KOS SARA HIDUP

KOS SARA HIDUP

13 Mac 2019M | 6 Rejab 1440H

Isu kenaikan kos sara hidup merupakan suatu isu global yang dihadapi oleh banyak negara yang sedang membangun. Malahan, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun juga turut berhadapan dengan masalah kenaikan kos sara hidup rakyat mereka. Sebagai contoh, Amerika Syarikat menghadapi masalah perbezaan kuasa beli yang tinggi antara bandar-bandar. Walaupun bandar New York merupakan bandar yang mempunyai gaji pertengahan kelapan tertinggi di Amerika Syarikat, harga barang mereka merupakan antara tertinggi di Amerika Syarikat.

Hal ini telah menyebabkan bandar New York berada di kedudukan yang rendah dalam kalangan bandar-bandar Amerika Syarikat dalam tahap kuasa beli pada 2014. Keadaan yang sama juga telah meletakkan bandar Philadelphia pada kedudukan yang rendah dalam carta kuasa beli mengikut bandar di Amerika Syarikat.[1] Senario ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa kenaikan harga barang yang jauh lebih besar mengatasi kenaikan gaji pekerja di kawasan terbabit.

Sementara itu, menurut Worldwide Cost of Living Survey 2017, Singapura merupakan bandar yang mempunyai kos sara hidup paling tinggi di dunia. Malahan, lima daripada sepuluh bandar yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia terletak di Asia. Harga rumah dan barang pengguna yang tinggi telah dikenal pasti sebagai punca kepada kos sara hidup yang tinggi di bandar-bandar ini. Isu kos sara hidup yang tinggi ini telah mewujudkan jurang ketidakseimbangan ekonomi yang tinggi dalam masyarakat antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah.

Malaysia secara tidak langsung juga turut menghadapi masalah kos sara hidup yang tinggi. Kuala Lumpur secara amnya telah menduduki tempat ke-96 dalam bandar termahal di dunia menurut Worldwide Cost of Living Survey 2017. Isu kenaikan kos sara hidup di Malaysia merupakan isu berulang yang telah melanda negara sejak lama lagi. Masalah ini diburukkan lagi dengan kenaikan harga rumah yang mendadak dalam 10 tahun belakangan ini. Berdasarkan Indek Harga Rumah Malaysia (IHRM) yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, harga rumah di Malaysia telah meningkat sebanyak 9.1% sepanjang tempoh suku pertama 2010 hingga suku kedua 2012. Malahan, purata pertumbuhan untuk dua tahun ini telah jauh mengatasi kadar purata pertumbuhan tahunan untuk tempoh 2001 hingga 2009 sebanyak 3.2%.

Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan kos keperluan asas seperti tempat tinggal dan pengangkutan di Malaysia. Berdasarkan indeks harga pengguna (IHP) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, harga barang dan perkhidmatan secara umumnya telah meningkat sebanyak 29 peratus secara umumnya dalam tempoh 10 tahun, yakni antara 2005 hingga 2015. Meskipun harga minyak dunia telah menunjukkan trend penurunan akhir-akhir ini, ketidakstabilan mata wang Ringgit berbanding Dolar telah mengecilkan kesan positif penurunan harga minyak.

Pergantungan kepada bahan mentah import yang tinggi untuk menghasilkan makanan telah menyebabkan kos pengeluaran makanan di Malaysia meningkat apabila nilai mata wang negara mengalami penyusutan. Trend peningkatan nilai tukaran Ringgit yang melebihi paras RM4 berbanding Dolar Amerika Syarikat sejak Januari 2017 telah memaksa peniaga untuk menaikkan harga makanan bagi menampung kos pertukaran mata wang yang tingggi. Kajian dari Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM) mendapati RM0.11 dari setiap RM1 keluaran makanan yang diproses merupakan kos bahan mentah yang diimport. Sementara itu, bahan mentah yang diimport menyumbang sebanyak RM0.28 kepada setiap RM1 keluaran makanan yang tidak diproses seperti sayur dan buah-buahan.

Dalam usaha kerajaan Malaysia membawa negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, isu kenaikan kos sara hidup ternyata menjadi antara cabaran yang besar. Menyedari perkara ini, kerajaan Malaysia yang terdahulu telah meletakkan fokus menangani kos sara hidup sebagai salah satu bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11). Malah semenjak RMK10, pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan telah disediakan kepada isi rumah untuk membantu menangani masalah kenaikan kos sara hidup.

Secara umumnya, median pendapatan isi rumah di Malaysia telah meningkat sebanyak 326% daripada tahun 1992 (RM 1,077) sehingga 2014 (RM 4,585). Purata pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) bagi median pendapatan ini pula ialah sebanyak 6.81%. Nilai ini adalah lebih tinggi daripada nilai CAGR inflasi (diukur berdasarkan nilai Indeks Harga Pengguna (IHP)) yang hanya sekitar 2.65% bagi tempoh yang sama. Namun begitu, isu kos sara hidup tetap menjadi tumpuan dan seringkali menjadi topik utama dalam membincangkan kesejahteraan hidup penduduk di Malaysia.

