rakyat.

8. Kedaulatan Negara
Ancaman terus diberikan terhadap kedaulatan negara Malaysia. Bagaimana ICERD yang tergopoh-gapah ingin diratifikasi tanpa kajian lanjut seolah-olah dilihat berkepentingan oleh golongan tertentu yang ingin menggugat kedaulatan Negara. Begitu juga dengan isu Statut Rom. Perundangan Negara juga menjadi satu masalah apabila akta-akta yang dijanjikan untuk dimansuhkan dalam manifesto gagal untuk dikaji dengan baik walaupun setahun berlalu pemerintahan.

9. Kredibiliti Pemimpin
Di samping kerosakan integriti urus tadbir, Pakatan Harapan juga gagal menampilkan barisan kepimpinan yang berkredibiliti. Ber’kanda adinda’ walaupun memegang jawatan menteri agama, memburuk-burukkankan Malaysia seolah-olah sangat menindas golongan minoriti walaupun menjadi Menteri Perpaduan. Tidak lupa juga pemimpin yang separuh jalan menarik diri dan pemimpin yang gopoh menggilai jawatan perdana menteri.

10. Koalisi bersama DAP
Koalisi bersama DAP merupakan kerosakan terbesar Pakatan Harapan dalam Malaysia Baharu. DAP yang menjadi dalang kuat yang menyokong ICERD, UEC dan Statut Rom. DAP juga memiliki rekod yang banyak khususnya dalam membuktikan beberapa perkara yang dilihat anti-Islam.

Menyaksikan kerosakan demi kerosakan ini, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) akan melancarkan satu himpunan di Sogo, KL hari ini bagi menyambut kegagalan Pakatan Harapan mengemudi negara dengan baik.

“MARA BERSAMA ISLAM”

IKHWAN NASHRIQ BIN SALAHIN
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

#1Tahun10KerosakanPH
#MaraBersamaIslam

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!