GAMIS4PRU14: ANALISIS PILIHAN RAYA UMUM 1959-2013

Oleh: Jabatan Kajian Intelektual GAMIS 2018

PENGENALAN

Pilihan raya ialah suatu proses memilih wakil rakyat untuk memerintah sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan. Pilihan raya juga merupakan elemen penting dalam pengamalan sistem demokrasi. Bagi Persekutuan Tanah Melayu peruntukan untuk mengadakan pilihan raya telah termaktub dalam Perjanjian Persekutuan 1948 yang telah menjanjikan akan berlangsungnya suatu pilihan raya di Tanah Melayu pada masa yang sesuai.

Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan yang berasaskan amalan demokrasi berparlimen. Demokrasi berparlimen ialah satu sistem kerajaan yang dipilih secara bebas oleh rakyat melalui pilihan raya dan bertanggungjawab kepada rakyat. Pemilihan ini dilakukan secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur. Rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas layak untuk menjadi pengundi bagi setiap Pilihan Raya Umum yang diadakan setiap 5 tahun sekali.

ANALISIS PRU 1959

Sejarah pertama Pilihan Raya Umum bagi Persekutuan Tanah Melayu adalah pada 27 Julai 1955 iaitu sebelum Tanah Melayu merdeka. PRU pada tahun 1959 merupakan pilihan raya kedua selepas kemerdekaan. Melalui pilihan raya ini, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO (United Malays National Organisation), MCA (Malaysian Chinese Association), dan MIC (Malaysian Indian Congress) telah memenangi 74 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan. Gabungan tersebut telah bertahan selama 10 tahun pemerintahan kerajaan sehinggalah tercetusnya tragedi 13 Mei 1963 yang memecahkan keharmonian antara kaum di Malaysia akibat masalah perpaduan yang mempunyai kaitan yang rapat dengan Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969.

ANALISIS PRU 1964

Pilihan raya kedua berlaku pada 1964 selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura. Pilihan raya tersebut tidak melibatkan Sabah, Sarawak dan SIngapura tetapi masih mengekalkan jumlah kerusi parlimen iaitu 104 kerusi. Selain itu, Parti Perikatan berjaya memenangi 15 kerusi lebih dari PRU 1959 iaitu sebanyak 89 kerusi.

ANALISIS PRU 1969

Tanggal 10 Mei 1969 menjadi sejarah buat negara Malaysia apabila tarikh ini diumumkan sebagai tarikh Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke-3. Pilihan raya umum ini juga merupakan pilihan raya pertama yang disertai oleh dua negeri Timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak yang tidak menyertai Pilihan Raya Umum ke-2 pada tahun 1964 setelah kedua-dua negeri ini menyertai Tanah Melayu dan membentuk sebuah negara yang digelar Malaysia pada tahun 1963. Tarikh pilihan raya bagi kedua-dua negeri Timur Malaysia ini berlainan sedikit daripada tarikh pengundian bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Tanggal 10 Mei sehingga 25 Mei 1969 telah diumumkan sebagai tarikh pengundian bagi negeri Sabah, manakala tarikh pegundian negeri Sarawak pula adalah pada 10 Mei – 7 Jun 1969. Pilihan raya ini mencatatkan peningkatan bilangan kerusi Dewan Rakyat daripada 104 kerusi kepada 144 kerusi dan 330 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. Sebanyak 12 buah parti politik yang bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri, antaranya Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC, PAS, Gerakan, DAP dan PPP serta beberapa parti politik yang lain.

Keputusan PRU ke-3 merupakan keputusan yang amat penting dalam sejarah politik negara kerana keputusan tersebut mencatatkan kejayaan parti-parti pembangkang dalam menggugat kedudukan Parti Perikatan yang menguasai majoriti kerusi untuk membentuk sebuah kerajaan pada pilihan raya yang lepas. Parti Perikatan telah kehilangan penguasaan dua pertiga DUN di Kedah, Terengganu, Perak, Selangor dan Sarawak. Keputusan PRU ke -3 ini memberi kesan yang sangat besar terhadap politik negara sehingga terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 kerana terdapat parti politik yang mencetuskan sentimen perkauman sehingga terjadinya pertumpahan darah yang dahsyat pada ketika itu.

