Konsert Tae Yang : Hentikan Atau Patuh Garis Panduan

Aksi-Peluk-Cium-K-Pop

KUALA LUMPUR – GAMIS mendesak agar konsert penyanyi K-Pop Tae Yang dihentikan serta merta atau patuh pada garis panduan ketat yang diberikan Kerajaan Malaysia.

Konsert yang akan berlangsung di Stadium Negara pada 7 Februari ini akan menampilkan penyanyi popular K-Pop terkenal, Tae Yang yang dijangka mempersembahkan nyanyian dan tarian yang melanggar nilai-nilai moral yang bercanggah dengan budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

Hal ini termasuk, tarian-tarian yang menampilkan aksi ghairah dari wanita seksi dan percampuran bebas antara penonton lelaki dan perempuan tanpa batas yang bercanggah dengan nilai tatasusila masyarakat Malaysia.

Menurut Presiden GAMIS, Imran Ishak, konsert sebegini sudah pun ditolak sebahagian besar masyarakat Malaysia terutamanya selepas kejadian memalukan gadis muslim yang dipeluk dan dicium artis K-Pop di atas pentas khalayak ramai pada Januari lalu.

“Kami menuntut konsert ini dihentikan serta merta dan konsert seumpamanya di masa hadapan perlu diberi garis panduan yang lebih ketat dan tegas,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, pihak kerajaan seharusnya memberi perhatian serius dalam meletakkan garis panduan yang ketat kepada penganjur supaya kejadian memalukan tersebut tidak berulang.

“GAMIS akan sentiasa konsisten dalam menolak hedonisme melampau hasil acuan barat. GAMIS bersedia untuk berkerjasama dengan semua pihak demi memastikan anak muda dan mahasiswa tidak dicemari dengan budaya songsang barat,” jelas beliau lagi.

Pihak GAMIS dijangka akan menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak penganjur konsert pada hari kejadian dengan tuntutan supaya pihak penganjur menghentikan konsert tersebut atau mematuhi adab dan tatasusila sosial masyarakat Malaysia di samping memastikan insiden memalukan tempoh hari tidak berulang lagi.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!