Krisis 1MDB: Maruah Negara Tercalar?

13653204_776172499190454_8900417861141633955_o

 

Siasatan mengenai skandal 1MDB sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian. Rakyat Malaysia hari demi hari semakin rungsing memikirkan isu ini.

Baru-baru ini muncul pula penangan dahsyat buat Malaysia apabila Jabatan Peguam Amerika Syarikat telah memecahkan tembelang penyelewengan ini dengan mendakwa bahawa terdapat pengubahan wang haram atau ‘money laundering’ (pengubahan dan pemindahan wang tanpa saluran yang betul) dan pemilikan harta atas nama peribadi.

Merujuk Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613):

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan pengubahan wang haram dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 Juta, yang mana yang lebih tinggi.”

Jenayah pengubahan wang haram ini bukan satu kesalahan kecil malah memberi impak yang besar kepada ekonomi, keselamatan dan pentadbiran negara mahupun diperingkat global.

Inisiatif untuk menggesa kerajaan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi membantu siasatan dan memastikan keadilan dapat ditegakkan adalah tindakan yang bijak dan tepat.

Islam sendiri menyarankan jika keadilan tidak dapat tertegak andai terdapat kepentingan pada pihak tertentu, maka wajib untuk melantik wakil lain yang tiada apa-apa kepentingan untuk menyelesaikan konflik tersebut.

Selari dengan firman Allah yang menyebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَنْ تَعْدِلُوا ۚ وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka akan Sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.”

[An-Nisa’ : 135]

Siapapun yang didakwa perlu diberi ruang untuk mempertahankan hak mereka dengan mengemukakan hujah. Tiada bukti, maka tiadalah hukuman.

Tetapi sekiranya terbukti seseorang itu bersalah, maka wajar untuk disabitkan hukuman yang setimpal atas kesalahannya.

Pihak berautoriti iaitu Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan SPRM sepatutnya memainkan peranan penting dalam memastikan kes ini dapat diselesaikan dengan segera.

Malangnya sehingga kini, rakyat masih berteka-teki dan tiada jawapan yang tepat dalam menjawab isu ini.

GAMIS akan terus komited bagi memastikan rakyat terus memahami kondisi negara sekalipun pihak berkuasa membisu dalam banyak keadaan.

Dengan ini, Majlis Politik Nasional dengan kerjasama Majlis Presiden GAMIS akan mengadakan sebuah forum khas dalam “Green Tea Talk 4 Malaysia” siri ke-4 dengan tajuk “Krisis 1MDB: Maruah Negara Tercalar?” yang akan dikupas oleh Sdr. Syahir Sulaiman, penganalisis ekonomi untuk menjawab persoalan ini.

Ayuh bersama kami dalam merungkai krisis sebenar penyelewengan 1MDB pada malam ini di Pejabat GAMIS, Seksyen 4 Bangi.

Jumpa anda di sana!

“Menuju Politik Idea dan Solusi”

“BERSAMA MELANGKAH, MENUJU PERUBAHAN”

NURSYIMA NADIA MOHAMAD HIDAYAT,
Timb. Pengerusi Majlis Politik Nasional
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2016

‪#‎GreenTeaTalk4Malaysia‬
‪#‎GAMIS‬
‪#‎WeUniteForIslam‬
‪#‎1MDB‬
‪#‎BantahHedonisme‬

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!