Selain itu, rusuhan kaum ini juga berjaya meruntuhkan perlembagaan negara sehingga tertubuhnya Majlis Gerakan Negara (Mageran) serta berjaya melumpuhkan politik Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman yang dianggap pro-Cina dan penyebab kepada Pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965. Setelah itu, Parti Perikatan telah diwajah-barukan dengan nama baru iaitu Barisan Nasional. Rentetan daripada peristiwa-peristiwa tragis yang berlaku sepanjang PRU ke-3 ini, munculnya politik perkauman yang amat kuat sehingga berjaya mendominasi politik negara yang bermula dari tahun 1970 hingga 2007 di bawah pengaruh BN.

ANALISIS PRU 1974

Pilihan Raya Umum ke-4 yang berlaku pada 24 Ogos 1974 merupakan pilihan raya umum pertama sejak Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Keahlian Parti Perikatan yang dikenali sebagai Barisan Nasional setelah PRU ke-3 kian bertambah semenjak tahun 1971 yang merangkumi 10 parti politik termasuk PAS. Menjelang pilihan raya, berlaku pertikaian antara parti-parti politik terhadap peruntukan kerusi sehingga timbul pendapat bahawa parti campuran Barisan Nasional tidak akan kekal lama. Sebelum berlakunya hari pengundian, PR telah mengumumkan 21 simbol yang mewakili setiap parti politik pada 1 Ogos 1974. Keputusan PRU ke-4 ini telah mencatatkan ramai calon Barisan Nasional yang memenangi kerusi tanpa bertanding iaitu sebanyak 47 kerusi Parlimen dan 43 kerusi Dewan Undangan Negeri yang berjumlah 90 buah kerusi keseluruhannya.

Tun Abdul Razak telah berjaya mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang memenangi kerusi tanpa bertanding. Sejumlah empat juta pengundi telah keluar membuang undi untuk memilih 107 calon bagi kerusi Parlimen dan 317 calon bagi Dewan Undangan Negeri. 104 buah kerusi Parlimen dan 283 kerusi negeri telah berjaya disapu bersih oleh Barisan Nasional. Keputusan pengundian pilihan raya pada kali ini telah melaporkankan bahawa Barisan Nasional berjaya memperoleh kemenangan 100 peratus diperingkat negeri terutamanya negeri Pahang, Kelantan dan Perlis. Ringkasnya, daripada 82 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Semenanjung Malaysia telah berjaya dimenangi oleh Barisan Nasional sebanyak 72 buah kerusi.

ANALISIS PRU 1978

Pilihan Raya Umum yang ke-5 melaporkan bahawa sebanyak 131 kerusi Parlimen daripada 153 jumlah kerusi Parlimen yang dipertandingkan telah dimenangi oleh Barisan Nasional. Setelah 19 tahun PAS mentadbir Kelantan, akhirnya Barisan Nasional berjaya merampas kekuasaan pemerintahan PAS di negeri serambi Mekah tersebut. Sebelum PRU berlaku, PAS telah dikeluarkan daripada Barisan Nasional dan kembali berada di posisi parti pembangkang disebabkan oleh perselisihan dalaman. Selepas kekalahan PAS di Kelantan, PAS menjadikan Kedah sebagai kubu baru dengan kempen berterusan bahkan PAS tidak lagi memberi perhatian dalam memperjuangkan tradisi atau adat kaum Melayu akan tetapi lebih banyak memperjuangkan undang-undang Islam.

Keputusan PRU mencatatkan Barisan Nasional sebagai parti yang berjaya memenangi kebanyakan kerusi di Parlimen manakala di peringkat negeri pula BN mencatatkan kemenangan sebanyak 239 buah kerusi daripada 257 buah kerusi yang dipertandingkan. Ini bermakna, BN telah berjaya menguasai seluruh kerajaan pusat mahupun negeri. Walaupun PAS mengalami kekalahan yang agak teruk, namun masih ramai pengundi Melayu di Utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang setia memberikan sokongan kepada PAS.

