GAMIS4PRU14: MALAYSIA TURUN MENGUNDI

Oleh: Nur Hidayah binti Mohd Ali (Pelajar UIAM)

Menjadi satu kewajiban keatas setiap warganegara untuk keluar mengundi bagi memilih pemimpin yang baik untuk menuju negara sejahtera. Akan tetapi, pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan seramai 3.6 juta orang muda berusia 21 tahun ke atas termasuk golongan mahasiswa belum mendaftar sebagai pemilih untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini menjadi kerisauan kepada kita. Ia merupakan satu bilangan yang besar (sebanyak 20%) dan perlu di ambil berat oleh semua pihak berwajib berkenaan punca mahasiswa yang tidak menyedari kepentingan turun mengundi dan mendaftar lebih awal. Bilangan yang dinyatakan ini belum termasuk pengundi atas pagar yang berkemungkinan mempunyai kecenderungan untuk turut tidak keluar mengundi.
Tidak dinafikan, masalah politik tanah air yang sangat sinonim dengan kaedah “matlamat menghalalkan cara” dan mengamalkan politik Machiavelli membuatkan para pengundi berasa mual apabila suara mereka tidak lagi dirai. Malah sebahagian pemimpin sedia ada, mengeksploitasi kuasa dan rakyat semata-mata untuk meraih populariti dan undi, terutama rakyat di kawasan luar bandar yang kurang mendapat maklumat dan perkembangan politik semasa. Oleh hal yang demikian, mahasiswa sepatutnya mengetahui kepentingan mengundi kerana rata-rata anak muda tidak mempunyai masalah mengakses maklumat melalui telefon pintar dan media sosial. Seorang cendikiawan Muslim, Dr. Fahmy Zarkasyi mengingatkan “Jika anda tidak ikut mengundi kerana kecewa dengan pemerintah dan anggota DUN atau parti, itu hak anda. Tetapi ingat, jika anda dan jutaan yang lain tidak mengundi, maka jutaan orang fasik, sekular, liberal, atheis akan menguasai anda.” Diakhir ucapannya, beliau menegaskan, “Niatlah berbuat baik meskipun hasilnya belum tentu sebaik yang anda inginkan”. Hal ini demikian kerana, kezaliman yang berleluasa ini bukan kerana banyaknya kejahatan di dunia, tetapi kerana kebaikan selesa memilih untuk mendiamkan diri. Janganlah berasa selesa dengan kedudukan neutral anda dan terus-terusan mengambil sikap tidak peduli kerana kesan domino itu wujud. Anda berkira-kira bahawa anda seorang sahaja yang menyatakan protes untuk tidak keluar mengundi. Tetapi, bagaimana pula jika sejuta yang lain juga turut mempunyai pemikiran yang sama dan mengimaninya.

Pengundi-pengundi sekalian,
Masih berbaki beberapa hari untuk kita bertekad melakukan perubahan. Bak kata orang putih, “every vote counts”. Satu undi anda amatlah berharga. Kita mungkin tidak mampu terlibat dalam semua proses membaik pulih negara keseluruhannya, namun kebolehupayaan perubahan itu berlaku bergantung kepada kita – orang-orang yang memahami kepentingan ini untuk kemaslahatan negara. Disini saya akan sertakan cara-cara memilih pemimpin yang baik mengikut kaedah yang Islam telah gariskan, Saya mengambil inspirasi daripada tulisan bermanfaat Dr. Asri Zainal Abidin tujuh tahun yang lalu serta mengadaptasi mengikut situasi dan keperluan politik semasa Malaysia kerana kepentingan memilih parti mengatasi kewiwabaan calon. Apabila menangnya calon yang dipilih, yang direalisasikan dalam pentadbiran adalah ideologi parti, bukan ideologi calon populis. Rakyat Malysia telah menyaksikan fenomena lompat parti adalah satu kebiasaan dalam negara kita. Pantang sahaja mendapat tawaran kedudukan yang lebih tinggi di kerusi kerajaan, kelabu matalah mereka daripada mengingat janji yang di beri kepada rakyat. Malaysia juga telah menyaksikan tidak sedikit menteri yang meletakkan jawatan apabila mereka tidak berdaya membendung kejahatan parti mereka sendiri. Banyak juga dari mereka yang memilih untuk berdiam diri kerana suara minoritinya tidak disambut oleh kuasa majoriti parti. Maka, pilihlah parti yang paling tinggi integritinya serta tinggi maslahahnya untuk masyarakat. Selama kita memegang prinsip Islam rahmatan lil a’lamin (kesejahteraan sejagat), sejahteralah kita di dunia dan akhirat. Panduan memilih bagi seorang Muslim, juga non-Muslim yang hidup dalam konteks Malaysia adalah seperti berikut:

