Nabi Muhammad Utusan Teragung

 

Rasulullah S.A.W adalah utusan termulia dan teragung yang dipilih oleh Allah S.W.T sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam semesta. Padanya terangkum seluruh kebaikan ciptaan Allah S.W.T dan contoh teladan bagi umat manusia.

Perihal demikian jelas disebut melalui kandungan ayat-ayat al-quran antaranya :-

(وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ)

“Kami tidak mengutus engkau (Muhammad), melainkan menjadi rahmat untuk semesta alam.” [Al-Anbiya: 107]

(لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ)

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.” [Al-Ahzab: 21]

(وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ)

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” [Al-Qalam: 4]

 

Ayat-ayat tersebut memetaforakan tanda rahmat Allah dengan kehadiran Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Pelbagai misi dijalankan oleh baginda semasa hayatnya demi memastikan sinar Islam bersemadi di muka bumi.

Bagindalah guru dan pelindung, penggerak keadilan, pemimpin negara dan ketua pemerintahan, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, penggerak amar makruf nahi mungkar, penyempurna akhlak, penyelamat umat dan sebagainya. Riwayat hidup baginda tiada henti memikirkan Islam dan nasib umatnya. Begitulah bukti betapa hebatnya kesungguhan Nabi Muhammad S.A.W.

Sempena sambutan maulidur rasul ini, marilah sama-sama kita hayati sirah perjuangan baginda. Tanpa pengorbanan baginda serta para sahabat dahulu kala, mana mungkin kita semua mampu mengecapi nikmat Islam pada hari ini.

Ayuh manifestasikan cinta terhadap baginda Rasulullah S.A.W. Perbanyakkan selawat, perbaiki diri ke arah Muslim yang berwawasan, persiapkan segala kelengkapan bagi meneruskan perjuangan baginda serta sematkan azam menjadi umatnya yang lantang mempertahankan Islam sehingga syariat Islam tertegak.

Moga-moga dengan memperingati tarikh perutusan Nabi al-Ummah (nabi seluruh umat) membangkitkan kecintaan kita kepadanya dan mendekatkan kita semua kepada Allah S.W.T.

SALAM MAULIDUR RASUL1438H

Majlis Penerangan Dan Informasi

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia

GAMIS 2016/2017

 

 

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!