ISRAK MIKRAJ: SUATU PERJALANAN YANG MULIA

 

ISRAK MIKRAJ: SUATU PERJALANAN YANG MULIA
3 April 2019M | 27 Rejab 1440H

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Isra’, 17:1)

1. Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa takwa terhadap Allah SWT menerusi sebahagian kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

2. Menelusuri kisah perjalanan baginda yang bermula selepas Isyak sehingga Subuh, Nabi Muhammad SAW telah dipertemukan dengan pelbagai peristiwa termasuklah pertemuan dengan para Nabi terdahulu, juga pertemuan langsung baginda dengan Allah SWT yang membawa kepada kewajipan solat fardhu pada hari ini.

3. Dalam perjuangan membawa Islam, pasti ada onak durinya. Begitu juga yang dialami sendiri oleh baginda SAW yang dikecam hebat oleh orang Arab Quraisy yang langsung tidak mempercayai kisah perjalanan baginda, bahkan mereka turut memburukkan baginda di hadapan pengikutnya yang ramai. Perbuatan mereka ini sangat menguji keimanan pengikut baginda pada waktu itu.

4. Rentetan daripada peristiwa ini telah membawa kepada satu titik tolak kepada penapisan keimanan para sahabat sebelum peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Hanya sahabat baginda yang mantap dan teguh imannya sahaja yang istiqamah bersama Nabi berhijrah ke Madinah. Melalui penghijrahan kaum Muhajirin dari Mekah yang telah diuji keimanannya sebelum ini, usaha dakwah diteruskan pula di Madinah bersama golongan Ansar yang akhirnya membawa kepada tertegaknya Daulah Islamiyah di Madinah.

5. Semoga dengan perjalanan peristiwa ini dapat memberi seribu satu ibrah yang berguna buat semua, seterusnya dapat membentuk satu model peribadi muslim yang lebih produktif iman dan amalnya dalam mendepani arus kehidupan yang semakin mencabar saban hari.

“MARA BERSAMA ISLAM”

MUHAMAD ZULHILMI ZAKARI MOHAMED
PENGERUSI MAJLIS DAKWAH & KEBAJIKAN GABUNGAN
MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2019

#GAMIS2019
#MaraBersamaIslam

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!