Kesihatan Mental Pekerja: Implikasi Jenayah Meningkat

masyarakat-sub-pic-sakit-mental

KESIHATAN MENTAL PEKERJA: IMPLIKASI PENINGKATAN KES JENAYAH

Sebuah negara tidak didefinisikan hanya kepada keluasan wilayah, kedudukan pemerintah atau kedaulatan undang-undangnya sahaja. Bahkan, antara unsur yang juga membentuk sesebuah negara adalah keberadaan manusia yang mentadbir sebagai modal insan ke arah pembangunan yang lebih terarah.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat memerlukan tenaga dan sumbangan manusia, sama ada dari posisi pemerintah mahupun rakyat. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sebuah negara yang berstatus negara membangun, pembinaan manusia sangat perlu ditekankankan di setiap peringkat sebelum kita membina negara itu sendiri.

Keberadaan Kementerian Sumber Manusia sebagai salah satu badan dalam kabinet negara merupakan salah satu medium yang ada untuk membangunkan tenaga manusia sebagai sebuah masyarakat yang menjadi pendokong negara.

Lebih dari 10 akta yang termaktub dalam undang-undang Malaysia membicarakan berkenaan pengurusan dan pembangunan manusia, khususnya dalam sektor pekerjaan. Keberadaan akta-akta seperti Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Pampasan Pekerja 1952 (Akta 273), Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan pelbagai peruntukan undang-undang lain yang berkenaan menggambarkan betapa pentingnya pembinaan tenaga manusia sehingga diperuntukkan di peringkat penguatkuasaan negara.

Bukan sekadar di peringkat pekerjaan, pembinaan sumber tenaga manusia sentiasa penting di setiap peringkat.

Namun kita perlu sedar, pembinaan sumber tenaga yang baik tidak mampu dicapai, sekiranya usaha tersebut hanya sekadar melalui penguatkuasaan undang-undang dan penubuhan jabatan atau badan yang mengawal semata-mata. Tambahlah pelbagai jenis undang-undang sekalipun, cadangkanlah kementerian-kementerian yang baru sebanyak manapun, usaha untuk membangunkan sumber manusia bukanlah suatu perkara yang mudah.

Rentetan tragedi-tragedi jenayah yang berlaku di negara kita menggambarkan, runtuhnya modal insan di Malaysia. Kes-kes seperti pembunuhan kanak-kanak yang dilakukan oleh ibu dan ayah sendiri dengan cara yang kejam hanyalah salah satu dari timbunan kes-kes yang tidak dimediakan. Lebih menyedihkan, kesalahan-kesalahan jenayah sedemikian, bukan sekadar dilakukan oleh masyarakat biasa, malah rakyat yang berkerjaya seperti guru di sekolah, pekerja di pejabat malah majikan di pejabat.

Berdasarkan tulisan Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) di Utusan Online pada 20 Febuari 2014 yang bertajuk ‘Penyakit Mental perlu ditangani secara Serius’ beliau menyatakan; setiap hari dilaporkan terdapat peningkatan kepada jumlah pesakit kesihatan mental yang melibatkan golongan eksekutif dan pekerja. Simptom-simptom yang mungkin dialami adalah seperti keresahan, kemurungan dan tekanan mental di tempat kerja serta kehidupan seharian.

Sektor-sektor pekerjaan perlu melahirkan manusia yang punyai hati dan perasaan, bukan melahirkan robot yang sekadar bergerak dan berkerja. Institusi pendidikan perlu menjadi institusi pembinaan manusia yang berakhlak mulia, lebih dari kilang yang melahirkan pekerja. Pendidik-pendidik perlu mendidik pelajar dengan hati sebagai seorang manusia, bukan sekadar memenuhi kehendak sistem untuk diisi dalam komputer. Program-program latihan perlu menekankan pengisian yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan fizikal, emosional, rohani dan intelek secara seimbang. Bukan sekadar tenggelam dalam objektif syarikat dan organisasi masing-masing hingga mengenepikan nilai-nilai murni.

Apakah peranan penguatkuasaan undang-undang yang tersusun dan sistematik, seandainya perlaksaan diperingkat bawahan tidak dipantau dan diselarikan? Apakah peranan jabatan dan kementerian yang besar dan tinggi posisinya, andai fungsinya tidak dioptimumkan kepada seluruh sektor bawahan? Akhirnya hanyalah ibarat ‘hidup segan, mati tak mahu’.

Sebagai rakyat, kita adalah ejen pembangunan negara. Pembangunan tamadun itu perlu digerakkan oleh manusia, bukan robot. Kita perlu runsing jika kita terbelakang dalam pembangunan teknologi, ekonomi ataupun infrastruktur. Tapi kita perlu lebih runsing andai yang terkebelakang itu adalah pembangunan sumber manusia yang merupakan aset negara.

Abdul Malik Ab Razak
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!