Punca kekalahan PAS pada PRU kali ini adalah kerana PAS baru sahaja dikeluarkan daripada gabungan Barisan Nasional. Perpecahan yang berlaku antara ahli dan pimpinan PAS yang sebahagiannya masih terus bersama BN telah menyukarkan PAS untuk menyaingi BN dalam pilihan raya tersebut. Tuntasnya, kemenangan PRU pada kali ini masih berpihak kepada BN kerana memperolehi sokongan daripada pelbagai kaum.

ANALISIS PRU 1982

Sekali lagi BN mencatatkan kemenangan berterusan dalam PRU ke-6 dengan menguasai 132 kerusi daripada 157 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. BN dan PAS masing-masing memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri tanpa bertanding di kawasan Semenanjung Malaysia. Pilihan raya ini diadakan setahun awal sebelum tempoh pembubaran Parlimen iaitu pada 1982 dengan tujuan untuk mendapatkan mandat kepada kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat menggantikan Datuk Hussien Onn pada pertengahan 1981. Tujuan PRU ini diperawalkan juga adalah untuk mengendalikan PRU pada waktu yang sesuai disebabkan kemelesetan ekonomi negara pada ketika itu.

Kepimpinan baru ditawarkan kepada rakyat sebagai usaha untuk mengatasi masalah tersebut dan sebarang perhimpunan di tempat terbuka adalah dilarang ketika PRU itu. Kempen pilihan raya adalah dilakukan melalui ceramah di kawasan tertutup seperti dari rumah ke rumah, poster, kain rentang serta iklan di surat khabar. Untuk pertama kalinya hari mengundi diadakan pada hari Khamis dan bukannya hari Sabtu seperti kebiasaan yang sering dilakukan pada pilihan raya sebelumnya. Ini merupakan strategi BN untuk meraih kemenangan mudah dalam PRU tersebut. Di samping itu, Barisan Nasional bekerjasama dengan Berjasa dalam persaingan dengan PAS serta Imej UMNO meningkat secara mendadak selepas kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dan bertanding dalam kerusi Parlimen di bawah tiket UMNO.

BN berjaya menguasai kesemua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Kemenangan UMNO yang berjaya meraih undi masyarakat Melayu, dibuktikan dengan kejayaan menguasai 70 kerusi Parlimen daripada 73 kerusi yang bertanding di kawasan kepadatan penduduk Melayu. Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, UMNO Berjaya menguasai 196 kerusi daripada 205 kerusi yang dipertandingkan. PRU 1982, mencatatkan prestasi yang cemerlang di kawasan parlimen yang majoitinya terdiri daripada masyarakat Cina. Daripada 15 kerusi parlimen yang dipertandingkan, BN menang 9 kerusi berbanding pada pencapaian PRU 1978 hanya memenangi 2 kerusi parlimen.

ANALISIS PRU 1986

Pilihan Raya 1986 melaporkan kemenangan BN sebanyak 148 kerusi, DAP sebanyak 24 kerusi, calon Bebas sebanyak 4 kerusi dan PAS hanya memenangi 1 kerusi di peringkat Dewan Rakyat. Secara keseluruhannya, Barisan Nasional Berjaya menguasai 83 kerusi daripada 84 kerusi yang dipertandingkan dengan peratus kemenangan sebanyak 83.4% tidak termasuk kemenangan calon Bebas yang akhirnya menyertai BN. Parti komponen Barisan Nasional telah menunjukkan prestasi yang baik dengan memenangi kebanyakan kerusi di peringkat persekutuan dan negeri.

