GAMIS4PRU14: MANIFESTO BN, PH & GAGASAN SEJAHTERA: SUATU PERBANDINGAN

Penulisan Santai PRU14

MANIFESTO BN, PH & GAGASAN SEJAHTERA: SUATU PERBANDINGAN

  1. Perbahasan terhadap janji-janji manifesto seharusnya diperhebatkan menjelang PRU ke-14 minggu depan. Ini kerana pilihanraya adalah medan membuat keputusan bagi memilih sebuah kerajaan yang akan memerintah bagi tempoh 5 tahun akan datang dan manifesto adalah tunjang serta gagasan blok-blok parti yang bertanding.
  2. Namun, melihatkan perdebatan di media sosial khususnya, politik fitnah dan persepsi, politik menjatuhkan pihak lawan dengan cara yang tidak bermaruah masih bermaharajalela dalam sepak terajang politik hari ini. Ia telah menyebabkan masyarakat terutamanya pengundi atas pagar (the median voters) tidak mendapat maklumat yang sebenar seterusnya gagal membuat keputusan yang bermaklumat (informed decision).
  3. Paradigma ini seharusnya diubah dan tulisan ini hadir sekadar membuat beberapa perbandingan mudah terhadap tawaran manifesto yang dikemukakan blok-blok utama parti komponen yang bertanding. Penulisan ini difokuskan kepada 3 aspek utama iaitu ‘Struktur Pentadbiran & Mitigasi Rasuah’, ‘Kedudukan Islam’ serta ‘Kos Sara Hidup & Kemampanan Fiskal’.
  4. Perlu difahami bahawa kesemua manifesto dan gagasan yang dibentangkan blok-blok politik ini akan diterjemahkan ke dalam bentuk polisi dan dasar sesebuah kerajaan kelak. Ia akan melalui pusingan polisi (policy cycle) bermula dengan penentuan agenda (agenda setting), formulasi polisi (formulation of policy), perlaksanaan (implementation), penilaian (evaluation) dan ubah dan terminasi polisi (change and termination). Ertinya, menformulasi sesebuah polisi tidak semudah meletakkan janji dalam manifesto kerana prosesnya yang perlu diteliti sedalamnya.
  5. Tambahan pula, manifesto ini juga akan disesuaikan dengan polisi fiskal negara yang bertujuan untuk menstabilkan ekonomi, mengawal inflasi pada kadar yang sepatutnya juga menangani kadar pengangguran dalam negara. Kesemua ini perlu dilihat dan dinilai secara teliti bagi memastikan manifesto yang dicadangkan benar-benar praktikal dan terbaik untuk dilaksanakan.
  6. Tulisan ini sekadar melakukan perbandingan manifesto mengikut aspek yang telah disebutkan di atas untuk melihat bagaimana pendekatan yang diambil oleh blok-blok politik terhadap aspek-aspek tersebut. Ia juga hanya menfokuskan kepada manifesto-manifesto utama yang ditawarkan supaya tulisan ini menjadi ‘batu loncatan’ untuk perbincangan-perbincangan yang lebih kritikal kelak.
  7. Pertama, aspek ‘Struktur Pentadbiran & Mitigasi Rasuah’, manifesto Barisan Nasional (BN) lebih banyak memfokuskan kepada fungsi dan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Town Hall berkala, transformasi dan laporan audit tahunan. Di sana juga cadangan mewujudkan jawatankuasa Ombudsman bagi mengelakkan salah laku di dalam agensi kerajaan [1]. Ia juga terkandung dalam manifesto Malaysia Sejahtera (GS) iaitu penubuhan Institusi Hisbah Rakyat (People’s Ombudsman) bagi memastikan akauntabiliti sesebuah kerajaan yang memerintah [2].
  8. Cadangan penubuhan jawatankuasa Ombudsman menggantikan Biro Pengaduan Awam (Public Complaint Bureau – PCB) ketika ini dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah lama diusulkan oleh pelbagai pihak. Namun, kerajaan yang memerintah sebelum ini masih berkeras berpegang bahawa PCB adalah sebahagian Ombudsman di Malaysia menyebabkan fungsi sebenar Ombudsman yang seharusnya menjaga integriti sektor awam tidak dapat dimainkan sepenuhnya.
