Agong Tonggak Syariah

Otak ligat memikirkan mengapa tajuk ini diangkat sebagai teks khutbah jumaat yang lalu. Menjadi tanggungjawab Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk menyediakan teks khutbah mingguan. Soalnya, mengapa tajuk ini menjadi perhatian Jabatan Agama Islam? Akhirnya saya mendapat jawapan tatkala muqaddimah khutbah mula dibaca. Mengembalikan ingatan semula bahawa minggu hadapan 24 April 2017 adalah hari pertabalan Yang Di-Pertuan Agong ke-15.

 
Saya tidak mahu menyentuh secara rinci perbahasan berkenaan ‘Agong Tonggak Syariah’ kerana ia akan terkait dengan perbahasan fiqh. Penulisan ini lebih berbentuk perkongsian santai.
Daulat Tuanku.
Merafak sembah dan setinggi tinggi Ucapan Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V atas pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bertarikh pada 24 April 2017 bersamaan 27 Rejab 1438H.

 
Majlis pertabalan yang di-Pertuan Agong ke-15 adalah upacara adat istiadat istana yang amat dinantikan oleh rakyat Malaysia setiap lima tahun, sekali gus menjunjung sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan yang menjadi amalan di negara ini.
Bertepatan dengan Hari pertabalan ke-15 ini.  Suka saya berkongsi dengan rakan-rakan bagaimana sistem Pemerintahan negara tercinta Malaysia iaitu *Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan* berfungsi.

 
Demokrasi Berparlimen

 
Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat atau wakil rakyat. Secara asasnya Demokrasi adalah ‘dari rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’.

 
Demokrasi terbahagi kepada dua iaitu demokrasi berparlimen dan demokrasi berpresiden. Penulisan ini mengfokuskan kepada demokrasi berparlimen. Dalam sistem ini, parlimen ialah badan perundangan yang tertinggi. Ahli parlimen dipilih dalam pilihanraya umum yang selalunya diadakan sekurang-kurangnya lima tahun sekali. Parlimen ialah badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang negara.
Raja Berperlembagaan
Di Malaysia, pentadbiran raja berperlembagaan dipimpin oleh Seri Paduka Baginda  Yang Di-Pertuan Agong (YDPA)  sebagai ketua negara yang bertanggungjawab menjaga hak dan kepentingan Orang melayu dan urusan umat islam. Yang di-Pertuan Agong juga bertindak sebagai tampuk tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (perkara 41).

 
Raja dan sistem monarki adalah suatu perkara sama. Monarki ialah negara yang pemerintahannya dikuasai oleh Raja Atau Sultan. Sesuai dengan ungkapan ‘monos archein’ yang bermaksud ‘satu pemerintahan’. Namun, struktur pemerintahan di Malaysia sedikit berbeza dan lebih istimewa. Hal ini kerana, Malaysia mengamalkan Monarki Demokratik ( walaupun ada sesetengah pihak kurang bersetuju dengan terma ini)  yang bermaksud takhta Yang di-Pertuan Agong akan bergilir-gilir di kalangan raja-raja dari 9 Negeri iaitu Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, kedah, Perak, Selangor dan Johor setiap lima tahun.

Apakah yang dimaksudkan dengan Raja Berperlembagaan?

 
Raja berpelembagaan bermaksud sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagaan dan nasihat Perdana Menteri. Baginda tidak boleh bertindak bersendirian kecuali dalam perkara tertentu atas budi bicara Baginda.

 
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Negara Malaysia terdiri daripada kelainan bangsa dan budaya. Falsafah ‘kesetiaan kepada Raja dan Negara’ memperjelaskan kepada kita bahawa Raja adalah simbol perpaduan dalam menyikapi kepelbagaian ini. Dan ini adalah hasrat dan tujuan pembentukan identiti mana-mana negara. Raja berperanan besar dalam mengimbangi keadilan dan kesamarataan tanpa mengira bangsa, agama, puak, status sosial dan status fiskal. Rakyat seharusnya memberi memberi sepenuh ketaatan kepada Baginda demi kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan maju.
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)  sesi 2017 mendoakan semoga ALLAH Subhanahu wata’ala memberkati pemerintan Seri Paduka Baginda Tuanku.

Sirru Ala Barakatillah

Berjalanlah dengan Keberkatan Allah.

Muhammad Syukri Bin Alimar Shidi

Presiden

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2017

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!