Peratusan pengundi yang keluar mengundi pada PRU ke-8 secara keseluruhannya adalah 69.97% yang mencatatkan peratusan paling rendah sepanjang berlakunya Pilihan Raya Umum di Malaysia. Penurunan peratusan ini dipercayai kerana ramai pengundi yang ingin meluangkan masa bersama keluarga di kampong dek kerana hari pengundian ini berlaku pada hari Sabtu dan Ahad, namun pendapat ini agak kurang relevan kerana sekiranya hari pengundian dilaksanakan pada hari bekerja, mungkin ramai pengundi yang tidak sempat untuk pulang mengundi sekiranya tempat bekerja mahupun belajar jauh daripada tempat mengundi.

Oleh itu, kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan untuk turun mengundi daripada semua pengundi perlu ditingkatkan oleh semua pihak samada kerajaan mahupun pembangkang kerana satu undi para pengundi sangat bernilai sehingga mampu mengubah masa depan negara Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi.

ANALISIS PRU 1990

Pilihan raya kali ini menyaksikan rebutan kuasa UMNO yang telah berpecah kepada dua kumpulan iaitu UMNO Baru dan Semangat 46 pada 1987. Semangat 46 telah bekerjasama dengan PAS untuk bersaing dengan UMNO Baru dalam pilihan raya kali ini. Walaupun UMNO telah berpecah kepada dua kumpulan, namun kemenangan majoriti masih berjaya dikekalkan oleh parti ini dengan memenangi 127 kerusi daripada 180 kerusi yang dipertandingkan dalam Dewan Rakyat bahkan masih mampu membentuk sebuah kerajaan . Walaupun kemenangan berpihak kepada BN, peratusan kemenangan yang dicapai oleh parti ini mengalami penurunan berbanding Pilihan Raya Umum 1986.

Tahun ini juga menjadi sejarah buat BN kerana parti ini kehilangan kuasa mutlak di Kelantan kepada PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah serta kehilangan kuasa di Sabah kepada Parti Bersatu Sabah (PBS). Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan pada PRU kali ini adalah sebanyak 72.53 peratus.Parti-parti pembangkang hanya memenangi 53 buah kerusi walaupun peratusan kemenangan yang diperoleh mencecah 46.6 peratus meningkat berbanding PRU yang lepas. Faktor kemerosotan kemenangan BN dalam PRU kali ini dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah dalaman UMNO. Sebahagian besar daripada ahli dan kepimpinan UMNO yang menyokong Tengku Razaliegh telah mengambil keputusan tekad untuk keluar daripada parti BN dan mengundi parti pembangkang dalam PRU 1990.

Tumbangnya BN secara total di Kelantan adalah kerana pengaruh Tengku Razaliegh yang menjadi pesaing kuat terhadap Mahathir. Pengharaman UMNO pada 1987 memberi kesan yang besar kepada pengundi tradisi terutama saluran satu dan dua yang keliru dengan kedudukan UMNO yang baru itu. Pilihan raya ini menjadi sejarah kepada BN apabila ia kalah di semua DUN yang ditandinginya di Kelantan kepada gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (PAS, Semangat 46 dan DAP). Faktor Tengku Razaliegh menjadi salah satu sebab kejayaan besar kepada kemenangan parti pembangkang di Kelantan ini.

Analisis PRU 1995

Pada tahun 1995, pilihan tersebut dikenali sebagai pilihan raya pertama selepas persepadanan semula pada tahun 1994. Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan tampuk pemeritahan sebagai kerajaan dengan meraih kemenangan 162 kerusi daripada 192 kerusi dalam Dewan Rakyat. PRU pada tahun ini merekodkan undi popular paling tinggi berbanding pilihan raya yang sebelumnya dan masih dibawah tampuk pemerintahan Dr Mahathir (Arabi&Mazni, 1995). Kemenangan BN dalam PRU 1995 berkait rapat dengan kecermerlangan ekonomi dan pembangunan fizikal yang dibangunkan bawah kerajaan seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta projrek menghubungkan antara Gelang Patah dan Tuas di Singapura yang bakal dijalankan.

