GAMIS4PRU14: HAPUSKAN PTPTN, MENUJU PENDIDIKAN PERCUMA

Oleh: Mohamad Shafiq bin Sharif

Pinjaman PTPTN menjadi satu topik perbincangan yang hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia mutakhir ini. Ini berikutan ramai para pelajar dari keluarga berpendatan rendah dan sederhana yang tidak layak untuk mendapatkan biasiswa terpaksa mengambil pinjaman PTPTN sebagai alternatif sumber kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau singkatannya (PTPTN) mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 1997 di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997. Pada masa itu Tun Mahathir Mohammad merupakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri manakala Datuk Seri Najib Razak pula merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Mereka merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan PTPTN di Malaysia. PTPTN berfungsi untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada para mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta di Malaysia.

Idea untuk memansuhkan PTPTN mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya anak muda. Anak muda hari ini dihimpit dengan masalah hutang dari segenap sudut. Menarik untuk difikirkan, bebanan hutang akan bermula sejurus tamat pengajian yang mana pekerjaan tetap sendiripun belum lagi ada. Apatah pula jika mahu membicarakan soal pembelian rumah kediaman dan kenderaan. Kelihatannya sebilangan besar anak muda Malaysia akan berhadapan bebanan hutang yang tinggi. Sehingga tahun 2017 selepas genap 20 tahun PTPTN dikuatkuasakan, kerajaan telah mengeluarkan dana hampir RM50 billion untuk PTPTN. Kos ini antara lainnya dibiayai daripada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Daripada jumlah RM50 billion tersebut, hanya RM18 billion yang sudah digunakan dan selebihnya masih ditawarkan kepada pelajar. Manakala daripada RM18 billion yang masih ditawarkan, RM10 billion sudahpun habis di bayar. Merujuk kepada baki RM8 billion yang belum di langsaikan lagi, dicatatkan sejumlah RM4.2 billion hutang belum pernah dibayar walaupun satu sen melibatkan lebih 663 ribu orang manakala sekitar 500 ribu dari jumlah tersebut telah disenarai hitamkan.

Kini tawaran-tawaran berkaitan PTPTN semakin hangat dipromosikan oleh parti-parti yang bertanding dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang. Walaupun begitu, Barisan Nasional (BN) masih lagi memilih untuk tidak menyatakan langsung berkenaan PTPTN dalam manifesto mereka. Tawaran pemansuhan PTPTN ini bukanlah satu suara yang baru. Idea ini juga merupakan salah satu manifesto Pakatan Rakyat (PR) pada pilihanraya yang lepas. Memberi respon terhadap idea pemansuhan tersebut, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kementerian Pengajian Tinggi pada waktu itu menggariskan 4 sebab mengapa PTPTN tidak boleh dimansuhkan; Pertama (1), Ia akan menghadkan akses kepada pengajian tinggi di kalangan pelajar miskin. Kedua (2), Ia akan menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS. Ketiga (3), Ia akan menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai kos sara hidup pelajar IPTA/IPTS dan yang terakhir, Ia akan merencatkan usaha bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi negara menjelang tahun 2020.

Timbul persoalan dalam kalangan masyarakat Malaysia adakah idea pemansuhan PTPTN ini benar-benar merupakan satu solusi terhadap kesempitan hidup yang dialami rakyat ataupun sekadar kaedah murahan untuk meraih undi? Dalam menghadapi PRU-14, Gagasan Sejahtera (GS) dan Pakatan Harapan (PH) masih lagi memasukkan manifesto yang berkaitan PTPTN dalam tawaran manifesto mereka. Kali ini PH dilihat berubah nada berkaitan PTPTN apabila mereka kini menawarkan peminjam PTPTN untuk menangguhkan bayaran balik jika pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan. Namun begitu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam Gagasan Sejahtera masih lagi konsisten untuk memansuhkan PTPTN dalam menuju Pendidikan Percuma buat rakyat Malaysia.

Adakah tawaran tersebut relevan dan mampu dilaksanakan? PAS bercadang untuk menghapuskan PTPTN tetapi tetap mengekalkan struktur Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kerana ia dilihat bermanfaat buat rakyat Malaysia. Sebagai ganti kepada PTPTN, PAS berhasrat untuk memberi yuran percuma kepada mahasiswa di Universiti Awam disamping menggalakan mereka untuk menabung dalam SSPN. Bagi pelajar yang tidak berkemampuan terutamanya dalam perihal kos sara hidup, PAS berhasrat untuk menawarkan biasiswa yang akan dilaksanakan melalui Tabung WAKAF Pendidikan Nasional bagi membiayai semua kos tersebut. Menjawab kerisauan bebanan hutang negara akan bertambah sekiranya kerajaan memansuhkan PTPTN, Ir Haji Khairil Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia mengakui memang perkara tersebut berkemungkinan akan berlaku. Namun begitu, merujuk kepada realiti semasa, negara masih akan mengalami defisit fiskal menurut ucapan Perdana Menteri dalam ucapan bajet 2018. Defisit fiskal ini terjadi antaranya adalah kerana berlakunya ketirisan dalam bajet negara yang direkodkan saban tahun pada quantum 30-40 billion ringgit. Dan ianya berlaku kerana adanya ketirisan, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Jika kita menjadikan kerajaan Kelantan yang diperintah PAS sebagai contoh, merujuk kepada bajet kerajaan Kelantan pada tahun 1999, laporan daripada SPRM dan juga Jabatan Audit membuktikan bahawasanya negeri Kelantan bebas daripada rasuah. Dan terbaru pada Disember 2017 kerajaan Kelantan merekodkan bajet surplus iaitu lebih kurang 38 juta keuntungan direkodkan daripada bajet mereka. Jelasnya di sini, jika pemerintahan Malaysia diberikan kepada pihak yang terbukti dapat memerintah dalam rekod yang bersih dan amanah, masalah kewangan negara akan dapat diatasi. Kelihatannya PAS mempunyai pelan perancangan yang jelas dalam memastikan manifesto pemansuhan hutang PTPTN ini dapat terlaksana dengan baik, tidak menjejaskan ekonomi negara dan bakal membantu mengurangkan bebeanan yang dialami rakyat Malaysia. Pemansuhan hutang PTPTN merupakan satu langkah yang baik dalam menuju pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!