  9. Pakatan Harapan (PH) pula lebih meletakkan fokus terhadap mengurangkan pemusatan kuasa Perdana Menteri (PM) iaitu menghadkan tempoh Perdana Menteri kepada 2 penggal sahaja disamping menstruktur semula kementerian dibawah JPM [3]. Di samping itu, PH juga bercadang untuk memperkasakan peranan SPRM [4] serta bercadang untuk menyemak semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Saksi 2009 [5].
  10. Mereka juga mengetengahkan penyelesaian terhadap skandal 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji [6] di atas salah laku pemimpin negara sebelumnya. Namun, saya berpendapat alangkah baiknya juga isu-isu besar seperti Tragedi Memali turut dibuka semula kertas siasatan dan diselesaikan bagi memperlihatkan kedudukan sebenar yang berlaku beberapa dekad yang lalu.
  11. PH dan GS masing-masing mencadangkan untuk mengembalikan semangat federalism dalam pentadbiran dengan memperkukuhkan kuasa-kuasa negeri dengan PH menyertakan janji pemulangan hasil cukai pendapatan sekurang-kurangnya 10 peratus kepada negeri-negeri [7] manakala GS pula berjanji akan meningkatkan geran tahunan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri serta pemulangan hak royalti minyak pada kadar 20 peratus [8].
  12. Dalam aspek ini juga, PAS memperkenalkan gagasan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) bersama-sama idea pembentukan Kerajaan Teknokrat. WINS 2051 ini adalah pembentukan model negara berasaskan solusi dan penyelesaian Islam merangkumi pelbagai aspek termasuklah urustadbir, keselamatan, kesihatan, sains teknologi dan alam sekitar. WINS dibahagi kepada 3 fasa bermula dengan ‘Transformasi Negara Sejahtera’ (2018-2030), ‘Negara Sejahtera Negara Model’ (2031-2040) dan fasa terakhir ‘Malaysia Memimpin’ (2041-2051) [9].
  13. Manakala, cadangan pembentukan struktur kerajaan melalui Kerajaan Teknokrat juga bukan sahaja melibatkan penglibatan golongan pakar dalam membangunkan negara bahkan dapat mengurangkan ketegangan politik, meningkatkan efisyen dan effektif dalam sektor awam serta mengurangkan korupsi dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.
  14. Tambahan pula, GS memfokuskan dalam teras pertama tawaran pengukuhan terhadap konsep pengasingan kuasa yang menjadi prinsip perlembagaan serta pentadbiran yang berasaskan syara’ yang menjadi tunjang keadilan untuk semua [10]
  15. Selain itu, ketiga-tiga blok politik bersetuju mengemukakan suatu akta yang memantau sumbangan dan perbelanjaan parti-parti politik di Malaysia [11][12][13]. Ini merupakan suatu cadangan yang harus mendapat sokongan semua pihak memandangkan ia melibatkan imej integriti yang tinggi sesebuah parti politik yang terlibat dalam proses demokrasi di negara ini.
  16. Kedua, ‘Kedudukan Islam’. Manifesto BN mencadangkan untuk menubuhkan Majlis Kehakiman Syariah Kebangsaan “untuk menyelaras isu-isu berkaitan hal ehwal perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia” [14] dan ia diletakkan dibawah fasal “Membahagia dan Menjayakan Wanita Negara” memberi maksud majlis kehakiman tersebut lebih memfokuskan terhadap isu-isu berkaitan hak wanita dan kekeluargaan.
  17. Tambahan pula, jawatankuasa Menyelia Keharmonian Mahkamah Syariah dan Sivil serta jawatankuasa memperkasa Mahkamah Syariah turut terkandung dalam manifesto BN [15]. Walaubagaimanapun, jawankuasa ini pada asalnya telah pun ditubuhkan sekitar Ogos 2017 iaitu Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JMMS) berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 4 Ogos 2017. Sejauhmana jawatankuasa ini dikuatkuasa masih menjadi persoalan utama ketika ini.
