PERUTUSAN AIDILFITRI GAMIS 1439H

Assalamualaikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahukbar.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberikan peluang kepada kita semua untuk menghadapi “Madrasah Ramadhan” pada tahun ini. Ia merupakan peluang yang sangat besar dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita semua dan wajib ke atas kita semua untuk mensyukuri nikmat tersebut melalui wadah lisan dan perbuatan kita.

Madrasah Ramadhan adalah bertujuan untuk melahirkan fardhu muslim – fardhu muslim yang berkualiti serta kompeten (bertaqwa) dalam membangun modal insan (tonggak) ke arah menyempurnakan proses tajdid dan islah Tamadun Islam yang kini semakin mengambil tempat sama ada di gelanggang politik tanah air atau di peringkat antarabangsa.

Madrasah Ramadhan adalah merupakan faktor ‘x’ perdana dalam membangun Tamadun Islam yang bakal memimpin dunia dan menjatuhkan Tamadun Barat pada masa akan datang.

Percayalah masa depan akan menjadi milik Islam apabila kesemua umat Islam sudi untuk taat meleburkan diri mereka ke dalam acuan cara hidup Islam dan Manhaj Tarbiah Islamiyyah yang telah disusun khas oleh Allah SWT kepada kita semua.

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan buat umat Islam yang telah berjaya mengharungi segala kesusahan dan ujian yang terkandung di dalam bulan Ramadhan.

Barangsiapa yang hanya mendapat lapar dan dahaga maka tidak ada kemenangan yang layak disambut oleh mereka dan tidak ada kemanisan buat mereka di dalam bulan syawal yang penuh dengan kegembiraan ini.

GAMIS menyeru kepada semua mahasiswa dan umat Islam di luar sana agar menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran tanpa melupakan mereka yang tidak berkemampuan.

Gunalah peluang yang terbentang luas di bulan syawal ini untuk kita saling erat- mengeratkan hubungan sesama umat Islam dan saling maaf- bermaafan sesama kita.

Lupakan segala sengketa
lama dan marilah kita saling berlapang dada sesama umat Islam demi memacu sebuah proses perpaduan dan pemberdayaan umat Islam ke tahap yang lebih konnstruktif selepas daripada ini.

Dikesempatan ini, saya mewakili saff kepimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sesi 2018 ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua rakan-rakan mahasiswa dan seluruh Umat Islam di luar sana. Semoga Allah menerima ibadah dan mujahadah kita di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu dan Allah golongkan kita bersama mereka yang istiqamah bertaqwa sehingga ke akhir hayat kita.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

FAIZZUDDIN ZAI
PRESIDEN
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!