ANALISIS RINGKAS PILIHANRAYA KAMPUS UKM 2018

2. Kelibat ASPIRASI tidak kelihatan pada tahun ini dilihat antara faktor kepada lahirnya REPUBLICAN dan REVOLUSI. Selain faktor luaran iaitu pengaruh daripada kekalahan Barisan Nasional pada PRU-14, kehilangan ASPIRASI juga dilihat atas faktor masalah dalaman seperti kekurangan jentera yang beralih arah kepada Republican, entiti baharu bertapak di Kolej Pendeta Za’ba dan Kolej Burhanuddin Helmi.

3. INSPIRASI satu-satunya entiti yang masih wujud pasca PRK UKM 2017 dan dilihat cukup bersedia dengan pembawakan yang jelas. Mereka telah memperkenalkan FORMULA INSPIRASI berdasarkan konsep (+, -, ×, ÷). Namun, sepanjang pemerhatian pergerakan kempen, mereka agak tenggelam berbanding Republican dan Demokrat. Inspirasi lebih kelihatan menyerlah dalam aspek media baru. Kekuatan INSPIRASI paling ketara adalah nilai prinsip perjuangan yang didokong tatkala pesaing mereka (REPUBLICAN +DEMOKRAT) mengumumkan kerjasama politik, INSPIRASI tetap dengan kekuatan bersendirian. Malah, mampu menguasai majoriti kerusi UMUM 1/2 dan mendapat undi tertinggi bagi kedua-dua kerusi UMUM setiap tahun. Perkhabaran terbaru mula kedengaran REVOLUSI akan bergabung dengan pakatan REPUBLICAN pasca PRK UKM 2018. Sama-sama kita nantikan apa akan berlaku selepas daripada PRK ini.

4. REPUBLICAN walaupun baru ditubuhkan, dengan kekuatan jentera kolej mereka (Kolej Pendeta Za’ba dan Kolej Burhanuddin Helmi) berjaya mendapatkan kerusi paling banyak dalam PMUKM. Hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ASPIRASI pada zaman kegemilangan mereka menguasai setiap kolej kediaman dan ditambah dengan sistem PRK UKM yang penuh dengan ketirisan. Namun, tidak dinafikan persiapan jentera REPUBLICAN agak tersusun dan berusaha membentuk para calon mereka melalui kekuatan kempen. Mereka juga mengangkat nilai kebebasan suara kepada mahasiswa apabila mengadakan Debat Presiden dan perkembangan ini cukup baik untuk politik mahasiswa UKM.

5. DEMOKRAT pula dilihat kekuatan mereka pada calon-calon yang pernah dinaikkan sebagai MPP sebelum ini. Namun, kejutan terbesar adalah kekalahan Zulhelmi Sidek (mantan MPP FPI 2017/2108) yang juga Pengerusi Demokrat menjadi salah satu sebab kekuatan Demokrat pada kali ini bukanlah pada calon, tetapi mereka berjaya menguasai undi mahasiswa yang menjadi kelompok minoriti di UKM. Cuma, persoalannya mengapa DEMOKRAT mengadakan kerjasama politik dengan REPUBLICAN dan pada yang sama mereka menentang antara satu sama lain.

6. REVOLUSI dibalik logo seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), penggerak dibelakang mereka adalah Tindakan Siswa Bersatu (TSB). Tanpa menafikan, TSB adalah kelompok yang menjadi tulang belakang kepada ASPIRASI sebelum ini. TSB juga telah melahirkan pemimpin-pemimpin mahasiswa yang kini menjadi nadi utama perjuangan UMNO seperti Budiman Mohd Zohdi dan Farhan Khairuddin. Dibalik nama REVOLUSI, boleh dikatakan entiti ini
adalah mereka-mereka yang masih setia dengan ASPIRASI perjuangan UMNO dan kekuatan mereka boleh dikatakan kuat walaupun tidak lagi menggunakan nama ASPIRASI seperti sebelum ini.

7. Calon bebas seramai 4 orang yang berjaya memenangi kerusi MPP tidak boleh dipandang sepi. Mereka ini adalah “king maker” yang bakal menentukan suara majoriti dalam PMUKM. Malah, kekuatan mantan calon MPP UKM 2017/2018, Tan Pui San, menunjukkan calon bebas ini mempunyai perancangan mereka tersendiri dan sudah pasti setiap entiti akan mula merisik untuk mengadakan kerjasama politik.

RUMUSAN

Secara peribadi saya melihat, Pilihanraya Kampus UKM pada tahun ini adalah yang terbaik berbanding sebelum-sebelum ini. Antara faktornya adalah, reformasi Kementerian Pendidikan Malaysia yang mahu membersihkan PRK daripada anasir-anasir kotor seperti sebelum ini. Pada tahun ini juga, jawatankuasa pelajar telah dilantik oleh UKM untuk memantau sepanjang perjalanan PRK. Namun, terdapat juga beberapa perkara yang memerlukan penambahbaikkan seperti peratusan turun mengundi yang menurun. Jumlah keseluruhan turun mengundi pada tahun ini sebanyak 75.30 % berbanding tahun lalu (2017) adalah 82.56%. PUSANIKA telah mencatatkan peratusan pengundian terendah (25% sahaja). Hal ini mungkin disebabkan ada yang terlibat dengan latihan industri dan mungkin ada yang mengambil sikap tidak mahu berpartisipasi dalam mengundi. Pihak Jawatankuasa Pemilihan MPP perlu memikirkan inisiatif tambahan bagi menyelesaikan isu ini kerana jika tidak ditangani, bimbang ia akan memberi kesan pendidikan politik yang tidak sihat kepada mahasiswa UKM.

Selain itu, masih ada isu-isu ketidakmatangan dalam berpolitik seperti risalah fitnah dan saraf, banner calon diconteng dan replika “pocong” ASPIRASI. Kes-kes tersebut masih dalam keadaan terkawal. Malah pada tahun ini, persaingan secara idea tampak lebih jelas melalui wacana sihat yang dianjurkan, kebebasan dalam berkempen di kolej tanpa halangan dan penghasilan manifesto antara calon.

Majlis Perwakilan Pelajar UKM telah dipilih dan tidak lama lagi Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) bakal dibentuk. Semoga tiada lagi isu pulau-memulau antara MPP sepertimana pada zaman ASPIRASI. Kepada INSPIRASI, REPUBLICAN, DEMOKRAT, REVOLUSI dan juga wakil bebas, terima kasih kerana telah berpartisipasi dalam arena politik kampus UKM. Bumi varsiti masih kekal dengan kerancakan politik kampus dan telah mara selangkah kehadapan menuju kepada reformasi sistem PRK yang lebih baik. 11 Oktober 2018 telah menjadi saksi, kepada mahasiswa UKM, tiba masa anda menjadi semak dan imbang yang baik kepada PMUKM kelak!

Di peringkat GAMIS, proses Reformasi Sistem PRK akan diteruskan. Setakat ini, perkembangan yang berlaku di UKM mendapat reaksi positif. Momentum ini perlu diteruskan ke kampus-kampus lain.

“ISTIQAMAH BERSAMA ISLAM”

MUHAMMAD HAFIZUDDIN BIN MUHAMMAD
Majlis Politik Nasional
GAMIS 2018

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!