GAMIS Kecam Kekejaman Terhadap Rakyat Mesir

1533605_760335607313039_1629598126_nGabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam sekerasnya tindakan Mahkamah Mesir mengenakan hukuman mati terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin dan rakyat Mesir iaitu seramai 529 orang. Antaranya, Dr Mohammad Badie, Mursyid Am Ikhwanul Muslimin dan Dr Saadu Katatni, Presiden FJP dan bekas Speaker Parlimen Mesir turut disabitkan hukuman mati oleh Mahkamah di Minya, Selatan Kaherah.

Susulan itu juga, pada 25 Mac 2014, seramai 700 orang penyokong Dr Mursi bakal melalui perbicaraan yang sama atas tuduhan palsu membunuh seorang anggota polis dan serangan ke atas orang awam dan harta benda.

GAMIS melihat plot jahat ini sudah lama dirancang dalam skrip musuh gerakan Islam dunia. Tidak lain tidak bukan, mereka hanya mahu menguburkan suara kebangkitan Islam pasca ‘Arab Spring’. Mereka sedar bahawa penguasaan politik Mesir oleh Ikhwanul Muslimin pasti akan mengubah landskap geo-politik serantau Timur Tengah dan sekaligus memberi impak besar kepada dunia. Mereka tidak akan terus berdiam diri dan Barat juga telah berbohong dengan laungan demokrasi mereka sendiri.

Ikhwanul Muslimin bukanlah asing dalam panggung politik dunia bermula di era diktator Jamal Abdul Naser hingga regim Husni Mubarak. Sudah ramai ahli Ikhwanul Muslimin menjadi mangsa sembelihan anak didik Firaun.

Pasca kudeta 2 Julai tahun lalu, regim tentera yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah el-Sisi dan Presiden palsu, Hakim Adly Mansour terus memperkosa demokrasi dan suara rakyat yang dipilih melalui Pilihanraya Mesir. Keputusan mahkamah hari ini merupakan salah satu siri rentetan untuk memadamkan kebangkitan rakyat yang tidak henti-henti.

Justeru itu, GAMIS berpendirian dengan jelas bahawa;

1. GAMIS mengecam tindakan kejam dan salahguna kuasa kerajaan palsu Mesir terhadap rakyat dan penyokong Ikhwanul Muslimin. Kembalikan demokrasi yang bersih dan muliakan suara rakyat.

2. GAMIS mendesak kerajaan Malaysia untuk menyatakan pendirian tegas dengan membantah tindakan regim zalim. Kerajaan Malaysia tidak patut menjadi kerajaan pekak dan bisu terhadap isu-isu umat Islam sedunia.

3. GAMIS mahu seluruh institusi agama, para mufi dan golongan alim-ulama’ mengeluarkan fatwa dan pendirian mengenai hukuman mati yang dijatuhkan.

4. GAMIS mengajak dan menyeru seluruh rakyat Malaysia dan mahasiswa untuk menunjukkan solidariti dan sikap peduli dengan mengadakan program kesedaran rakyat dan bantahan di setiap tempat.

Sehubungan itu juga, GAMIS akan mengadakan “ PIKET BANTAH KEKEJAMAN TERHADAP RAKYAT MESIR” pada 25 Mac 2014 ( hari ini ) di hadapan SOGO bermula jam 2 petang. Tema piket adalah warna hitam. GAMIS mengajak semua rakyat untuk hadir sebagai tanda solidariti untuk rakyat Mesir.

ABDUL MALIK BIN AB RAZAK
Presiden GAMIS
25 Mac 2014

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!