GAMIS Tuntut PRK Bersih, Adil di KPM

10698479_829213683775633_2295078056211074591_nJUMAAT – Penipuan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kampus-kampus di seluruh Malaysia pada Pilihanraya Kampus (PRK) lalu mendorong tuntutan GAMIS di hadapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini.

Menurut Muhammad Najib, Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) GAMIS, mahasiswa mendesak kementerian melakukan tindakan segera dalam tempoh seminggu dari tarikh memorandum dihantar.

“Kami mahasiswa tidak teragak-agak untuk mengadakan himpunan lebih besar bagi menuntut pilihanraya kampus (PRK) lebih saksama sekiranya KPM tidak bertindak dengan segera sebelum menjelang PRK tidak lama lagi,” kata beliau.

“Sudah bertahun-tahun mahasiswa ditipu dan diperdayakan dengan peraturan-peraturan dan tindakan oleh HEP yang mengelola PRK dengan penuh mencurigakan. Tahun ini kami akan pastikan ketelusan dari pihak HEP, ini adalah amaran awal daripada kami.”

Bantahan memorandum adalah persetujuan bersama beberapa front mahasiswa lain antaranya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Gerakan Demokratik Mahasiswa & Belia (DEMA) dan beberapa front lain.1899902_829213657108969_1448173134232061481_n

Berikut merupakan intipati memorandum:

PENDAHULUAN

Selepas setahun mahasiswa di seluruh Malaysia mengundi di dalam Pilihanraya Kampus [PRK] bagi memilih wakil mereka di dalam kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa [MPM] atau Persatuan Mahasiswa Universiti [PMU], sistem PRK dilihat masih gagal untuk mengalami sebarang proses transformasi mahupun reformasi untuk tujuan penambahbaikan. Hal ini dapat dilihat melalui perjalanan PRK yang telah dilalui oleh dua buah kampus, iaitu Universiti Teknologi Malaysia [UTM] dan Universiti Sains Malaysia [USM] yang mana tarikh PRK mereka telah diumumkan secara mengejut, menyebabkan calon-calon yang tidak pro-pentadbiran menghadapi kesukaran untuk membuat persediaan bagi menghadapi proses ini.

ISU BERBANGKIT

Di dalam Pilihanraya kampus yang lalu [2013] telah terjadi beberapa insiden yang telah merosakkan nilai demokrasi kampus, antaranya :

1.Pihak HEP secara sengaja telah menyembunyikan tarikh PRK daripada pengetahuan mahasiswa sehingga mengganggu persiapan calon-calon serta pihak-pihak yang terlibat dengan PRK.

2.Campurtangan melampau pihak HEP sehingga menyebabkan krisis perlantikan Presiden MPP UIAM.

3.Peraturan PRK telah dipinda mengikut cita rasa HEP walaupun tanpa dokumen “hitam putih” mahupun makluman awal terhadap calon-calon mahupun pihak-pihak yang terlibat dengan PRK.

4.Peraturan dan undang-undang pilihanraya yang berbeza di setiap kampus walaupun dasarnya dicedok dari undang-undang yang sama [AUKU].

5.Pihak HEP telah memberikan “kelebihan” buat calon-calon pilihan mereka melalui bantuan-bantuan seperti dana, justeru menekan calon-calon lain yang bertanding.

6.Tempoh berkempen yang terlalu singkat, sedangkan di sesetengah kampus, sebahagian calon yang tidak pro-pentadbiran telah dihalang untuk meraih undi di sesetengah kawasan seperti di kolej kediaman.

TUNTUTAN

Justeru itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia [GAMIS] bersama-sama dengan gabungan mahasiswa yang lain menuntut :

1.Kementerian mengisytiharkan tarikh Pilihanraya Kampus dengan segera.

2.Menyediakan satu undang-undang pilihanraya yang sama serta mengikut lunas-lunas demokrasi untuk setiap kampus di seluruh negara.

3.Menghentikan perlaksanaan sistem e-undi [e-voting] yang sedang dilaksanakan di majoriti kampus IPTA di seluruh negara, serta kembali kepada sistem pengundian secara manual.

4.Membenarkan pemantaun proses pilihanraya kampus oleh badan-badan bebas dan diiktiraf seperti SUHAKAM dan PEMANTAU.

5.Penglibatan pihak mahasiswa di dalam menstruktur dan menentukan perjalanan PRK.

6.Tempoh berkempen yang lebih panjang, iaitu seminggu berbanding 3 hari yang sedang diamalkan sekarang.

PENUTUP

Kami berpendirian bahawa tuntutan kami wajar diberi perhatian oleh pihak Menteri dan Kementerian, memandangkan sistem Pilihanraya Kampus di Malaysia bukan sahaja memerlukan reformasi secara besar-besaran, bahkan memerlukan rombakan besar-besaran bagi menjamin keutuhan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Kami juga menuntut pihak Kementerian untuk memberikan respon atau menjawab segala tuntutan kami seperti yang dinyatakan di atas di dalam masa TUJUH [7] hari. Sekiranya pihak Kementerian gagal untuk memberikan sebarang respon atau jawapan berkenaan tuntutan-tuntutan ini, maka pihak kami tidak akan teragak-agak untuk membuat tindakan susulan.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!