GAMIS4PRU14: LGBT: MENGAPA MEREKA SEMAKIN BERANI?

Oleh: Siti Nur Aimi binti Saharudin

Isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bukan lagi isu baru di negara kita. Fenomena yang bergerak bertopengkan hak asasi manusia ini semakin berani mengorak langkah menuntut hak yang tidak pernah wujud. Perkara yang langsung tidak layak diterima akal yang waras malah sudah terang-terangan diharamkan dalam Islam berdasarkan kisah kaum Nabi Lut yang sedia diajarkan kepada kita sedari kecil.

Namun kini gerakan mereka bukan lagi sekadar luahan di media sosial tetapi dibela oleh pelbagai lapisan masyarakat Malaysia sendiri. NGO-NGO yang berteraskan LGBT kian bercambah umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Namun gejala yang pada awalnya seringkali mengundang pandangan serong masyarakat ini semakin meluas tanpa kawalan. Malah mereka menjadi semakin berani dan menubuhkan NGO-NGO yang memperjuangkan kesongsangan yang dilabel hak asasi manusia. Benarlah manusia ini, bijak bagaimana pun kalau tidak dibimbing dengan kesempurnaan ajaran Allah dan Rasul, maka kebijaksanaan itu bukan sahaja menjadi sia-sia malah merosakkan lagi muka bumi ini.

Apa sebenarnya yang membuat mereka semakin berani ‘berdakwah’ mengajak orang ramai menerima kesongsangan ini ? Tak lain tak bukan adalah hasil sokongan figura-figura lantang negara yang walaupun bukan berasal dari golongan LGBT tetapi termakan pujukan dan gula-gula Barat yang melihat golongan ini sebagai satu keindahan kepelbagaian manusia kononnya.

Charles Santiago, ahli parlimen DAP Klang, bukan sahaja secara terbuka mempertahankan golongan LGBT malah dengan beraninya meminta jabatan agama seperti Jakim dan Jais menghentikan penahanan tidak berasas kaum mak nyah. Penangkapan tidak berasas ? Artikelnya yang bertajuk The Bigotry Against The LGBT Community Must Stop dipos di laman rasmi parti berkenaan menandakan ia bukanlah perjuangan persendirian tetapi diterajui parti.

Lucunya, Pakatan Hadapan yang terdiri daripada PKR, PAN, PPBM dan DAP ini, jelas menggabungkan perjuangan parti yang saling bercanggah antara satu sama lain. Dalam Fasal 3 Dasar dan Tujuan Parti Amanah Negara, ada menyebutkan Memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan. Namun persoalannya, adakah dengan bergabung dengan parti yang memperjuangkan hak LGBT, yang sudah terang nyata lagi bersuluh adalah perbuatan yang menyimpang jauh dari ajaran Islam, masih dikira sebagai memartabat Islam sebagai dasar perjuangan ?

Dalam 20 Tawaran Manifesto Malaysia Sejahtera, ada mencatatkan Islam sebagai Ad-Din sebagai salah satu tawaran. Bagaimana?Dengan cara memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai Ad-Din, sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan. Seluruh aspek kehidupan sudah tentunya meliputi satu suruhan Allah yang termaktub dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung”.

Mencegah kepada yang mungkar. Jadi disini jelas tidak sepatutnya kemungkaran seperti LGBT ini disokong dan diterima dalam masyarakat kita malah perlu dibantah sekeras-kerasnya. Bayangkan betapa besarnya kerosakan yang bakal dibawa kepada institusi masyarakat harmoni ini jika golongan ini diiktiraf untuk hidup bebas bersama kita.

Perlu diingat bahawa tidak semua perubahan yang berlaku mengikut peredaran zaman adalah perkara yang baik dan betul. Masyarakat perlu membuka mata dan minda, berfikir dan kembali rujuk kitab Allah dan sirah nabi terdahulu sebelum membuta tuli bersetuju dengan sesuatu perkara hanya semata mata masyarakat barat mengiktirafnya. Dan perlu diingat, dasar perjuangan adalah satu perkara yang perlu diambil serius kerana ia menentukan hala tuju sesuatu parti. Oleh itu, tindakan bergabung dengan mana-mana kelompok atau parti yang dasar perjuangannya melanggar dasar perjuangan sesuatu parti adalah sangat tidak bijak kerana ia dapat mengganggu gugat hala tuju parti berkenaan.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!