Nuzul Al-Quran: Mukjizat Agung

بسم الله الرحمن الرحيم

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
“ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk”.
[Al-Baqarah 185]

Allah S.W.T telah menurunkan mukjizat yang terbesar yang diturunkan kepada Nabi Muhamad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. Peristiwa ini terus membuktikan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W dan keagungan Allah S.W.T.

Allah ta’ala menurunkan Al-Quran bukanlah untuk membebankan manusia, melainkan Allah S.W.T ingin mereka terbimbing sehingga tidak susah, bimbang, ragu, resah gelisah dan tiada halatuju dalam mengarungi samudera kehidupan. Demikian pula Al-Quran diturunkan sebagai pelajaran dan pengajaran bagi seluruh umat.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad SAW, bersamaan dengan 610M, ketika baginda sedang berkhalwat (menyendiri) di Gua Hira’. Ianya berlaku secara berperingkat seperti berikut:-

Pertama, Penurunan Al-Quran dari Allah SWT ke Luh Mahfuz

بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .
“(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” [Al-Buruj:21-22]

Kedua, Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” [Al-Qadr: 1]

Ketiga, kepada Nabi Muhamad s.A.W melalui perantaraan mailaikat Jibril a.s. 
عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ

“Diturunkan oleh Roh Suci (Jibril a.s). Ke dalam hati engkau (Ya Muhammad) supaya engkau memberi peringatan.”
[As-Syu’ara: 194]

Al-Quran padanya tiada keraguan malah penuh dengan panduan sepanjang zaman untuk membimbing insan dari kejahilan kepada sinar cahaya keimanan. 
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

“Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya petunjuk bagi mereka yang bertakwa” 
[Al-Baqarah: 2]

Ayat-ayat Al-Quran di dalamnya mengandungi peraturan yang berkaitan dengan hukum-hukum siyasah syariah, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai panduan hidup bagi seluruh umat islam dan seluruh umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapi.

Sememangnya penyelesaian yang dianjurkan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya. Ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling benar di muka bumi.

Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ
“Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (yaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”. (Hadits Shahih)

Oleh itu, marilah kita hayati kalimah agung ini dengan hati yang suci mengharap redha Ilahi. Lakaran sirah yang menghiasi bait-bait suci Allah itu perlu diperhalusi. Ianya bukan hanya ukiran kaligrafi yang indah untuk ditayang, tetapi punya maksud mendalam untuk dihadam.

Lazimilah Al-Quran dalam hidupmu. Bacalah dengan cermat kerana Nabi Muhammad SAW bersabda, 
والقرآن حجة لك أو عليك. رواه مسلم
“Al-Quran itu boleh menjadi hujjah untuk kau (selamat) atau hujah keatas kau (azab)”.

Semoga peristiwa ini mampu dihayati dengan kerendahan hati, menginsafi khilaf sebagai hamba abadi. Moga-moga Al-Quran terus tersemat di sanubari, menjadi rujukan utama dalam meniti hari yang penuh dengan tipu daya ini.

(اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ)

Mohamad Farouk Hamzah
Majlis Penerangan & Informasi
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
GAMIS 2016/2017

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!