1. Mengundi dengan ilmu pengetahuan:
• Pengetahuan tentang latar belakang parti yang didokong kerana manusia perlu bertindak atas ilmu.
• Firman Allah: (maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).

2. Berusaha mengkaji dan membuat perbandingan:
• Bandingkan faktor manifesto, tawaran dan solusi parti, kekuatan akar umbinya, ciri-ciri keistimewaan yang lain; seperti pengalaman calon, latar pendidikan, dan sumbangan.
• Mendengar dari pelbagai sumber yang benar dan memilih yang terbaik. Ciri-ciri insan yang berfikiran matang yang digelar sebagai Ulul Albab dan merekalah golongan yang diberi petunjuk ada disebut di dalam al-Quran.
• Firman Allah: (maksudnya) “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).

3. Menepati ciri-ciri al-Quwwah (berkemampuan) dan al-Amanah (berintegriti).
• Memiliki kemampuan diri, mempunyai nilai amanah dan bersikap telus dengan jawatan yang dipilih.
• Jika bertembung antara calon yang baik dan partinya yang buruk, sementara calon yang buruk partinya baik, maka pada asasnya kita mendahului peribadi calon. Akan tetapi, jika didapati pengaruh buruk parti itu lebih menguasai jawatan (seperti dalam konteks Malaysia) maka hendaklah mengutamakan parti kerana calon itu dilihat tidak berkemampuan.
• Firman Allah: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).

4. Pilih antara “two lesser evil”.
• Memilih calon yang paling kurang mudarat atau bahayanya terhadap umat dan rakyat. Ini berasaskan kaedah syarak “Memilih bahaya yang paling ringan”. Kaedah ini dipakai apabila kita berhadapan dengan pilihan yang kesemua buruk.
• Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati (bulan haram); katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke al-Masjid Al-Haraam, serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah, dan (ingatlah), angkara fitnah (kerosakan) itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)…” (Surah al-Baqarah: 217). Ayat ini jelas memberitahu bahawa apabila bertembung kita memilih atau menentukan yang paling kurang bahaya supaya kita dapat meminimakan bahaya.

5. Menilai yang tersurat dan tersirat disebalik ideologi parti.
• Walaupun tidak semua penyertaan individu ke dalam sesebuah pertubuhan mempunyai kaitan dengan kepercayaan dan nilai diri individu tersebut tetapi, jika rekod parti itu buruk, maka kita hendaklah berpegang kepada ingatan Nabi s.a.w: “Orang mukmin tidak akan disengat dari satu lubang sebanyak dua kali” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Semoga tips yang dikongsikan diatas mampu membantu anda membuat keputusan yang bijak pada pilihanraya kali ini. Janganlah lepaskan peluang mandat yang telah diberikan kerana ia hadir 5 tahun sekali sahaja. Bersyukurlah kita kerana untuk membanteras kezaliman di negara ini, kita tidak memerlukan gerakan angkat senjata apatah lagi berbunuh-bunuhan demi menegakkan keadilan dan merealisasikan kesejahteraan. Buktikanlah kuasa rakyat pada 9 Mei ini! Tunaikan tanggungjawab demi kesejahteraan Malaysia bersama. Akhir kalam, penulis berharap tulisan ini mampu memberi kefahaman tentang peri pentingnya masyarakat untuk cakna politik dan semoga ia mampu membina tekad buat para pengundi PRU ke-14 untuk turun mengundi dan memilih pemimpin yang berwibawa untuk menerajui Malaysia pada sesi kepimpinan akan datang.

 

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!