Selain itu, pada tahun 1994, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan Urusan Pendaftaran Pemilih dan Penyemakan Daftar Pemilih pada 11 hingga 31 Julai 1994. Tempoh pendaftran pemilih selama 21 hari sangat membantu dalam menambahkan jumlah undi pada PRU tahun tersebut iaitu seramai 707,442 orang telah memohon untuk didaftarkan sebagai pemilih baru dan bertukar tempat mengundi. SPR turut melaporkan jumlah pengundi yang layak mengundi pada PRU 1995 telah meningkat kepada jumlah 1,053,533 atau 11.69% berbanding tahun 1990. Pengaruh Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga mempengaruhi bilangan pengundi untuk mengundi BN.

ANALISIS PRU 1999

Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-10 telah diadakan pada 29 November 1999 dan Barisan Nasional masih mengekalkan kemenangan majoriti dalam Parlimen. Pada tahun ini juga wujudnya sebuah sistem dwiparti yang bersaing dengan Barisan Nasional iaitu Barisan Alternatif yang terdiri daripada gabungan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan. Parti Keadilan yang diasaskan oleh Dr. Wan Azizah pada 4 April 1999 setelah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan setelah dipecatkan daripada UMNO.

Barisan Alternatif dilihat sebagai sebuah parti yang memberi saingan hebat terhadap Barisan Nasional berbanding pilihan raya sebelum ini. Walaupun Barisan Nasional berjaya memenangi 148 jumlah kerusi parlimen iaitu melebihi 129 kerusi untuk menang dengan majoriti mudah dua pertiga kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan tetapi gagal menawan semula Kelantan malah negeri Terengganu juga dirampas oleh PAS. Prestasi PAS dalam pilihan raya dilihat meningkat setelah dapat mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya mengambil alih kerajaan Terengganu melalui kemenangan 27 kerusi berbanding tahun 7 kerusi pada tahun sebelumnya. Selain itu, kekuatan PAS bertambah apabila bertanding sebanyak 98 kerusi bagi pilihan raya ini serta berjaya mengambil alih kepimpinan dari Lim Kit Siang.

Biarpun peranan Datuk Seri Anwar dilihat besar dalam meraih undi bagi pilihan raya ini tetapi Parti Keadilan hanya mampu meraih 5 kerusi parlimen sahaja. Pengundi Melayu banyak memberikan undi kepada PAS berbanding Parti Keadilan yang dilihat baru dan tidak mempunyai pengaruh yang kuat dalam arena politik Malaysia. Pilihan Raya pada tahun 1999 menunjukkan bahawa Barisan Nasional telah mempunyai kuasa persaingan dan tidak boleh terlalu selesa dengan jumlah kerusi yang dimenanginya melalui pilihan raya sebelum ini.

Kebanyakan pengundi yang menyokong UMNO khususnya Barisan Nasional merupakan pengundi bukan Melayu serta berasal daripada Sabah dan Sarawak. Di samping itu, kemunculan PAS sebagai sebuah parti Islam yang membawa kepimpinan ulama dapat menawan beberapa undi dari pengundi-pengundi Melayu serta menyaingi bilangan kerusi daripada Barisan Nasional.

ANALISIS PRU 2004

Pilihan Raya Umum pada tahun 2004 telah diadakan sembilan bulan lebih awal bagi memberi mandat kepada bakal Perdana Menteri Malaysia ke-lima setelah Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan pada tahun 2003. Barisan Nasional berjaya memenangi 17 kerusi Parlimen tanpa bertanding pada 13 Mac iaitu sembilan kerusi dari negeri Sabah, enam kerusi dari Sarawak dan dua kerusi dari Johor. SPR pada tahun 2004 melaporkan bahawa PAS juga memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding buat kali pertama di Johor. Pada tahun tersebut, seramai 418 orang calon yang terdiri daripada sembilan buah parti dan 31 orang calon daripada Bebas telah bertanding untuk merebut sejumlah 219 kerusi bagi Dewan Rakyat.

