Kenapa Kita Gagal?

nachdenklich

Assalamu’alaikum kepada pembaca-pembaca sekalian.

Bersyukur kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah dan rahmatNYA, kita masih lagi bisa bernyawa dan masih lagi dapat merasai nikmat-nikmat Allah S.W.T. dimuka bumi ini. Sahabat-sahabat sekalian, jika dilihat pada hari ini, masih ramai lagi manusia diluar sana yang berada dalam kelompok kemiskinan. Pelbagai jenis kemiskinan yang dapat didefinisikan disini, antaranya kemiskinan wang, pakaian, kedudukan, ilmu, hala tuju dan sebagainya. Apa yang penulis ingin kaitkan dengan topik kita pada kali ini ialah KENAPA MANUSIA GAGAL?

Pada pendapat anda, kenapa masih ada ramai lagi yang gagal? Apa yang menyebabkan mereka menjadi begini? Mari sama-sama kita tengok, apakah punca sebenar kepada kegagalan. Berbalik kepada “kemiskinan” yang penulis telah nyatakan sebentar tadi, mungkin ada yang cuba mengatakan ianya dapat didefinisikan sebagai seseorang yang mengalami kemiskinan ilmu, dan mungkin juga sebagai seorang yang kemiskinan hala tuju atau mungkin juga boleh dikatakan sebagai seorang yang kemiskinan dalam kedudukan.

 

Sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi sekalian,

Apabila disebut GAGAL atau anda GAGAL, sebenarnya perkataan ini amatlah dipandang negatif oleh setiap manusia, khususnya masyarakat melayu pada hari ini. Berbeza dengan masyarakat barat yang sukakan kegagalan kerana dari kegagalan, mereka akan meraih banyak pengalaman-pengalaman baru. Kenapa perkataan GAGAL boleh menjadi suatu yang negatif kepada masyarakat melayu sekarang? Itu kerana pada kotak fikiran kita itu terdapat kompartmen-kompartmen yang mana telah dibahagikan kepada dua : kompartmen positif dan kompartmen negatif. Apabila seseorang itu memikirkan bahawa GAGAL itu suatu yang negatif bagi dirinya, maka secara automatik, perkataan GAGAL ini akan berada pada kompartmen yang negatif. Akan tetapi, persoalannya, bagaimanakah GAGAL ini dicipta dan muncul dalam kehidupan manusia.

Menurut Siimon Reynolds di dalam buku karangannya yang bertajuk “Why People Fail” telah menceritakan kepada anda semua tentang 16 halangan yang telah menyebabkan kegagalan seorang manusia itu dan bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah tersebut( English version). Apa yang menarik mengenai buku ini adalah penulisannya yang berbentuk “fiksyen” yang mudah difahami oleh setiap pembaca seperti penceritaan yang digabungkan dengan kombinasi warna-warna kehidupan beliau yang berbentuk pengalaman, pemerhatian dan kajian.

 

Sahabat-sahabat pembaca sekalian,

Apa yang ingin saya kongsikan disini adalah tentang sesuatu yang begitu berharga dalam hidup kita dan juga sesuatu yang sangat penting dalam hidup. “Unclear Purpose” ataupun “matlamat yang tidak jelas”. Inilah masalah yang telah dihadapi oleh saudara-saudara kita sekarang. Jika dilihat pada susunan penulisan Sir Siimon Reynolds, “unclear purpose” merupakan halangan yang pertama telah dinyatakan di dalam buku ini menunjukkan bahawa ianya adalah suatu halangan yang terbesar bagi kita.

Realiti kehidupan sekarang, masih ramai lagi yang belum sedar dan belum mengerti apa itu tujuan dan matlamat, dan masih ada juga yang tidak mengetahui apa yang mereka inginkan dalam hidup. Sebenarnya kita tidak perlu untuk menjadi bijak seperti orang lain, juga tidak perlu untuk menjadi hebat, dipandang tinggi dan juga tidak perlu untuk menjadi orang yang bertuah. Semestinya anda akan pelik kenapa tidak perlu kepada semua ini? Jawapannya ialah, apa yang kita inginkan di atas ini, semuanya akan hadir sejurus selepas kita jelas apa itu purpose, tujuan, dan matlamat kita dalam hidup.

Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang.

-Cecil B. DeMille-

 

Sahabat-sahabat pembaca sekalian,

Oleh itu, “wake up from dreaming and stand up for reality”. Ini kerana Allah S.W.T. tidak menjadikan kita di atas muka bumi sebagai sebuah patung yang tidak ada nilai padanya, akan tetapi, Allah S.W.T. telah menjadikan kita sebagai khalifah yang mana bisa merubah dunia. Inilah tujuan Allah S.W.T. menciptakan kita di atas muka bumi yang mulia ini.

Dalam surah ar-ra’d : 11, Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud:

“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan  diri mereka sendiri…”

Pesanan penulis kepada pembaca, jangan lupa bahawa kehidupan kita bukan hanya berhenti disini, bahkan kita akan bertemu dan menghadapi dengan dunia yang sebenar, iaitu dunia akhirat yang kekal abadi. Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mencari redha Allah agar hidup kita sentiasa bersinar dan maju kehadapan, insyaAllah.

 

Nukilan,

Nurul Awatif Nasaruddin

Pelajar Tahun Dua,

Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, UIAM Gombak.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!