HENTIKAN RUNDINGAN TPPA SEGERA

Leaders_of_TPP_member_states

HENTIKAN RUNDINGAN TPPA SEGERA

1. Tindakan kerajaan Malaysia yang masih terus berunding dalam Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) sememangnya amat mengecewakan. Meskipun rundingan ini mendapat tentangan secara terbuka oleh segenap sektor rakyat Malaysia, kerajaan seolah-olah membutakan mata dan terus memekakkan telinga.

2. Satu perkara yang mustahak untuk memastikan bahawa perjanjian TPPA ini perlu mengutamakan kepentingan kedaulatan negara dan kebajikan rakyat, berbanding apa-apa manfaat perdagangan yang mungkin diperolehi dari perjanjian ini. Apa yang nyata, manfaat dari perdagangan tersebut terlalu banyak yang boleh dipertikaikan.

Ketelusan TPPA

3. Kerahsiaan perundingan ini terus menjadi tanda tanya kepada rakyat Malaysia. Kebanyakan maklumat berkaitan TPPA hanya diperolehi dari draf teks TPPA yang telah dibocorkan. Sehingga ke hari ini, kerajaan masih belum mendedahkan secara terperinci isi kandungan, isi-isi yang dipersetujui dan kajian ‘cost-benefit analysis’ TPPA kepada Parlimen secara khususnya dan rakyat secara amnya.

4. Tambah membimbangkan lagi, jika dilihat dari perjanjian-perjanjian perdagangan yang melibatkan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini, yang pasti mendapat keuntungannya hanyalah syarikat-syarikat multinasional.

5. Apa yang kami kesalkan, kerajaan Malaysia masih menyertai mesyuarat peringkat menteri kali ke-8 berkenaan TPPA di Singapura, meskipun perundingan itu masih dalam kesamaran. Kami khuatir sekiranya 8 lagi bab yang akan dirundingkan dalam perjanjian itu dipersetujui tanpa dibahaskan secara terperinci dan matang dalam Parlimen. Pada akhirnya, yang bakal merasai kesannya ialah kita sebagai rakyat Malaysia.

Kedaulatan Negara Terancam

6. Dalam Sidang APEC CEO (APEC) Summit Dialogue Oktober tahun lepas, Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa TPPA ini merupakan suatu perjanjian yang luar dari kebiasaan. Ia bakal mencakupi soal harta intelek, pendapatan kerajaan, dasar afirmatif, ‘investor-state dispute settlement’ (ISDS), alam sekitar serta isu buruh. Kami khuatir hal ini bakal menjejaskan kedaulatan negara dalam melaksanakan dasar dan polisi.

7. Dalam isu ISDS misalnya, ISDS memberikan syarikat asing hak untuk membawa isu yang didakwa menjejaskan pelaburan mereka di sesebuah negara kepada tribunal perdagangan bebas, sekali gus mencabar polisi dan dasar kerajaan.

8.Dalam tahun kebelakangan ini, penggunaan ISDS untuk mencabar kerajaan dalam isu seperti alam sekitar, tenaga, pengawalan kewangan, kesihatan awam dan tanah telah meningkat dengan begitu mendadak. Setakat Disember 2013, sebanyak 500 kes tuntutan oleh syarikat korporat kepada 95 buah kerajaan telah difailkan.

9. Antara kes yang masyhur ialah tindakan pelabur EU yang mengecam kenaikan gaji minimum di Mesir, serta tindakan sebuah syarikat AS menyerang tindakan kerajaan Peru mengawal sisa-sisa toksik berbahaya yang melibatkan syarikat tersebut.

10. Kes yang lebih membimbangkan ialah tindakan taikun rokok AS, Philip Morris yang mencabar undang-undang anti merokok di Uruguay dan Australia. Kami teramat khuatir sekiranya kejadian sama berulang di Malaysia, kempen kesihatan dan anti-merokok yang kini diusahakan kerajaan bakal terjejas teruk.

11. Kerajaan seharusnya mampu mengimplimentasikan dasar yang melibatkan kepentingan awam tanpa rasa takut akan ancaman saman dan tindakan dari syarikat-syarikat korporat.

Menjejaskan Kebebasan Ilmu dan Maklumat

12. Dalam draf teks TPPA yang dihebahkan, TPPA bakal melanjutkan hak eksklusif penerbit untuk ‘copyright’ semua karya milik individu atau korporat melewati tempoh sedia ada 50 tahun kepada 95 tahun untuk korporat, 70 tahun selepas kematian pengarang, dan 120 tahun untuk karya yang belum diterbitkan.

13. Kami khuatir sekiranya perjanjian TPPA ini ditandatangani oleh Malaysia, maka akses kepada khazanah keilmuan akan terbantut kerana pemerolehan buku-buku teks rujukan pelajar sekolah dan universiti tidak boleh diperolehi daripada sumber ketiga. Ianya akan dihalang daripada dicetak semula atau difotostat dengan kos yang murah. Hal ini akan menjejaskan mahasiswa yang terpaksa membeli buku sedemikian dengan harga tinggi mencecah beratusan ringgit daripada penerbit asal.

14.Pada tahun 2012, pertubuhan The International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA), sebuah badan antarabangsa yang mewakili kepentingan perpustakaan dan informasi dari seluruh dunia juga membidas perjanjian TPPA ini.

15. IFLA berpendapat bahawa walaupun hak pencipta karya asal harus dijaga tetapi ianya perlu diimbangi oleh kebolehan rakyat jelata untuk mengakses maklumat tersebut tanpa apa jua sekatan, sesuatu yang perlu diambil kira oleh kerajaan dalam perundingan TPPA ini.

16. Justeru itu, dengan mengambil kira faktor-faktor di atas, GAMIS berpendirian untuk menolak sebarang tindakan kerajaan yang masih meneruskan perundingan TPPA sehingga ke hari ini.

17. Kami mendesak pihak kerajaan mengambil serius penentangan secara jelas yang disuarakan oleh masyarakat sivil dalam siri-siri bantahan dan desakan. Janganlah kerana kealpaan dan kesilapan kerajaan dalam membuat keputusan pada hari ini, meranapkan masa depan anak bangsa Malaysia.

Abdul Malik bin Ab Razak
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!