GAMIS: Greentea Talk 4 Malaysia

:: Ulasan Diskusi Bulanan 1.0 ::

MAHASISWA & MAHATHIR
“Membongkar Sejarah Gerakan Mahasiswa”

Realiti gerakan mahasiswa abad ini bukan semata-mata dilihat rencam tapi sepatutnya mengangkat martabat ilmu dan idea segar agar sama-sama memikirkan solusi yang matang untuk ke arah lebih baik.

Diskus santai malam tadi jelas menunjukkan masih ramai mahasiswa di luar sana yang ingin sekali bersama gerakan mahasiswa untuk mengembalikan status quo yang sepatutnya mereka terima kerana ini fungsi universiti pada awalnya ia ditubuhkan.

Perlu wujud dua kebebasan yang seiring iaitu “positive and negative freedom” agar akal dan tindakan seorang mahasiswa itu mampu menyumbang kepada kegemilangan negara, bukan menjadi pak turut politikus.

Kehadiran mahasiswa dalam arena siasah di kampus sememangnya membuka ruang dan peluang yang besar kepada pentas politik di peringkat nasional mahupun antarabangsa kerana bilangan kita yang ramai tersangat mampu untuk mengembalikan kepincangan politik Malaysia.

Ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat mahasiswa dari pelbagai kampus yang turun semalam bagi memeriahkan diskusi ilmiah dengan lontaran persoalan dan idea yang sangat baik ke arah memperkasa gerakan mahasiswa yang sedia ada khususnya gerakan mahasiswa Islam.

Terima kasih tidak terhingga kepada mahasiswa USIM yang menjadi tuan rumah untuk diskusi pertama ini, walaupun tidak dapat menembusi kampus, namun menjadi cita-cita buat kami anak muda untuk merealisasikan fungsi universiti sebagai ruangan bebas berbincang perihal dan hak ummah.

Harapan kami agar perbincangan dua hala ini tidak terhenti setakat ini, tapi mampu menjadi kayu ukur untuk terus disalurkan ruang intelektual ini kepada rakyat-rakyat di luar sana.

Suara mahasiswa menjadi medan kepada hak rakyat!

Buktikan anak muda mampu menjadi peneraju kepada kegemilangan negara dan agama pada masa akan datang. Jika bukan kita, siapa lagi?

Nantikan siri kedua diskusi bulanan bawah kelolaan Majlis Politik Nasional (MPN) GAMIS pada bulan hadapan.

Insya Allah kami akan bawakan perbincangan ilmiah yang lebih menarik dan lebih hangat agar ruangan ilmu ini terus mekar dan menjadi rutin buat mahasiswa dan rakyat agar tidak kosong dalam menggerakkan sesebuah gerakan mahasiswa. Terima kasih.

Sedia berkhidmat,
Muhammad Qayyum Mohd Nasir (Pengerusi MPN)
Nursyima Nadia Mohamad Hidayat (Timbalan Pengerusi MPN)

Anjuran:
Majlis Politik Nasional (MPN)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2016/2017

18 Mac 2016 | Jumaat | 12.30pm

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!