Kenyataan Media: Gamis Mendesak Tindakan Serius Peguam Negara Dalam Isu 1MDB

 

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mewakili mahasiswa Islam seluruh Malaysia menuntut agar Peguam Negara bertindak dengan tegas dan serius dalam menyelesaikan skandal 1MDB yang telah didedahkan oleh Department of Justice, USA. GAMIS telah mengunjungi Pejabat Peguam Negara untuk menyerahkan memorandum desakan, dan telah disambut baik oleh En Zulharry Rashid selaku Pegawai Khas Peguam Negara.

Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan dan pendakwaan Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch bahawa terdapat penggubahan wang haram dan pemilikan harta atas nama peribadi di negara itu hasil penyelewengan daripada syarikat 1MDB yang merupakan milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia.

Merujuk seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613):
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan penggubahan wang haram dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.”

Jenayah penggubahan wang haram ini bukan satu kesalahan kecil malah memberi impak yang besar kepada ekonomi, keselamatan, dan pentadbiran negara. Bahkan ia juga adalah suatu perkara yang HARAM disisi agama kerana dikira memakan harta awam dengan cara yang batil.

Firman Allah SWT :

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. [An-Nisa, 29]

GAMIS melihat pendedahan yang dibuat sebagai pendakwaan berat dan wajar disiasat dengan telus dan diambil tindakan sewajarnya walaupun melibatkan kepimpinan tertinggi negara. Pihak Peguam Negara harus berani dalam menjalankan tugas dengan amanah dan bebas sesuai dengan slogan baru “Bertekad Menegakkan Keadilan”.

Islam sendiri menyarankan jika keadilan tidak dapat tertegak kerana terdapat kepentingan pada pihak tertentu, maka wajib untuk melantik wakil lain yang tiada apa-apa kepentingan untuk menyelesaikan konflik tersebut. Ini bagi menjamin keadilan dapat ditegakkan.

Siapapun yang didakwa perlu diberi ruang untuk mempertahankan hak mereka dengan mengemukakan hujah. Tiada bukti, maka tiadalah hukuman. Tetapi sekiranya terbukti seseorang itu bersalah, maka wajar untuk disabitkan hukuman yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan tidak kira pangkat dan kedudukan.

Berikut merupakan tuntutan daripada GAMIS dan gabungan gerakan mahasiswa seluruh Malaysia kepada Peguam Negara:

1. MENUNTUT AGAR PEGUAM NEGARA SEGERA MENGAMBIL TINDAKAN YANG TEGAS TERHADAP LAPORAN DEPARTMENT OF JUSTICE (DOJ) DAN MEMANFAATKAN AKTA BANTUAN BERSAMA DALAM PERKARA JENAYAH UNTUK BERKONGSI BUKTI DAN MEMULAKAN PENDAKWAAN JENAYAH DIDALAM NEGARA.

2. MENUNTUT AGAR PEGUAM NEGARA MEMBUKA KERTAS SIASATAN TERHADAP SKANDAL 1MDB DAN MENDAKWA PIHAK YANG TERLIBAT DI BAWAH AKTA 613.

3. MENUNTUT AGAR PIHAK PEGUAM NEGARA MEMBERIKAN KOMITMEN YANG TINGGI DAN SERIUS UNTUK MENYELESAIKAN SKANDAL INI DEMI MENJAGA NAMA DAN MEMPERTAHANKAN MARUAH NEGARA.

Dalam keadaan rakyat ditimpa kesempitan dengan kos sara hidup yang kian meningkat kerana kondisi ekonomi hari ini, kita berasa sangat terkilan dengan penyelewengan yang didedahkan. Lebih 3.5 billion USD dilaporkan berjaya diselewengkan untuk kegunaan peribadi. Rakyat Malaysia mahukan tindakan telus dengan segera.

GAMIS mengiktiraf disiplin sebuah negara demokrasi yang meletakkan kepercayaan terhadap institusi keadilan untuk mendakwa semua pihak yang terlibat dan membersihkan nama negara khususnya dalam skandal 1MDB. Semoga tekad untuk menegakkan keadilan digenggam teguh untuk memastikan hak rakyat terbela dan pesalah dihukum selayaknya.

Sekian,

“BERSAMA MELANGKAH, MENUJU PERUBAHAN”

MUHAMMAD AFIQ BIN AWANG BAKAR
PRESIDEN
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA (GAMIS) 2016

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!