GAMIS4PRU14: MALAYSIA PERLU UBAH SISTEM PENDIDIKAN NEGARA!

Oleh: Aini Ilyas

Pendidikan merupakan asas pembentukan insani menuju kehidupan yang lebih harmoni. Melalui pendidikan, agama diperkukuhkan, negara dibangunkan dan bangsa terus dipertahankan. Jika pendidikan yang benar dan tersusun tidak dititikberatkan oleh semua pihak, maka kehancuran alam bakal diperlihatkan oleh generasi akan datang kerana akal yang seharusnya celik dengan ilmu yang benar telah dirosakkan dengan kebatilan yang memusnahkan. Tidak dinafikan, ramai tokoh-tokoh ilmuwan yang berjaya dilahirkan hingga mengharumkan nama negara di persada dunia. Namun, lebih ramai generasi muda yang dilihat semakin liar dek kerana arus modenisasi dunia yang kian membangun pesat dan mencabar.

Jika dilihat pada isu sosial remaja kini, dapat disimpulkan bahawa semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memainkan peranan masing-masing untuk mendidik mereka menjadi insan yang berguna serta memberi manfaat kepada semua. Perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak adalah sistem pendidikan kerana ia memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa hadapan demi melestarikan keharmonian agama, bangsa dan negara sebagaimana yang diimpikan oleh semua. Mungkin ramai yang berfikir sistem pendidikan yang diaplikasikan di Malaysia sudah cukup bagus untuk membentuk masyarakat madani yang berintelektual tinggi, namun tidak kurang juga yang berpendapat bahawa sistem di negara ini perlu diperbaiki dan diubah demi menjamin masa hadapan yang lebih baik.

Sejarah Malaysia pernah melakarkan sistem pendidikan yang berubah-ubah sehingga memberikan kesan negatif kepada para pelajar yang menjadi mangsa uji kaji pihak tertentu. Contohnya dapat dilihat apabila matapelajaran Sains dan Matematik diubah daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris kerana ingin meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa. Namun, sistem ini telah menyaksikan penurunan prestasi para pelajar yang lebih teruk daripada tahun-tahun sebelumnya sehinggakan bahasa ini terpaksa ditukar kembali kepada bahasa ibunda anak watan Malaysia yang majoritinya Melayu. Perkara ini telah menyebabkan negara kerugian berjuta ringgit kerana buku teks matapelajaran Sains dan Matematik yang asalnya dalam Bahasa Melayu telah ditukar kepada Bahasa Inggeris dan beberapa tahun kemudian tidak digunapakai lagi kerana buku teks asal telah digunakan kembali.

Jika perkara sebegini berulang kembali, maka kecelaruan dalam pendidikan akan terus berlaku. Justeru, beberapa cadangan dikemukakan demi memastikan sistem pendidikan di Malaysia bertambah baik sebagaimana berikut:

1.Setiap perubahan dalam perancangan pendidikan perlulah konsisten dan tidak menjadikan guru atau murid sebagai ujikaji.

2.Fungsi MARA untuk meningkatkan pendidikan dan ekonomi bumiputera miskin bandar dan luar bandar perlu dikembalikan supaya tujuan asal MARA ditubuhkan tidak disalahgunakan dan tidak dimonopoli oleh kuota orang-orang kaya.

3.Subjek Bahasa Melayu kekal dalam arus pendidikan negara sebagai bahasa utama dan wajib lulus serta Bahasa Mandarin dan Tamil akan dicadangkan untuk diperkenalkan sebagai matapelajaran teras di semua sekolah.

4.Melupuskan hutang PTPTN ke arah pendidikan percuma demi memudahkan anak muda untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

5.Program Endowment atau Wakaf Pendidkan Negara dijadikan agenda utama bagi semua rakyat Malaysia demi menjaga kebajikan semua.

6.Latihan, kemahiran dan pembentukan peribadi hendaklah menjadi tanggungjawab semua dan diperluaskan di peringkat pengajian tinggi.

Cadangan-cadangan manifesto yang diperkenalkan oleh Gagasan Sejahtera ini dilihat mampu membentuk sistem pendidikan yang lebih tersusun dan teratur dalam memastikan misi negara untuk membentuk generasi muda yang lebih berkemahiran di samping berbudi pekerti mulia dapat dicapai dengan jayanya.

Jika diteliti dengan lebih lagi, setiap satu daripada cadangan tersebut bakal memudahkan rakyat Malaysia untuk menuntut ilmu bahkan menyemarakkan lagi semangat keilmuan dalam sanubari. Cadangan ini juga mampu melahirkan masyarakat madani yang bukan sekadar maju dari sudut pemikiran, akan tetapi juga kerohanian dan sahsiah demi melahirkan negara yang harmoni dan aman kerana ramainya tokoh ilmuwan yang berkemahiran dalam bidang masing-masing di samping mengaplikasikan ajaraan agama yang benar. Akhir kata, kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur pada ketinggian bangunan-bangunan yang dibina, akan tetapi ia juga diukur melalui kemajuan pemikiran pemimpin dan rakyatnya yang bertunjangkan agama yang benar demi melahirkan negara yang sejahtera.

 

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!