ISIUKM Tolak Budaya Hedonisme

561382557535lifeincolor

Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan penganjuran konsert Future Music Festival Asia yang berlangsung di Bukit Jalil yang telah mengorbankan 6 orang nyawa anak muda dan salah seorangnya adalah mahasiswa/i di salah sebuah IPTA di Malaysia. Kejadian ini disebabkan oleh pengambilan dadah yang berlebihan oleh mangsa serta sesak nafas semasa berhibur di acara muzik terbesar itu.

Peristiwa yang berlaku di saat negara sedang dilanda ujian atas kehilangan kapal terbang MH370, telah memberikan isyarat yang jelas bahawa masih wujud kelemahan dari segi pemantauan yang tegas oleh pihak berkuasa terhadap program-program hiburan yang dianjurkan lebih-lebih lagi Festival Music yang berlaku baru-baru ini.

Lebih menyedihkan, pada 19 April nanti rakyat Malaysia bakal disajikan dengan Party Life in Colour yang akan diadakan di Go Kart Circuit, Sepang. Melihat disebalik penganjuran, parti liar ini dianjurkan sendiri oleh Future Sound Asia dan Zouk Kuala Lumpur yang disokong MyCEB yang berada dibawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Bahkan, tidak menghairankan jika parti liar ini dianjurkan semata-mata untuk merealisasikan salah satu elemen utama dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan bagi memajukan industri pelancongan.

Lantaran itu, Pihak kementerian sepatutnya sedar bahawa penganjuran pesta dan konsert liar akan memberikan kesan yang amat negatif kepada masyarakat khususnya anak muda seperti pengedaran dan penjualan dadah, seks bebas serta minuman arak secara berleluasa walaupun ia hanya memainkan muzik. Oleh itu, penganjuran pesta seperti ini memperlihatkan kurangnya peranan kerajaan dalam mencegah kerosakkan moral generasi muda malah memperhebatkan lagi penularan budaya hedonisme dikalangan anak muda.

Pencegahan Bermula Di Kampus.

Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :

Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman”. (Hadis sahih riwayat Muslim)

Oleh itu, Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) sebagai persatuan mahasiswa islam induk di Universiti Kebangsaan Malaysia, sedar dan optimis untuk membendung budaya ini daripada terus memasuki lapangan kampus bahkan masyarakat. Antara perspektif ISIUKM terhadap isu ini ialah :

1. ISIUKM dengan jelas menolak pengamalan dan penyebaran budaya hedonisme dikalangan masyarakat kampus serta memastikan segala program hiburan yang dianjurkan di UKM adalah bertepatan yang telah digariskan oleh syara’.

2. ISIUKM akan memberikan penerangan secara berhemah dan muhibbah mengenai cara berhibur mengikut landasan Islam.

Akhir kata, saya mewakili Ikatan Studi Islam UKM berharap agar kampus yang sama-sama kita cintai ini dijauhkan dengan budaya-budaya kotor yang akan menghancurkan anak muda dan mahasiswa.

“Selangkah Bersama Memacu Perubahan”

Muhammad Muzakkir Bin Mamad Setiausaha Agong ISIUKM 13/14.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!