  18. Dalam aspek ini, PH pula lebih menfokuskan kepada mempertahankan Perlembagaan Negara yang meletakkan “Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmonis di negara ini sejajar dengan Perkara 3” [16] dan isu-isu melibatkan Islam dan Melayu ada disentuh di dalam beberapa bahagian dalam Buku Harapan.
  19. Sebaliknya, GS di awal manifestonya menekankan “sebuah sistem tadbir urus yang bertepatan dengan tuntutan syarak…” menunjukkan Islam secara jelas sebagai tunjang dalam pentadbiran GS [17]. Malah, perkara yang sama juga ditekankan dalam pembinaan model WINS dan Kerajaan Teknokrat itu sendiri.
  20. GS juga akan terus memperjuangkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang menjadi perbahasan hangat dikalangan pengundi ketika ini [18] sekaligus memperlihatkan keseriusan GS yang diterajui oleh PAS. Tambahan lagi, GS juga bercadang memperkenalkan kaedah pampasan berasaskan syarak yang dinamakan Diyat sebagai menjamin hak mangsa jenayah.
  21. Kedua-dua aspek ini menjadi teras perbandingan dalam manifesto ketiga-tiga blok utama. Namun, aspek ‘Kos Sara Hidup & Kemampanan Fiskal’ serta penghapusan cukai GST juga perlu dibahaskan secara teliti. Manifesto BN meletakkan cadangan untuk meningkatkan jumlah bayaran terus (transfer payment) melalui BR1M serta menambah kategorinya justeru akan meningkatkan jumlah perbelanjaan mengurus khususnya [19], namun, bagaimana sisi peningkatkan pendapatan negara bagi menampung peningkatan jumlah perbelanjaan tersebut dan apakah GST akan dimanipulasi untuk menambah pendapatan negara kelak?
  22. Pada satu sisi yang lain pula, PH & GS masing-masing bercadang untuk menghapuskan GST namun PH berjanji untuk kembali kepada sistem cukai sebelumnya iaitu SST [20], manakala GS memperkenalkan sistem cukai baru iaitu cukai atas simpanan syarikat korporat dan cukai saham di bursa saham [21]. Ini beerti rakyat akan memilih untuk kekal dengan GST (BN), atau kembali kepada sistem lama, SST (PH), atau suatu sistem pencukaian alternatif melalui GS.
  23. Apakah bentuk cukai yang lebih ‘prudent’ untuk dilaksanakan bagi memastikan kemampanan polisi fiskal negara? Ini memerlukan perbincangan dan perbahasan mereka yang lebih pakar tentangnya.
  24. Jelas berdasarkan ketiga-tiga aspek di atas, manifesto Malaysia Sejahtera lebih terkehadapan berbanding buku Harapan dan manifesto Barisan Nasional. Tunjang persoalan yang perlu dipertegaskan di sini adalah bagaimana soal manifesto yang ditawarkan bersifat konstruktif dan memberikan penyelesaian yang lebih komprehensif.

Rujukan :

[1] Manifesto BN; fasal 13; ms 200

[2] Manifesto MS; Teras 1; ms 4

[3] Buku Harapan; Janji 12; ms 48

[4] Buku Harapan; Janji 14; ms 51

[5] ibid. ms 52

[6] Buku Harapan; Janji 13; ms 50

[7] Buku Harapan; Janji 24; ms 73

[8] Manifesto MS; Teras 7; ms 15

[9] Rujuk dokumen WINS

[10] Manifesto MS; Teras 1; ms 4

[11] Manifesto BN; Fasal 13; ms 204

[12] Buku Harapan; Janji 18; ms 61

[13] Manifesto MS; Teras 1; ms 5

[14] Manifesto BN; fasal 6; ms 114

[15] Manifesto BN; fasa 12; ms 194

[16] Buku Harapan; ms 10

[17] Manifesto MS; Teras 1; ms 4

[18] Manifesto MS; Teras 6; ms 13

[19] Manifesto BN; fasal 1; ms 29

[20] Buku Harapan; Janji 1; ms 16

[21] Manifesto MS; ms 19

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!