Empat buah parti politik iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan dan seorang calon Bebas yang berjaya meraih kerusi yang dipertandingkan. Parti-parti yang gagal memenangivsebarang kerusi yang dipertandingkan ialah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Pertubuhan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (PASOK), Parti Demokratik Malaysia (MDP) dan Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR). Jadual di bawah menunjukkan bilangan kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.

Barisan Nasional berjaya meraih 198 kerusi Parlimen manakala parti lain hanya memenangi 20 kerusi serta 1 kerusi oleh calon Bebas. Parti Islam SeMalaysia, PAS hanya berjaya memenangi 7 kerusi Parlimen berbanding 27 kerusi pada pilihan raya tahun 1999. Kegagalan PAS untuk meraih lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini adalah disebabkan oleh isu hudud dan konsep negara Islam yang dibawa dalam Barisan Alternatif. Selain itu, DAP mengambil keputusan saat akhir untuk keluar daripada Barisan Alternatif kerana tidak bersetuju dengan pembawakan yang dibawa oleh PAS dalam PRU ke-11.

Parti Keadilan Rakyat (DAP) juga dilihat gagal untuk mengekalkan empat daripada lima kerusi yang dimenanginya pada PRU 1999. Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengekalkan kerusinya dengan majoriti sebanyak 590 undi setelah pengiraan semula undi sebanyak lima kali. Di samping itu, Barisan Nasional telah menang dengan majoriti di semua negeri di seluruh Malaysia kecuali Kelantan dan merampas kembali kerajaan Terengganu. PAS masih mengekalkan pemerintahan di Kelantan dengan kelebihan 3 kerusi iaitu sebanyak 24 kerusi berbanding 21 kerusi Barisan Nasional. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berjaya mengekalkan kerusi DUNnya walaupun kuasa pemerintahan negeri Terengganu telah diambil alih oleh Barisan Nasional (SPR,2004).

ANALISIS PRU 2008

Keputusan Pilihan Raya yang diumumkan pada 9 Mac 2008 telah merekodkan sejarah yang memeranjatkan antara pihak kerajaan iaitu Barisan Nasional dan pembangkang. Barisan Nasional telah kehilangan 2/3 kerusi majoriti di Parlimen iaitu dengan memenangi 140 kerusi manakala pihak pembangkang pula memenangi 82 kerusi Parlimen. Selain itu, Barisan Nasional juga kehilangan kuasa pemerintahan di lima buah negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Sebanyak 16 kali Pilihan Raya kecil telah berlangsung setelah berlakunya Pilihan Raya Umum pada tahun tersebut. Turut dilaporkan bahawa Barisan Nasional dan pakatan pembangkang iaitu Pakatan Rakyat telah berkongsi lapan kali kemenangan bersama dalam 16 Pilihan Raya Kecil yang berlangsung. Pencapaian pihak Pakatan Rakyat Pilihan Raya Kecil ini dianggap sebagai pencapaian yang luar biasa dan cemerlang.

Berdasarkan jadual di atas, kerusi parlimen yang ditandingi oleh UMNO, MCA dan MIC banyak dirampas oleh parti pembangkang. Berbeza dengan kumpulan parti pembangkang yang terdiri daripada PAS dan DAP telah menunjukkan prestasi yang lebih baik dari pilihan raya pada tahun 2004 manakala PKR mencatatkan kemenangan yang paling cemerlang dengan menguasai 31 kerusi. Prestasi PAS dalam pilihan raya ini meningkat kerana dapat menguasai 23 kerusi daripada 66 kerusi yang dipertandingkan.

PRU 2008 menunjukkkan bahwa rakyat Malaysia yang terdiri daripada tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India mempunyai kecenderungan politik yang berbeza terhadap setiap parti. Penurunan peratusan Barisan Nasional dikaitkan dengan kelemahan sistem pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tindakan pengundi yang berani untuk tidak memberi undi kepada Barisan Nasional di samping isu-isu dalaman yang melibatkan prestasi calon serta parti. Kesepakatan yang dikecapi bersama antara parti-parti pembangkang turut menyumbang kepada kejutan keputusan pilihan raya ini.

