Kemelut Isu Bekalan Air Di Kedah: Umno Kedah Jangan Terus Sembunyi Kebenaran

12032014_647335695407469_6971138973535397058_n

1. Mutakhir ini, negeri Kedah terus hangat berpencak dengan kemelut bekalan air bermasalah yang berlarutan sejak Aidilfitri yang lalu. Kemarahan rakyat terus membebani pundak Datuk Seri Ahmad Bashah selaku Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang baharu. Saya melihat permasalahan ini tidak sepatutnya melanda negeri ini yang menerima peruntukan antara yang tertinggi daripada kerajaan persekutuan untuk bekalan air terawat dan bersih sejak tahun 1990 yang lalu.

2. Rekod kewangan menunjukkan, selain pembiayaan bekalan air negeri yang mencecah hampir RM1.9 bilion daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Kedah juga telah menerima peruntukan khas sebanyak RM26.5 juta daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob dan RM148.5 juta daripada program Transformasi Luar Bandar.

3. Tidak cukup sekadar itu, projek ‘Jeniang Transfer’ juga telah mencatatkan penggunaan mencecah RM222.3 juta bagi menangani isu air berkurangan yang melanda di sesetengah kawasan. Hal ini dimaklumkan oleh Datuk Suraya Yaacob merangkap Exco Kerajaan Negeri di dalam Sidang DUN Kedah pada November 2013 yang lalu.

4. Di samping itu, aset bekalan air negeri Kedah turut merekodkan pemilikan empat empangan utama selain beberapa empangan kecil, 33 loji rawatan air dan sejumlah besar rumah pam yang sehingga kini telah menyumbang sebanyak 500 juta meter padu air terawat setahun. Malahan, kadar peratusan penggunaan keseluruhan yang tidak mencapai 50% setahun telah membolehkan hasil air ini dikongsi bersama pengguna di Perlis dan Pulau Pinang. Oleh yang demikian, atas alasan apa lagi kemelut permasalahan bekalan air ini terus-terusan menyinggah? Adakah slogan “BN Menang, Kedah Senang” hanya sekadar polemik tebu di tepi bibir yang mungil indah?

5. Saya berpendapat kecemerlangan SADA dalam menangani isu bekalan air di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar Kedah yakni Allahyarham Datuk Seri Ustaz Azizan bin Abdul Razak selepas kemenangan Pakatan Rakyat di Kedah pada PRU 2008 yang lalu gagal diteruskan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah bin Md Hanipah pada kali ini. Kegagalannya semakin jelas kelihatan apabila beliau bersama exconya, Datuk Badrol Hisham bin Hashim hanya mampu menyalahkan pihak lain tanpa mampu menyediakan pelan tindakan kontigensi bagi menangani masalah ini. Ternyata tindakan kerajaan negeri pimpinan UMNO-BN ini ibarat “diri sendiri yang tidak tahu menganyam, daun pandan pula yang disalahkan”.

6. Tuntasnya, saya menyeru kepada seluruh anak watan serta rakyat negeri Kedah, tidak kira warga emas waima golongan belia untuk sama-sama turun menyatakan kebimbangan dan tuntutan hak anda sebagai rakyat Kedah yang sah di dalam Himpunan Derita Rakyat: Isu Air Kedah yang akan berlangsung pada pukul 5 petang ini di Loji Air Kuala Nerang anjuran PAS Kedah dengan kerjasama Sahabat Air Kedah Darul Aman.

7. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) turut memberikan sokongan padu dengan menyatakan solidariti bersama warga Kedah. Ayuh, kita nyatakan kepada kerajaan negeri pimpinan UMNO-BN ini bahawa mereka masih lemah. Rakyat perih meratap sendiri sedangkan mereka culas menanggung amanah!

Syamil Hafizi
Naib Presiden 1
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!