Kenaikan kos sara hidup ini memberikan impak yang berbeza-beza mengikut tingkat pendapatan isi rumah. Kajian daripada Bank Negara Malaysia (2013) mendapati kumpulan isi rumah berpendapatan rendah merupakan kumpulan paling terdedah kepada isu kos sara hidup.[2] Mereka juga telah dikenal pasti sebagai golongan yang paling berisiko apabila berlaku sebarang krisis ekonomi. Kajian ini menjelaskan bahawa isi rumah dengan pendapatan tinggi hanya berbelanja sebanyak RM0.25 sahaja daripada tambahan RM1 yang diperoleh. Manakala, isi rumah yang pendapatan rendah berbelanja sebanyak RM0.80 daripada setiap tambahan RM1 yang diperoleh.

Sementara itu, laporan daripada Unit Perancang Ekonomi (2015) juga turut membincangkan secara mendalam tentang isu kos sara hidup dalam RMK11.[3] Menurut laporan ini, kumpulan isi rumah B40 merupakan kumpulan paling berisiko dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup. Berdasarkan data tahun 2009 dan tahun 2014, kumpulan B40 berhadapan dengan peningkatan perbelanjaan sebanyak 10.1% setiap tahun. Justeru, pelan pemansuhan subsidi dalam pelbagai barangan pada masa depan akan memberikan kesan yang besar kepada golongan ini.

Laporan tahunan Bank Negara Malaysia (2015) menyatakan masalah kos sara hidup berkait dengan peningkatan inflasi dan corak perbelanjaan individu.[4] Laporan ini mendapati pendapatan isi rumah mengikut kumpulan pendapatan adalah sentiasa lebih tinggi daripada perbelanjaan bulanan mereka. Kumpulan B40 pula didapati mempunyai pendapatan yang hampir sama dengan jumlah perbelanjaan. Laporan UKM Pakarunding (2016) juga turut bersependapat dengan penemuan dalam Bank Negara Malaysia (2015). Laporan tersebut membuat kesimpulan bahawa peningkatan kos sara hidup adalah disebabkan oleh peningkatan ketara dalam harga barangan, pertumbuhan pendapatan yang perlahan, dan corak perbelanjaan isi rumah yang melebihi pendapatan.[5]

Kos sara hidup merujuk kepada belanjawan minimum untuk membeli sekumpulan barang dan perkhidmatan dalam mencapai tingkat taraf hidup tertentu.[6] Berdasarkan takrifan ini, isu peningkatan kos sara hidup boleh dikaitkan dengan dua perkara utama iaitu tingkat pendapatan dan taraf kehidupan seseorang individu. Pendapatan yang meningkat lebih perlahan daripada inflasi menyebabkan isi rumah terpaksa berbelanja lebih untuk membeli barang yang sama.

Sementara itu, perubahan dalam corak perbelanjaan bagi memenuhi taraf kehidupan yang berubah turut memberi kesan kepada kenaikan kos sara hidup isi rumah. Perubahan taraf hidup boleh berlaku akibat daripada perubahan status barang ekonomi isi rumah daripada barang keperluan kepada barang kehendak. Sebagai contoh, taraf kehidupan yang semakin meningkat menyebabkan penggunaan telefon pintar dan internet menjadi suatu keperluan bagi isi rumah. Hal ini sekaligus menjadikan jumlah perbelanjaan isi rumah tersebut untuk tujuan komunikasi meningkat berbanding dengan sebelumnya, walaupun harga barangan tidak berubah.

Dengan mengawal kadar inflasi, peningkatan jumlah keseluruhan perbelanjaan boleh dikaitkan sama ada disebabkan peningkatan kuantiti barangan yang dibeli ataupun perubahan kualiti barangan. Berdasarkan Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2014, kedua-dua laporan ini menyatakan tiga (3) komponen paling besar perbelanjaan isi rumah ialah perbelanjaan bagi perumahan (23.9%), makanan (18.9%), dan pengangkutan (14.6%). Ketiga-tiga komponen ini ialah barangan asas, yang secara teorinya merupakan barangan yang mempunyai keanjalan permintaan yang rendah (lebih rendah daripada 1.0).[7]

Jadi, secara teorinya, apabila berlaku peningkatan pendapatan, permintaan barangan ini akan berkurangan dari segi kuantiti atas faktor ketidakanjalan permintaan barangan asas ini. Maka, dengan andaian diatas, dapat disimpulkan bahawa keanjalan perbelanjaan untuk barangan asas seperti perumahan, makanan, dan pengangkutan yang tinggi dapat dikaitkan dengan peningkatan kualiti barangan, yang seterusnya memberi indikasi berlakunya peningkatan taraf hidup.

Rujukan:
[1] Elif Sen & Adam Scavette (2017), “Regional Spotlight: Purchasing Power across the U.S.”, Federal Reserve Bank of Philadelphia.
[2] Bank Negara Malaysia (2013), “The Marginal Propensity to Consume across Household Income Groups the Marginal Propensity to Consume across Household Income Groups (Working Paper Series: WP2/2013)”.
[3] Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (2015), “Rancangan Malaysia ke-11”, Kertas Strategi 2: 2.9 – 2.11.
[4] Bank Negara Annual Report (2015), “Inflation and Cost of Living”, 64–69.
[5] UKM Pakarunding (2016), “Kajian Menangani Kos Sara Hidup”, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
[6] B.S. Tan (2016), “On comparing cost of living of cities using expatriate price survey”, Policy Studies 37(1): 53–71.
[7] Laporan Penyiasatan Pendapatan Isirumah (2014), Jabatan Statistik Malaysia (DOS).

“MARA BERSAMA ISLAM”

JABATAN KAJIAN DAN INTELEKTUAL
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2019

#GAMIS2019
#MaraBersamaIslam

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!