MH370 : Tubuh Suruhanjaya Penyiasat

mh370board

1. Kehilangan pesawat Boeing 777-200 MAS 370 di perairan Laut China Selatan menjadi satu tragedi hitam negara, di mana hampir 227 penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal hilang tanpa dapat dikesan, walaupun terdapat pelbagai simpang siur maklumat dari agensi berita dalam dan luar negara melaporkan tentang insiden yang berlaku.

2. Sehingga kini, bangkai dan sisa pesawat masih belum ditemui walaupun kerahan usaha mencari dan menyelamat sudah pun dijalankan. Hanya dua tumpahan minyak dapat dikesan oleh pihak berkuasa Vietnam di Laut China Selatan, yang mana ia sama dengan bahan api yang digunapakai oleh pesawat Boeing 777-200.

3. GAMIS mengucapkan salam takziah dan rasa simpati kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini. Seluruh rakyat Malaysia dan persatuan mahasiswa diseru agar terus memanjatkan doa dengan mengadakan solat hajat dimasjid-masjid atau surau-surau kolej kediaman. Kita doakan agar urusan pencarian pesawat ditemui segera, diselamatkan para penumpang dan diberikan kekuatan emosi kepada keluarga mangsa.

4. GAMIS juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha kerajaan dalam menangani insiden ini, dengan mengerahkan pelbagai aset ketenteraan udara dan laut dalam operasi dan menyelamat tersebut serta bantuan kesihatan dalam menangani trauma yang dihadapi oleh ahli keluarga mangsa.

5. Setakat berita hari ini, kerajaan Malaysia perlu memandang serius dan mengambil berat dengan insiden yang dimaklumkan terdapat empat pasport palsu dapat dikesan di dalam senarai penumpang pesawat tersebut dan situasi ini menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat tentang sistem keselamatan dan kawalan berjalan di setiap pintu masuk dan keluar negara melalui lapangan terbang.

6. Dalam insiden ini juga, pihak polis menemui ketidakselarasan antara nombor pasport dan nama penumpang pesawat tersebut di mana dua orang warganegara Austria dan Itali dilaporkan “on board” sedangkan mereka kehilangan pasport mereka pada tahun lepas. Begitu juga seorang warganegara China yang dikhabarkan turut tersenarai sebagai penumpang walhal dia berada di Fuoshan, China. Hal ini amat menghairankan orang awam tentang sistem imigresen, urusan visa dan pasport dalam negara berjalan tanpa dapat mengesan ketempangan ini. Ia menjadi buruk apabila ia bersabit dan mengundang tragedi kehilangan mereka yang tidak berdosa yang sama-sama turut “on board” dalam pesawat tersebut.

7. Sehingga kini, pelbagai teori diunjurkan oleh pelbagai pihak dalam mentakwil krisis ini. Pihak Federal Bureau of Investigation (FBI) Amerika Syarikat tidak menafikan kemungkinan terdapat unsur keganasan dan faktor lain yang mampu merencatkan perjalanan pesawat tersebut ke Beijing sehingga ia hilang dari radar pada jam 1.30 pagi. Kerajaan Malaysia pula berpendapat wujudnya situasi pesawat itu cuba berpatah balik menggunakan prosedur ‘air turn back’ di mana pesawat cuba berpatah balik ke lapangan terbang asal akibat pincang tugas atau disyaki pincang tugas sebarang peralatan pada pesawat.

8. Pelbagai isu yang kurang enak juga melanda pengurusan MAS mutakhir ini tidak sepatutnya menjadi kayu ukur dalam merendah-rendahkan kredibiliti MAS dalam sektor penerbangan. GAMIS juga menyatakan pendirian agar sebarang spekulasi berbaur politik dalam insiden ini mesti dihentikan demi menghormati perasaan dan situsi hiba yang melanda keluarga mangsa. Tiada kebaikan dapat diraih dengan perbuatan sedemikian dan ia hanya akan menambah lagi perasaan marah dan sedih keluarga mangsa.

9. Kesimpulannya, GAMIS menggesa agar satu suruhanjaya khas ditubuhkan untuk mengkaji dan menyiasat punca berlakunya insiden ini, dan hasil laporan penyiasatan seharusnya dibentang kepada orang awam dan di Parlimen agar satu proses penambahbaikan prosedur pengurusan dan keselamatan dapat dilakukan oleh pihak Malaysian Airline System (MAS) dan pihak kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan.

10. Seluruh rakyat juga perlu menginsafi bahawa ajal maut tidak mengenang waktu dan masa. Selaku sebagai seorang hamba, rasa takut untuk menghadapi kematian perlu diinsafi dengan mempersiapkan diri dengan amal soleh. Hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia perlu sentiasa diperbaiki. Semoga ujian sedih yang menimpa mampu menjentik hati rakyat Malaysia dan dunia seluruhnya agar kembali beriman kepada Allah dan Hari Kiamat yang pasti berlaku.

ABDUL MALIK BIN AB RAZAK
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!