Analisis PRU 2013

Pilihan Raya Umum yang ke-13 merekodkan sejarah pilihan raya yang paling sengit sepanjang tiga belas kali pilihan raya kerana faktor kebangkitan anak muda dalam menuntut tampuk kepimpinan yang baru selain Barisan Nasional. Pada pilihan raya ini, Barisan Nasional masih mengekalkan kuasa pemerintahan dengan kemenangan 133 kerusi parlimen tetapi Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS, PKR dan DAP berjaya memenangi 89 kerusi berbanding 82 kerusi pada pilihan raya tahun 2008. Secara keseluruhannya, Barisan Nasional berjaya meraih 5.2 juta undi manakala Pakatan Rakyat meraih 5.5 juta undi daripada rakyat Malaysia.

Selain itu, Pakatan Rakyat mengekalkan kuasa pemerinthan di tiga buah negeri sama seperti PRU ke-12 iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dengan menang majoriti dua per tiga manakala Kedah dan Perak berjaya dirampas kembali oleh Barisan Nasional. Jumlah kerusi Pakatan Rakyat di negeri-negeri seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu telah menafikan kemenangan majoriti dua per tiga bagi parti Barisan Nasional. Jadual di bawah menunjukkan jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRU13.

Kegagalan parti komponen seperti MCA, PPP, dan Gerakan telah mengurangkan kerusi UMNO pada pilihan raya ini iaitu MCA hanya menang 6 kerusi Parlimen manakala Gerakan hanya menang satu kerusi di Simpang Renggam di Johor. PPP pula kalah di semua kerusi yang ditandingi sama ada kerusi Parlimen atau DUN pada PRU 13. UMNO secara keseluruhannya memenangi 88 kerusi bertambah tujuh kerusi berbanding Pilihan Raya Umum 2008. Bagi parti komponen Pakatan Rakyat pula, DAP menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan penambahan 10 kerusi di peringkat Parlimen, sementara PKR dan PAS masing-masing kehilangan satu kerusi berbanding sebelum ini.

PRU 13 telah menonjolkan prestasi cemerlang parti UMNO dan DAP manakala parti yang mencatat prestasi buruk untuk Barisan Nasional terdiri daripada parti PPP dan SUPP. Prestasi PAS dicatatkan menurun kerana Kedah jatuh kepada tangan Barisan Nasional dan PAS berjaya memenangi hanya satu kerusi Parlimen iaitu di Parlimen Pokok Sena yang dimenangi oleh Mantan Naib Presiden PAS iaitu Datuk Mahfuz Omar. Biarpun PAS kalah di 52 kerusi daripada 73 yang ditandingi di Parlimen, namun PAS berjaya mengukuhkan kedudukannya di peringkat Dewan Undangan Negeri. Selain itu, (Sinar Harian, 2013) mencatatkan bahawa PAS telah meningkatkan prestasi parti di peringkat DUN dengan memenangi 85 kerusi pada Pilihan Raya ke-13 berbanding 83 kerusi pada 2008.

Pilihan Raya Umum kali ke-13 telah menunjukkan peningkatan pengundian iaitu sebanyak 84.84 peratus atau sebanyak 11,257,147 daripada jumlah 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi bagi 222 kerusi Dewan Rakyat dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya ke-13. Berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan untuk Pilihan Raya ke-13, daripada 13,268,002 pemilih berdaftar, terdiri daripada 12,885,434, manakala pengundi pos seramai 146,742 dan pengundi awal seramai 235,826. Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR mencatat peratusan keluar mengundi paling tinggi dalam sejarah Pilihan Raya di Malaysia iaitu 84.84 peratus. Selain itu, Pilihan Raya Umum ke-13 mencatat bilangan calon Bebas paling ramai, iaitu 79 calon bagi kerusi Dewan Rakyat dan 191 calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

