MENGHAMPIRI ULANG TAHUN PERTAMA: HARAPAN MULAI SIRNA

Menghampiri Ulang Tahun Pertama: HARAPAN Mulai Sirna

Jenama parti sentiasa melambangkan perjuangan. Nama BERSATU, WARISAN, AMANAH; walaupun tidak menceritakan segalanya, ia memberikan gambaran baik tentang perjuangan sesebuah parti. Kalau namanya HARAPAN, ianya melambangkan jutaan jiwa yang menaruh 1001 harapan, melalui slogan Malaysia Baharu yang dijulang, sehingga berderau darah dek membayangkan landskap Malaysia yang bakal berubah. Genap setahun, sayangnya indah khabar daripada rupa, lebih banyak duka daripada suka.

Allah berfirman dalam Al-Quran;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
“Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian”. (Surah Al-Maidah: 1)

Yang dinamakan janji tetap janji, walaupun diubah lafaz dengan sinonim; wajib dilaksanakan oleh orang-orang yang mengakui keimanan terhadap ayat-ayat Allah. Malah, apatah lagi namanya manifesto, ia bukan sekadar janji, ia adalah dasar dan polisi. Walaupun bukan kitab suci, tetapi kitab suci mewajibkan menepati janji.

Dalam surah Al-Kahfi pula, disebut jelas tentang berjanji yang tidak pasti. Sudahlah menjadi satu kesalahan berjanji tanpa mengkaji, ditambah pula kesalahan kedua berjanji yang tidak pasti, ditambah lagi kesalahan ketiga kerana mungkir janji di kemudian hari. Akhirnya jemaah bergaduh sesama sendiri, seolah-olah pada awalnya tidak sama-sama terlibat dalam menggubal manifesto (polisi) pakatan sendiri.

Tidak pula cukup memungkiri janji, perangai pula seperti anak malas yang menyalahkan keturunannya dek kerana kobodohannya sendiri. Tanyalah isu ekonomi, perpaduan, sosial, 60 tahun generasi terpalit badan dalam isu-isu ini.

Kalau perutnya besar, janganlah diharapkan dapat melahirkan anak dalam 100 hari. Tetapi kalau sudah setahun menanti, boleh jadi bukan ada anak, tetapi mungkin hanyalah obesiti dek goyang kaki, atau mungkin rupa-rupanya lelaki!

Bercakap pula tentang jemaah menteri,

Bersyukur adanya mereka yang lantang mempertahankan dasar negara sendiri. Ada yang tak faham Dasar Pendidikan Negara, lupa tentang subjek Sivik, Sejarah dan Hubungan Etnik di sekolah dan IPT, tahu-tahu sudah menjadi timbalan menteri, membuat keputusan sendiri. Syukur, Alhamdulillah ada Dr. Maszlee.

Tidak lupa juga yang lebih suka berpolitik daripada bekerja, menyelinap ke Universiti kononnya intelektual asli, akhirnya mendoktrin anak muda untuk mempercayai fitnah berjuta-juta diterima ulama’. Kalau nak dilawan ulama’ yang setiap hari berpegang pada bukti Ilahi dan seorang lelaki yang hanya memegang bukti daripada kertas hitam bertulisan hitam, siapalah yang ingin dipercayai? Itu belum bincang versi Islam yang entah siapa gurunya lagi.

Tidak juga lupa barisan yang tidak berkredibiliti. Yang membuat video menipu sedunia kononnya tertindas. Yang berkanda berandinda dengan muslimat, sedangkan beliau diharap rakyat menjadi ‘waratsatul anbiya’. Tetapi syukurnya kerana kalau saya berhenti universiti, pun saya mulai percaya saya boleh menyandang jawatan ke peringkat menteri.

Oh “Malaysia Baharu”, nelayan tetap nelayan, petani tetap petani, mahasiswa tetap mahasiswa. Akhirnya merasakan harapan yang sama mulai sirna.

#Menanti9Mei2019
#1tahun10kerosakan

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!