GAMIS4PRU14: RUU355 : Antara Retorik Atau Realiti?

Oleh: Mehmed Al-Pharabius

Demokrasi merupakan pemerintahan yang berasaskan majoriti ataupun keputusan mengikut suara ramai disamping ianya suatu sistem yang meletakkan perlembagaan negara sebagai undang-undang tertinggi. Sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang membahagikan kuasa pemerintahan kepada tiga badan utama iaitu Eksekutif, Legislatif dan Judisiari.

Judisiari merupakan badan yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif. Badan ini merupakan sebuah badan berasingan dan bebas daripada politik, bagi menjamin keadilan di negara ini.

Kewujudan dua mahkamah iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah menjadikan berlakunya pertembungan undang-undang dan bidang kuasa antara keduanya yang selalu dimainkan dalam negara ini. Harmonisasi undang-undang sivil dan undang-undang syariah perlu dilakukan untuk kebaikan bersama masyarakat di Malaysia. Hal ini dapat dilakukan melalui peningkatan tahap pelaksanaan undang-undang syariah agar berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan undang-undang sivil.

Akta 355 adalah suatu akta untuk memberi bidang kuasa jenayah kepada mahkamah yang ditubuhkan dibawah mana-mana undang-undang negeri untuk membicarakan kesalahan jenayah bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Perintah Allah SWT yang wajib bagi umat Islam ikuti sebagaimana firman-Nya dalam Surah Asy-Syura ayat 13 yang bermaksud:

“Tegakkanlah agama (Islam) dan janganlah kamu berpecah belah di dalamnya…”

Akta ini mula-mula dikanunkan pada tahun 1965 yang disebut sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Hukuman yang tersenarai dalam akta ini ialah denda RM1,000 dan penjara selama 6 bulan. Pindaan yang pertama dilaksanakan pada tahun 1984 yang dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984, untuk meluaskan lagi kuasa menghukum Mahkamah Syariah kepada tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Selepas itu, akta ini dipinda lagi pada tahun 1989 untuk diluaskan ke Sabah dan Sarawak yang dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1989. Pindaan terakhir berlaku pada tahun 1997 dan dikenali sebagai Akta Tafsiran (Pindaan) 1997. Kesemua pindaan bermula tahun 1984, 1989 dan 1997 diusulkan oleh pihak kerajaan.

Manakala, buat kali pertama pindaan pada tahun 2016 dibawa secara usul persendirian oleh yang berhormat ahli parlimen Marang yang bertujuan untuk meluaskan lagi bidang kuasa hukuman yang dibenarkan oleh Mahkamah Syariah, kecuali hukuman mati. Pindaan terbaru yang dibuat oleh yang berhormat ahli Parlimen Marang adalah membuat pindaan terhadapat hukuman yang sedia ada.

Cadangan pindaan RUU 355 adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syar’ie. Kali terakhir dipinda pada tahun 1984 peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1000.

Pindaan Akta 355 bertujuan meningkatkan hukuman bagi memperkasakan mahkamah syariah dalam pengawalan moral sekarang ini yang berhadapan dengan gejala sosial yang amat serius. Hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Dicadangkan untuk meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

Antara kejayaan yang telah ditempuhi ialah Akta 355 ini dibuat pada tahun 1965 oleh Parlimen dengan bidang kuasa denda tidak lebih 1000 ringgit dan penjara tidak lebih 6 bulan. Selepas 19 tahun kemudian, ia dipinda pada tahun 1984 dengan bidang kuasa baru iaitu penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih 5000 ringgit dan sebat sebanyak 6 kali. Hanya Selepas 32 tahun, barulah Akta 355 ini dapat peluang untuk dipinda lagi.

Pindaan kali ini diusulkan oleh YB Dato Seri Tuan Guru Ahli Parlimen Marang melalui Rang Undang-Undang Ahli Persendirian. Bidang kuasa yang dicadangkan pindaannya adalah ke arah menepati undang-undang syariat. Menariknya, sewaktu Akta 355 ini dibuat pada 1965 dan pindaannya pada 1984 serta 1989 tidak pula mencetus pertikaian. Malangnya apabila pindaan cuba dilakukan lagi pada tahun 2016 ini, ke arah memperkasa dan memberi hak Mahkamah Syariah berhukum dengan undang-undang Syariat, maka ia dijadikan polemik dan pertikaian.

Pada 2 Julai 2015, pihak defendan diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memfailkan permohonan awal membantah saman pemula itu atas alasan pemohon sepatutnya memfailkan permohonan itu melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula. Ini kerana mereka mencabar berhubung proses membuat keputusan oleh pihak berkuasa awam seperti Parlimen.

Jadi, menyerang proses membuat keputusan perlu melalui semakan kehakiman di bawah Perintah 49 Perintah Tetap Parlimen. Tuan Guru turut mendakwa saman pemula yang difailkan keempat-empat pemohon itu juga tidak mempunyai merit dan sebagai anggota Dewan Rakyat, beliau mempunyai hak keistimewaan serta imuniti. Beliau juga diwakili oleh peguam Datuk Takiyudin Hasan, Setiausaha Agung PAS.

Pada 29 March 2017, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Abd Razak pula mengisytiharkan bahawa kerajaan BN tidak akan membentangkan Pindaan Akta 355 tersebut ke parlimen, sebaliknya kekal sebagai Rang Undang-Undang Persendirian. Ertinya ia akan dibentangkan oleh PAS sebagaimana sebelumnya.

Pengisytiharan itu tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak PAS. Situasinya adalah “kekal pada format asal”. Sememangnya, Ahli Parlimen PAS sejak awal telah diletakkan dalam ‘mode standby’ bagi menghadapi perbahasan di parlimen. Hanya beza jika kerajaan BN bentang maka ia menjadi Bill Kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. Jika PAS yang membentangnya maka ia kekal seperti asal iaitu Rang Undang-Undang Persendirian maka gilirannya ditentukan oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan.

Pendirian Gagasan Sejahtera adalah sangat konsisten untuk membawa RUU355 berbanding dengan parti-parti pembangkang yang lain dan pindaan RUU ini dapat mendorong masyarakat agar melakukan sesuatu berlandaskan hukum dan syariat Islam serta memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Firman Allah SWT dalam Surah Al’A’raf ayat 96 yang bermaksud:

Dan jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka lakukan”.

Oleh itu, umat Islam khususnya ahli Parlimen yang beragama Islam wajib bersama-sama menyokong usul yang ingin dibawa ini tanpa mengira latar belakang politik kerana ia perkara berkaitan agama Islam. Pihak kerajaan diharapkan agar dapat memberikan kerjasama yang baik dalam usaha membawa usul ini di parlimen agar dapat memberi bidang kuasa kepada mahkamah syariah bagi membolehkannya membicara dan menjatuhkan hukuman sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak melalui kaedah fiqh yang bermaksud:

Barang yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya, maka hukumnya wajib”.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!