GAMIS KECAM TINDAKAN UKM – SOLIDARITI 4 UKM6

 

Kebebasan bersuara dan semangat demokrasi kampus sekali lagi dalam sejarah mahasiswa Malaysia dicabul apabila enam orang mahasiswa bakal dibicara pada 7/10 (Rabu), esok di mahkamah Universiti Kebangsaan Malaysia. Enam orang mahasiswa UKM tersebut adalah Rahmat Ikhsan, Abd Kahar, Hannah Mat Sofi, Asheeq Ali, Zaki Syukor, Lee Jun Keong yang akan dibicarakan atas pertuduhan menghadiri Siri Jelajah Kampus GST di UKM yang dianjurkan oleh GAMIS pada bulan Mac 2015.

Penganjuran Jelajah Kampus tersebut yang menyaksikan beberapa siri pidato di kampus-kampus utama Lembah Klang bertujuan memberi pencerahan kepada mahasiswa akan kesan pelaksanaan GST terhadap rakyat, agar mahasiswa mampu menilai dengan sendiri baik buruk GST.

Setakat ini UKM satu-satunya universiti yang mengeluarkan pertuduhan terhadap mahasiswa tempatan yang terlibat, bahkan UKM seringkali tanpa gagal membuktikan betapa lemahnya tahap keterbukaan dan tingginya sifat kuku besi pentadbiran universiti tersebut terhadap mahasiswa yang gemar bersuara.

Pertuduhan terhadap enam orang mahasiswa tersebut membuktikan keteguhan mahasiswa untuk terus setia memperjuangkan nasib rakyat. GST yang genap enam bulan perlaksanaannya jelas telah menindas rakyat Malaysia.

Sara hidup semakin tinggi, ringgit pula merudum nilainya, apa lagi yang tinggal untuk generasi akan datang? Pertuduhan tersebut juga menunjukkan gagalnya pentadbiran UKM memahami jerit perih rakyat, khususnya staf dan mahasiswa UKM yang juga terkesan dengan perlaksanaan GST. Yang sepatutnya, enam orang mahasiswa tersebut diberi anugerah oleh UKM kerana menperjuangkan nasib rakyat.

Mahasiswa akan terus mara walau apapun yang berlaku. Generasi Syabab akan sentiasa bangkit, demi memastikan obor kebenaran terus marak, dan segala bentuk kemungkaran dan kezaliman terkubur.

Sama-sama kita turun nyatakan solidariti terhadap enam orang duta masyarakat, esok jam 8.30 pagi di hadapan Pusanik UKM, Bangi. Seruan kepada seluruh mahasiswa dan rakyat yang tolak GST dan cintakan kebenaran.

Saiful Mujahid Mohd Fadzil
Pengerusi Majlis Politik Nasional
GAMIS

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!