April Fool’s Day : Hentikan Lawak Bodoh!

1 April merupakan tarikh yang sinonim dengan perayaan April Fool di Negara Barat. Sejarah  perayaannya dikaitkan dengan suatu tragedi yang sangat menyedihkan iaitu kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol pada tahun 1487M(892 H) akibat diserang oleh tentera-tentera Kristian setelah berkurun lamanya Kerajaan Islam dibina di bumi Granada. Persoalannya, apakah cerita yang dilihat sebagai fakta sejarah ini benar? Sebagai ummat Islam, kita diajar untuk berlaku adil walaupun dengan musuh. Kadangkala, dalam kesungguhan sesetengah Muslim untuk membuang segala unsur yang tiada kaitan dalam Islam,  ada yang sanggup menggunakan cerita yang tidak diketahui kebenarannya sebagai hujah untuk mengatakan sesuatu aktiviti itu tidak Islamik. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan asal-usul April Fool adalah rekaan, cuma tiada bukti fakta sejarah mengenainya. Apa yang menjadi catatan sejarah, April Fool berasal dari pertukaran Tahun Baru kalendar Gregorian(Masihi) dari 1 April ke 1 Januari pada tahun 1564M, bertentangan secara faktanya kejatuhan Kerajaan Islam Granada ke tangan Kristian pada 2 Januari 1492M. Dengan menghebahkan cerita yang tidak berasas kepada fakta yang tepat, niat baik untuk menyucikan aktiviti yang terdapat dalam Islam daripada tempias agama lain sebaliknya telah menyebabkan Islam ditertawa dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam dengan mengatakan bahawa Islam didokong oleh manusia-manusia paranoid yang takutkan bayang-bayang sendiri dan didirikan atas dasar kebencian dan permusuhan.

            Walauapapun sejarah atau asal-usul disebalik sambutan April Fool’s Day, umum mengetahui bahawa tradisi sambutan ini dilakukan dengan persiapan yang teliti dan dengan perancangan senario yang akan membuatkan mangsa berasa cemas atau sedih dengan cerita-cerita rekaan palsu yag mengejutkan. Sambutan ini dilihat hanya sebagai gurauan oleh sebahagian Muslim. Namun, Presiden Persatuan Ulama Dunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi menyatakan bahawa menipu adalah satu sifat yang buruk dan tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ianya satu petanda kemunafikan. Sambutan April Fool dilarang kerana 4 sebab iaitu larangan menipu yang sudah termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah, ketakutan dan kesedihan yang tidak berasas, pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan dan meniru budaya buruk yang bukan dari Islam.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu walaupun dengn tujuan menghiburkan manusia. Baginda bersabda :

“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.”

[HR Abu Daud, at-Tarmizi dan an-Nasaie]

Mendepani masalah tersebut, golongan mahasiswa mesti berperanan terjun ke lapangan dengan maklumat yang mempunyai nilai epistemologi yang berkualiti. Setiap perkara atau maklumat mestilah diselidiki kesahihannya. Islam sangat menghormati ‘takhossus’(pengkhususan bidang), maka dalam apa perkara yang terjadi, rujuklah kepada orang yang mempunyai autoritatif. Internet mempunyai kuasa mempengaruhi masyarakat yang sangat kuat yang mana apabila digunakan dengan bijak, ianya boleh menjadi alat mempercepatkan penyebaran keindahan Islam.

Walaubagaimanapun, samada sejarah itu sahih ataupun tidak, April Fool’s Day tetap haram disambut oleh Muslim kerana ianya mempunyai unsur-unsur penipuan, ketidakjujuran dan boleh merosakkan hubungan silaturrahim antara Muslim. Pihak media elektronik khususnya pihak penyiaran televisyen mesti menghentikan semua rancangan yang mempunyai unsur ‘prank’ seperti Wakenabeb, BangBangBoom dan lain-lain. Segala aksi yang sebahagaiannya dicedok daripada rancangan Just For Laugh itu adalah jelas terkeluar daripada nilai-nilai Islam.

Penulisan ini terdedah kepada kesalahan kerana sehebat mana kita mengkaji dan berfikir, Allah tetap Maha Mengetahui. Wallahua’lam.

Muhammad Zami Zakwan Bin Shamsudin
Universiti Teknologi Malaysia
Presiden Ikatan Generasi Y Parlimen TUMPAT ( I GET )

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!