KESIMPULAN

Pilihan Raya Umum bermula tahun 1959 sehingga 2013 telah menunjukkan suatu perubahan terhadap politik di Malaysia. Rakyat mula memahami arena politik lantas menyebabkan percambahan parti demi perjuangkan dasar yang dibawa kepada masyarakat dan negara. Berdasarkan analisis pilihan raya, Barisan Nasional dapat pertahankan kerusi dengan kemenangan majoriti dua per tiga dari tahun 1959 sehingga 2003. Tetapi pada PRU 2008 dan 2013, Barisan Nasional gagal pertahankan kemenangan kerana kebanyakan kerusi sudah dirampas oleh pihak pembangkang yang terdiri daripada gabungan parti seperti PAS, DAP dan PKR yang membentuk Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Faktor dalaman dan luaran parti menjadi sebab kepada kedinamikan yang berlaku pada setiap keputusan pilihan raya.

Gabungan parti pembangkang bukan sahaja memberi ancaman kepada Barisan Nasional malah merampas jumlah undi untuk beralih kepada gabungan tersebut. Barisan Alternatif telah membuka cabaran baru terhadap politik tanah air dan akhirnya mendapat tempat di kalangan masyarakat yang berbilang etnik dan agama setelah menggunakan nama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2013. Gabungan oposisi ini bukan sahaja ingin melawan kekuasaan Barisan Nasional dan UMNO yang telah lama bertapak dalam pemerintahan negara malah telah mencorakkan susur politik negara ke arah sebuah proses pendemokrasian yang lebih baik. Hal ini menyumbang kepada penurunan prestasi Barisan Nasional di samping mewujudkan gabungan parti pembangkang yang mantap dalam memperoleh kuasa pemerintahan di Malaysia.

Selain itu, sikap rakyat Malaysia yang matang dalam berpolitik telah mengubah demokrasi dari semasa ke semasa dan hal ini dapat dilihat pada setiap pilihan raya umum. Perubahan sosio politik dilihat berkembang dalam masyarakat dan membawa suatu perubahan yang lebih baik kepada negara. Kecanggihan media dan teknologi sangat memainkan peranan dalam penyebaran berita secara meluas tanpa sekatan melalui laman sosial dan laman media utama. Akhir kata, pilihan raya menjadi suatu medan terbaik buat masyarakat dalam membentuk sebuah negara sejahtera dan tergolong dalam negara yang membangun.

Rujukan

Election Commision Malaysia (1995) Report of The General Elections Malaysia (1995). Kuala Lumpur.

Election Commision Malaysia 2008. Report of The 12th General Elections. Kuala Lumpur.

Jamaie Hj Hamil, Faris Afiq Ikhwan Saifullah, Muhammad Suhaimi, Abdul Rahman, MahfudzahMustafa, Russli Kamaruddin, Muhamad @ Nadzri Mohamed Noor. 2014. Ikhtisar analisis Pilihan Raya Umum 1978 hingga 2013 di Malaysia. GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space, 10, pp.39 – 53.

Junaidi Awang Besar.2017. TREND PENGUNDIAN DALAM PILIHAN RAYA UMUM

MALAYSIA KE-13 (Voting Trends in Malaysia 13th General Elections).Journal of Human Sciences and Humanities, 12(2), pp.126-149,

Junaidi Awang Besar, Rosmadi Fauzi, Amer Saifude Ghazali, Mohd Azlan Abdullah, Mazlan Ali,

Ahmad Rizal Mohd Yusof. 2014. Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 di Malaysia: Suatu analisis ‘tsunami politik bandar’. GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space, 10, pp.28–38 .

Keputusan Pilihan Raya Malaysia Malaysia’s Political Parties & General Elections Results 1982, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004, 2008, 2013 dirujuk dari http://www.ugmc.bizland.com/Malaysia-Elections.html

News Straits Times (1978).

News Straits Times (1990).

Sinar Harian (10 Mac 2008).

Sinar Harian (7 Mei 2013).

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (2004) Laporan Pilihan Raya Umum ke-11.Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (1999) Laporan Pilihan Raya Umum yang kesepuluh (1999). Kuala Lumpur.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!