KENYATAAN MEDIA ISU INTEGRITI

KENYATAAN MEDIA ISU INTEGRITI

13 FEB 2019 M | 08 JAMADIL AKHIR 1440 H

[GAMIS MEMBANTAH PEMALSUAN KELAYAKAN AKADEMIK]

1. Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan pemalsuan kelayakan akademik dalam kalangan menteri dan wakil rakyat di negara ini. Isu yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai pengajaran yang pahit dalam sejarah pentadbiran negara. Memetik temubual Sinar Harian bersama Datuk Seri Ahmad Maslan, beliau menyatakan bahawa setiap pemimpin perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka tulis atau katakan dalam biodata diri mereka. Pemimpin perlu jujur apabila memberikan maklumat berkaitan diri mereka terutama kelayakan akademik mereka.

2.Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Negeri Sarawak (GAMIS Sarawak) memandang serius keraguan kelayakan akademik berkenaan, serta mendesak agar satu siasatan terperinci perlu dilakukan dengan segera. Sekiranya perkara tersebut melibatkan pemalsuan dokumen akademik, maka ia diangggap sebagai satu kesalahan jenayah di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan. GAMIS Sarawak tidak mempersoalkan kelayakan akademik mana-mana pihak, namun tindakan pemalsuan dokumen untuk mendapatkan hak dan kelayakan tertentu merupakan suatu perkara yang tidak boleh ditoleransi. Hal ini kerana;

2.1 Perjuangan menuntut ilmu ini merupakan suatu amalan yang mulia, yang tidak sewajarnya dicemari dengan penipuan dan jalan singkat. Mahasiswa yang giat menuntut ilmu di universiti demi menggenggam segulung ijazah, berhempas-pulas mengerahkan tenaga, masa dan duit mereka selama bertahun-tahun namun masih berdepan dengan risiko pengangguran setelah tamat pengajian. Pengorbanan mahasiswa berjauhan daripada keluarga, menanggung hutang PTPTN sehingga ada yang mengikat perut demi kelangsungan hidup di alam universiti, tidak lupa juga penat lelah para pensyarah mendidik anak bangsa seperti dibakulsampahkan oleh pemimpin dan wakil rakyat tempatan yang terlibat dalam skandal pemalsuan kelayakan akademik ini.

2.2 Penemuan ini juga menjejaskan reputasi kabinet kerajaan sekiranya tiada tindakan lanjut diambil. Pertama, membuktikan tiadanya nilai integriti dalam diri pemimpin. Kedua, mengesahkan bahawa kelayakan akademik sekadar senjata pemainan politik yang boleh merendah-rendahkan kemuliaan ilmu yang diajar di institusi pengajian tinggi. Harapan setinggi gunung untuk menabur bakti kepada negara dibalas dengan kekecewaan apabila individu yang tidak berintegriti mengambil kesempatan memanipulasi pemikiran rakyat dengan kebohongan demi kekuasaan, sanjungan dan harta dunia semata-mata. Lebih memalukan, isu ini turut dilaporkan oleh media antarabangsa berpengaruh seperti Bloomberg dan Business Insider Singapore.

2.3 Dari sudut yang lain pula, dikhuatiri masyarakat tempatan terutama generasi muda akan mengikut jejak langkah figura politik negara. Untuk melangkah ke arah Malaysia baharu yang bebas rasuah dan korupsi, segala bentuk tindakan perlu diambil serius dengan penuh tanggungjawab untuk kebaikan pada masa hadapan. Setiap tindakan yang ingin dilakukan perlu memikirkan kepentingan dan kesannya.

3. Sesungguhnya pemimpin yang baik lahir daripada rakyat yang baik. Pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya harus diaplikasi dengan sebaiknya, sebagaimana ibu bapa perlu mendidik anaknya dengan baik di rumah begitu juga tanggungjawab pemimpin terhadap rakyatnya. GAMIS Sarawak amat menyeru ke arah tindakan undang-undang seadilnya ke atas segala bentuk penipuan dan pemalsuan dokumen termasuk kelayakan akademik. Sesungguhnya kebenaran akan tertegak juga akhirnya sebagaimana pepatah Melayu pernah menyatakan setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
“Sesungguhnya manusia terbaik untuk bekerja adalah orang yang kuat dan amanah.” {Surah Al-Qasas, ayat 26}

“MARA BERSAMA ISLAM”

MAJLIS POLITIK NASIONAL
GAMIS SARAWAK 2019

#MaraBersamaIslam
#GAMISSarawakFanClub2019

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!