Nota Presiden GAMIS. Siri #01

Nota Presiden GAMIS. Siri #01
18 RABIUL AKHIR 1440H | 26 DISEMBER 2018

Oleh: Muhammad Saifullah Mahbob,
Setiausaha Politik Presiden GAMIS 2019.

[GAMIS 2019 : TERUS MELANGKAH MENGHADAPI CABARAN BARU].

1. Pada tarikh 14 & 15 Disember 2018 yang lalu, buat julung kalinya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS) peringkat nasional telah mengadakan Muktamar Tahunan untuk kali ke-28 secara terbuka yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

2. Kepimpinan GAMIS 2019 ini merupakan kepimpinan yang berada di era pemerintahan Pakatan Harapan setelah berlakunya transisi pemerintahan kerajaan pada 9 Mei 2018. Sudah semestinya cabaran Malaysia baru ini berbeza berbanding sebelumnya.

3. Pasca PRU-14 baru-baru ini kita menyaksikan begitu banyak cabaran baru yang dihadapi oleh mahasiswa dan anak muda seperti :

i. Perubahan landskap politik dalam negara termasuk dunia perjuangan mahasiswa.
ii. Pertembungan pemikiran dan ideologi yang dizahirkan secara jelas oleh pendokong pemikiran barat.
iii. Slogan kebebasan yang dilaungkan oleh kebanyakan mahasiswa membuka ruang kepada aliran pemikiran yang pelbagai memasuki kampus.
iv. Hak-hak autonomi mahasiswa yang masih belum diangkat sepenuhnya.
v. Dasar keterbukaan yang dizahirkan oleh kerajaan baru dalam hal urus tadbir negara.

4. Dengan membawa tema “MARA BERSAMA ISLAM”, GAMIS 2019 komited untuk terus mara ke hadapan dengan mengatur pelbagai langkah baru. Langkah-langkah tersebut boleh didapati melalui Ucapan Dasar Presiden GAMIS 2019 yang berpaksikan kepada 8 paksi utama, merangkumi segala gerak kerja GAMIS selama satu tahun sesi kepimpinan.

5. Pada sesi kepimpinan GAMIS 2018, sebanyak 4 jawatan baru diperkenalkan dalam barisan kepimpinan GAMIS iaitu 2 jawatan tambahan bagi Portfolio Majlis Politik Nasional dan 2 Jawatan tambahan bagi Portfolio Jabatan Penerangan dan Informasi.

6. Pada sesi kepimpinan kali ini, 3 portfolio baru diwujudkan iaitu jawatan Setiausaha Politik Presiden Gamis dan 2 jawatan bagi Portfolio Jabatan Perpaduan Nasional. Pada masa yang sama, Portfolio Majlis Tindakan Wanita yang memperuntukan satu kerusi dihazafkan. Ini menjadikan pimpinan GAMIS 2019 berjumlah 30 orang, Jumlah teramai dalam sejarah GAMIS.

7. Akhir kalam, kesatuan fikrah dan amal merupakan kekuatan bagi sesebuah gerakan. Oleh itu, kesatuan yang mempunyai asas kefahaman yang jitu akan memastikan GAMIS sentiasa menjadi sebuah Gerakan Mahasiswa Islam yang sentiasa relevan dan menjadi kuasa dominasi utama mahasiswa di peringkat nasional.

8. Cabaran kemenangan yang diperolehi Kerajaan Pakatan Harapan pada PRU-14 yang lepas tidak akan melunturkan nilai dan semangat perjuangan mahasiswa yang meletakkan prinsip dan nilai Islam, yang selama ini menjadi teras perjuangan GAMIS. GAMIS akan terus Mara Bersama Islam.

Sekian.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!