PEMBUKAAN PINTU AR-RAHMAH

PEMBUKAAN PINTU AR-RAHMAH

25 Februari 2019M | 20 Jamadilakhir 1440H

1. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) merafakkan rasa syukur dan sukacita atas berita gembira dari Bumi Para Anbiya’, Palestin yang telah menjadi kiblat pertama umat Islam. Maha Suci Allah yang berkuasa atas segalanya.

2. Pada hari Jumaat, sayyid al-ayyām bersamaan 22 Februari 2019 telah menyaksikan peristiwa bersejarah. Berbondong-bondong orang Islam Palestin menyambut kejayaan membuka semula Pintu Al-Rahmah di Masjid Al-Aqsa, Al-Quds.

3. Pintu yang telah ditutup oleh rejim Israel sejak tahun 2003, merupakan bukti kezaliman rejim Zionis Israel. Israel jelas telah mencabul hak beragama Muslimin dengan merampas masjid yang menjadi tempat ibadah suci dan penyatuan umat Islam.

4. Setelah beberapa hari demonstrasi berlangsung, umat Islam Palestin berjaya melepaskan Al-Aqsa daripada cengkaman musuh-musuh Allah dan berkesempatan menunaikan solat fardu Jumaat di situ. Walaupun hanya buat seketika, kemenangan ini cukup menggugat pendirian dan menggentarkan hati-hati mereka yang ingin menjatuhkan Islam.

5. Himpunan ratusan umat ini juga dihadiri wakil-wakil persatuan Muslim, tokoh-tokoh agama dan ahli politik Muslim Palestin yang sama-sama mengambil peluang beribadah di Masjid Al-Aqsa.

6. Al-Jazeera melaporkan seramai 60 orang telah ditahan dalam kejadian hari itu kerana tertuduh menyebabkan huru hara dan berkelakuan ganas. GAMIS mengecam tindakan polis Israel yang mencederakan rakyat Palestin yang memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa untuk berhimpun secara aman.

7. Kegigihan dan kesatuan rakyat Palestin dalam membuka semula pintu al-Aqsa merupakan satu signal bahawa umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya syiar agama mereka diancam oleh musuh.

8. GAMIS sentiasa tegas dan konsisten dalam mengangkat isu umat Islam khususnya rakyat Palestin yang menjadi para penjaga kepada kota suci umat Islam selepas Mekah & Madinah. GAMIS juga akan melakukan kerjasama dengan NGO-NGO yang sentiasa komited menyalur bantuan dan memperjuangkan pembebasan Palestin.

9. GAMIS menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam agar istiqamah menitipkan doa buat saudara-mara kita di Palestin agar diberikan kekuatan dan kecekalan dalam berdepan dengan penindasan rejim zionis durjana!

“MARA BERSAMA ISLAM”

SYED AHMAD ABDUS SALAM BIN SYED NAZMI
NAIB PRESIDEN 3
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)

#GAMIS2019
#MaraBersamaIslam
#FreePalestine
#SaveAlQuds

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!