Konsert Hiburan Liar : Agenda Membunuh Generasi Muda

IMG-20140318-WA0137

1. Generasi anak muda adalah generasi harapan yang akan mencorak masa depan negara. Rosaknya anak muda akan memunahkan negara. Barat sudah sedar bahawa mereka akan terus kekal mentadbir dunia dengan melemahkan generasi muda-mudi Islam. Mereka merancang dengan penuh strategik dan tersusun agar akhlak muda-mudi Islam rosak dan punah dengan menawarkan hiburan yang melampau dan memperkenalkan fesyen jahiliah bagi tujuan menjauhkan mereka dari Islam.

2. Tidak pelik jika racun ini diserap secara halus dalam negara umat Islam dan didokong oleh pemimpin beragama Islam dalam menjayakan agenda barat. Disebabkan asas agama yang rapuh dalam kalangan pemimpin dan rakyat, agenda pembaratan negara umat Islam bergerak lancar.

3. Negara Malaysia tidak terlepas dari serangan pembaratan. Melihat kepada kes terbaru yang melibatkan 6 orang remaja meninggal dunia dan 14 orang dalam keadaan kritikal disebabkan oleh pengambilan dadah secara berlebihan ketika menyertai Konsert Future Music Festival Asia 2014 di Bukit Jalil, GAMIS memandang serius isu ini yang saban hari tidak dihiraukan oleh pucuk kepimpinan negara.

4. Tidak cukup dengan itu, Konsert Twin Towers Live 2014 akan diadakan pada 28 – 29 Mac di Plaza KLCC dan Konsert Life In Colour pada 19 April di Go Kart Circuit, Sepang International Court.

5. Kami hairan dengan tindakan Kementerian Pelancongan Malaysia di bawah kelolaan Dato’ Seri Nazri Aziz meluluskan pesta hiburan yang merosakkan generasi anak muda. Seluruh rakyat sudah jelas bahawa dengan program yang dijalankan sebegini akan menampilkan artis-artis seksi, pengambilan dadah secara berlebihan, pengambilan minuman keras, pergaulan bebas yang memberi peluang berlakunya penzinaan dan akhirnya masalah pembuangan bayi akan turut meningkat.

6. Pesta hiburan liar tidak dapat lari dengan pengambilan dadah. Justeru itu, sekiranya kita merujuk kepada Perangkaan Sosial yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara dari tahun 2000 hingga 2008 menunjukkan bahawa majoriti penagih disumbangkan oleh masyarakat Melayu Islam. Dari dapatan maklumat tersebut, boleh dikatakan satu peningkatan yang membimbangkan dari 65.9 peratus pada 2000 kepada 77.4 peratus pada 2008.

7. Tambahan lagi, statistik kes jenayah berkaitan dengan penagihan dadah pada tahun 2013 dilaporkan sebanyak 147,073 jumlah kes berbanding 153,699 kes pada 2012. Penurunan jumlah kes berlaku tetapi indeks jenayah masih pada tahap merisaukan. Tidak cukup dengan itu, pertambahan kes zina, ragut, buang bayi dan sebagainya harus dipertimbangkan dan boleh dikaitkan dengan kes penagihan dadah. Sewajarnya, senario ini tidak dipandang mudah kerana ia melibatkan soal moral dan maruah manusia itu sendiri.

8. GAMIS mahu pihak berkuasa tempatan dan Majlis Agama Negeri mengambil langkah proaktif untuk mencegah dari fenomena songsang ini terus membiak dalam gaya hidup masyarakat Malaysia.

9. Sehubungan itu, GAMIS mencadangkan beberapa saranan kepada semua pihak:

a) Peruntukan undang-undang yang lebih tegas dan edukatif perlu untuk membendung golongan yang menyumbang permasalahan sosial.

b) Kerajaan sebagai pemegang amanah rakyat mesti bertindak adil dan tidak bersikap escapism dalam isu sebegini. Kementerian dan agensi terbabit mesti bertanggungjawab untuk menutup ruang berleluasanya program merosakkan anak muda.

c) Jabatan Agama, Majlis Fatwa dan badan-badan NGO harus turun membantu memberikan ilmu kepada kejahilan masyarakat dan seterusnya mengambil tindakan berlandaskan lunas syarie. Dalam masa yang sama, rancakkan kegiatan dakwah golongan sasar.

d) Institusi kekeluargaan juga mesti berfungsi dengan baik melalui penerapan pendidikan agama secara mendalam dan serius. Pendidikan agama merupakan elemen penting dalam memelihara kualiti generasi masakini.

10. GAMIS mengharapkan agar tragedi hitam yang berlaku tidak terus mewarnai pentas negara 2014. Kelemahan sedia ada kerajaan dalam mengurus tadbir negara mesti diperbaiki dan kerajaan hendaklah serius dalam perkara melibatkan umat Islam khususnya dan rakyat umumnya. Lebih-lebih lagi apabila berlakunya kejadian yang mengorbankan masa depan generasi muda. Jangan tunggu ada nyawa lain lagi melayang baru kerajaan mahu celik mata.

11. GAMIS akan tetap membantah sebarang penganjuran pesta hiburan secara melampau. Kami mahu kerajaan menghentikan segera program hiburan liar. Kami mahu masa depan negera diselamatkan.

ABDUL MALIK BIN AB RAZAK
Presiden GAMIS.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!