GAMIS wakil tunggal Mahasiswa Malaysia ke The 10th Pioneer Forum 2018, Istanbul

ISTANBUL, 12 Oktober 2018 : Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah menghadiri sebuah persidangan antarabangsa bagi membincangkan isu Baitul Maqdis dan Palestin selama dua hari beturut-turut di Istanbul, Turki.

Persidangan The 10th Pioneer Forum 2018 ini telah dianjurkan oleh The Global Coalition For Quds and Palestine (GCQP) dengan bantuan Kerajaan Turki dan berjaya menghimpunkan sebanyak 92 perwakilan NGO antarabangsa yang hadir daripada 26 buah negara Islam dan bukan Islam.

Diantara negara yang telah mengambil bahagian dalam perhimpunan ini adalah Bahrain, Kazakhstan, Afghanistan, Malaysia, Indonesia, Oman, Mauritania, Bangladesh, Somalia, Azerbaijan, Tunisia, Bosnia, Mali, Pakistan, India, Burkina Faso dan juga tuan rumah, Turki.

Ketua Biro Politik HAMAS, Khaled Meshaal telah dijemput untuk memberikan ucapan aluan kepada seluruh NGO Islam yang hadir di dalam Persidangan ini. Ucapan beliau yang sarat dengan fakta perkembangan perjuangan HAMAS terkini telah membuka mata aktivis-aktivis yang hadir dan meningkatkan motivasi mereka untuk lebih serius membantu usaha pembebasan al-Quds dan Palestin.

Bersama Syeikh Muhammad Nazzal, Pimpinan HAMAS.

GAMIS sebagai wakil tunggal mahasiswa Malaysia dalam perhimpunan ini telah diwakili oleh dua orang pimpinan GAMIS iaitu Presiden  dan Pengerusi Jabatan Kajian & Intelektual GAMIS, Saudara Muhammad Faizzuddin Mohd Zai dan Saudara Muhammad A Rahman.

Sepanjang Persidangan ini berlangsung, perbincangan telah dibahagikan kepada 15 kluster wacana, antaranya ialah kluster atlet, kluster jurutera, kluster perundangan, kluster kesihatan dan kluster anak muda. Diantara isi perbahasan utama dalam perhimpunan ini adalah kesatuan ummah, strategi pembebasan Palestin daripada cengkaman Zionis, bantuan kepakaran kepada Palestin dan juga isu sekatan ekonomi antarabangsa.

GAMIS juga pada masa yang sama telah berjaya membina hubungan strategik peringkat antarabangsa apabila berpeluang untuk bertemu dengan wakil-wakil NGO/NGI  daripada negara lain seperti Dr Sharif (Palestin), Auntie Anne Wright (Amerika Syarikat), Sheikh Khalil Almabrouk (Turki), Sheikh Muhammad Nazzal (HAMAS) dan tokoh – tokoh anak muda Islam peringkat antarabangsa yang lain.

GAMIS mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada GCQP kerana telah megambil tanggungjawab ini untuk menghimpunkan aktivis-aktivis Islam daripada seluruh negara dan kami mendoakan agar usaha yang gemilang ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

“Istiqamah Bersama Islam”

Muhammad Imran bin Bahrudin
Naib Presiden 2,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Bersama Aunty Anne Wright, Wakil Wanita Amerika Pro Palestin.

 

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!