Aleppo Menangis, Hiraukah Kita?

Saban hari, siri penindasan umat Islam silih berganti. Dunia dikhabarkan berita sedih dari segenap penjuru bermula dari Gaza yang dizalimi tiada henti, seterusnya etnik Rohingya yang ditindas tanpa siapa peduli, Turki yang diserang dengan tragedi ngeri dan hari ini Syria pula menangisi kerakusan serta kezaliman Rejim Assad yang bertubi-tubi.

Bukan soal berapa ramai yang terkorban perlu dikira, bukan soal berapa jumlah peluru yang diguna, tetapi soal hiraukah kita terhadap penderitaan mereka yang perlu ditanya kepada seluruh dunia.

Mereka menanggung derita yang tidak terduga, tetapi kita masih berkira untuk meluangkan masa menyedarkan dunia perihal mereka.

Mereka kehilangan semua harta benda tetapi kita masih leka menghirup keindahan dunia yang sementara.

Mereka sudah tidak punya sesiapa, tetapi kita masih melengah-lengahkan usaha membela nasib saudara seagama.

Sedarlah wahai penduduk dunia, mereka saudara kita yang perlu dibela. Mereka saudara kita yang perlukan perhatian dunia.

Genggam eratlah kata-kata baginda yang menyebut seorang mukmin dengan mukmin yang lain seperti binaan yang saling kuat menguat antara satu sama lain.

Bangkitlah wahai penduduk dunia. Kita bukan diarah berperang mengangkat senjata, cuma diseru mengangkat tangan menadah doa. Kita juga bukan disuruh ke sana menentang tentera, cuma mengharap rintihan hamba di satu pertiga malam dengan bangkit dari lena.

Semoga dunia mula membuka mata. Semoga kita anak muda juga mengambil cakna. Ayuh teruskan berdoa dan khabarkan kepada seluruh dunia sesungguhya saudara kita didera tanpa dosa yang dilakukan mereka!

Majlis Penerangan dan Informasi,

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia

GAMIS 2016/2017

 

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!