NORMALISASI DOSA

 

Dosa ialah suatu istilah yang ringkas pada lafaz tapi sangat besar pada maknanya. Acapkali kita mendengar lafaz dosa dalam kehidupan kita sehari-hari kerana sifat manusia itu memang tidak akan dapat lari daripada melakukan dosa walaupun hanya sekali.

Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung dan dia takut sekiranya gunung itu menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (HR Muslim)

Melalui hadis tersebut, Rasulullah SAW memperihalkan dua golongan yang mengamati makna dosa dalam kehidupannya. Ada orang yang melihat dosa itu suatu amaran yang besar buat dirinya dan dia akan cuba untuk mengelakkan dirinya daripada melakukan dosa tersebut.

Berbeza pula dengan satu lagi golongan manusia yang menganggap dosa itu hanya sekadar suatu perkara kecil yang tidak memberi apa-apa kesan kepadanya. Oleh kerana dosa itu sifatnya abstrak tidak berjisim, sedihnya hal ini menjadi kebiasaan pula kepada mereka untuk terus melakukan dosa-dosa tersebut setiap masa.

Ironinya, realiti masyarakat sekarang sudah terbiasa dengan dosa. Mereka seakan-akan tidak lagi menganggap dosa itu sebagai suatu yang perlu dipandang serius dalam kehidupan, sebaliknya mereka hanya membiarkan sahaja dosa itu dilakukan demi mencapai apa-apa yang diinginkan oleh mereka di dunia.

Lebih parah lagi, ada yang mengelaskan dosa itu sebagai hak peribadi seseorang individu. Dosa itu akan terus dibiarkan tanpa boleh ditegur ataupun dicampuri urusannya oleh orang lain. Sentimen sebegini wujud dalam pemikiran masyarakat sekarang kerana mereka sudah terpengaruh dengan idea liberalisme yang memperjuangkan hak kebebasan berfikir sehingga mengetepikan perintah Allah SWT dan ajaran Nabi SAW.

Baru-baru ini, berlaku suatu penularan berkenaan tidak menunaikan solat sebagai suatu bentuk dosa peribadi. Hal ini merupakan sesuatu yang amat bertentangan serta suatu bidaah munkar. Jelas disepakati oleh para ulama muktabar yang menyatakan bahawa solat fardhu merupakan suatu jenayah apabila ditinggalkan dengan sengaja. Normalisasi pengabaian daripada solat fardhu, hari ini dilihat kian meruncing dalam kalangan masyarakat. Perkara ini perlu dibendung dengan perbahasan yang absah daripada para asatizah yang berautoriti. Netizen tidak sepatutnya bermudah-mudah dalam penghujahan seperti ini kerana akan membawa kepada salah faham serta kesesatan yang nyata terhadap solat.

Tambahan pula, pemikiran ini juga turut memperjuangkan hak kebebasan asasi sehingga menuntut penghapusan undang-undang syariah di negeri-negeri serta kewajipan amar makruf dan nahi mungkar. Apabila merebaknya pemikiran ini, maka akan mudahlah masyarakat awam untuk turut terikut-ikut dengan mereka yang sememangnya menyeleweng daripada apa-apa yang diwahyukan oleh Allah dan disampaikan oleh Rasul.

Oleh hal yang demikian, untuk menyelamatkan diri kita daripada perkara-perkara sebegini, kita seharusnya bermuhasabah dengan menekuni ilmu terutamanya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam. Usaha ini boleh dilakukan dengan melihat kepada neraca Islam yang sebenar melalui dua sumber yang paling berautoriti, yakni al-Quran dan al-Hadis yang difahami teks dan mafhumnya melalui kaedah usuliah yang dikemukakan oleh lisan para ulama dengan perasaan penuh takut kepada Allah SWT. Mereka sekali-kali tidak akan menggadaikan prinsip dalam mentafsirkan nas ilahi dan hadi al-Nabawi (petunjuk Nabi) di samping mereka melakukan semua ini hanyalah semata-mata untuk mencari keredaan Allah.

Begitu juga dalam membicarakan sesuatu hukum, perlulah untuk kita merujuk kepada pelbagai bentuk sama ada dari segi teks nas, mafhum nas, dan juga fahm al-dalil (memahami dalil) yang sebenar di samping memahami kehendak dalil itu sendiri.

Saidina ‘Umar bin al-Khattab RA pernah mengatakan:

الرُّجُوعُ إِلَى الحَقِّ خَيرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي البَاطِلِ

“Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan berada dalam kebatilan.”

Justeru, marilah sama-sama kita kembali kepada Islam yang sebenar melalui kefahaman yang sahih tanpa sebarang keraguan. Inilah Islam yang benar-benar daripada Tuhan Rabb al-‘Alamin.

“MARA BERSAMA ISLAM”

Facebook:
https://www.facebook.com/GamisMalaysia/

Instagram:
https://www.instagram.com/gamisofficial/

Twitter:

MAJLIS DAKWAH DAN KEBAJIKAN
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2019

#GAMIS2019
#MaraBersamaIslam

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!