Pidato UM: Lebih 3000 Mahasiswa Turun

10710710_494961240644916_9159127027512100549_nKUALA LUMPUR, ISNIN – Lebih 3000 mahasiswa dari pelbagai kampus berhimpun di perkarangan hadapan kampus Universiti Malaya (UM) bagi menghadiri pidato anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang bertajuk “Anwar Ibrahim : 40 Tahun Dari UM ke Penjara.”

Acara tersebut yang menampilkan pidato ulung Ketua Pembangkang itu juga dihadiri oleh anak muda dan rakyat dari pelbagai lapisan dan kaum, yang mula berkumpul di hadapan pintu pagar kampus UM  setelah pagar dikunci sejak petang lagi meskipun cuaca hujan lebat.

Acara pidato dimulakan pada pukul 8.15 malam, dengan ucapan pidato oleh wakil-wakil NGO antaranya Fazril Salleh yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), wakil Pro-Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Mujahid, dan wakil-wakil kampus lain yang turut sama bersolidariti pada malam tersebut.

Dalam masa yang sama, beberapa wakil mahasiswa telah berunding dengan pihak keselamatan universiti supaya dibenarkan pelajar yang terkurung dari dalam kampus supaya dibenarkan menyertai acara pidato tersebut.

Setelah beberapa kali rundingan, pelajar dari dalam kampus dibenarkan keluar menyertai himpunan. Namun begitu, beberapa kumpulan pelajar dari luar mendesak supaya pihak keselamatan membenarkan acara diteruskan di perkarangan Dewan Tunku Canselor (DTC) yang pada akhirnya peserta himpunan merempuh pagar utama universiti sehingga terbuka dan peserta himpunan berjaya meluru masuk ke dalam kampus beramai-ramai.

Tiada keganasan dan provokasi merbahaya dilakukan peserta himpunan.

Lebih kurang jam 9.45 malam, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di perkarangan pintu utama menaiki pacuan empat roda dan disambut dengan laungan “reformasi” oleh ribuan peserta himpunan sambil berarak menuju ke perkarangan DTC.

Turut kelihatan antaranya Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat, Ahli Parlimen PKR, Amin Iskandar, Nurul Izzah dan Wan Azizah, ahli akademik, Prof. Azmi Sharom, serta beberapa aktivis dan wakil NGO yang turut sama hadir menyatakan solidariti.

Acara kemuncak terlebih dahulu berlangsung dengan pidato ulung Presiden PMUM, Fahmi Zainol yang menegaskan bahawa hak kebebasan akademik mahasiwa mesti terus dipertahankan di kampus.1901241_494981120642928_4446655648501073380_n

“Kita bukanlah mahu mendengar (wakil) parti politik untuk berucap di hadapan ini, tetapi bagi saya, kita telah membawa kembali ruh semangat kebebasan berakademik, kebebasan bersuara dan juga kebebasan untuk mahasiswa menjalankan aktiviti setelah sekian lama AUKU telah diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional dan juga UMNO,” jelas beliau memberi inspirasi kepada semua peserta himpunan.

Pidato terakhir yang merupakan acara kemuncak pada malam itu menyaksikan Anwar Ibrahim berucap memberi semangat kepada mahasiswa yang hadir pada malam itu untuk teruskan perjuangan menegakkan keadilan sekiranya beliau sudah tiada.

“Hari ini Universiti Malaya, universiti tercinta saya yang begitu berjasa kepada kami, membuka ruang (untuk berpidato), bukan kuasa universiti, tetapi oleh kerana kegigihan anak-anak muda yang berjuang,” ujar beliau.

“Apa salah saya datang 20 minit untuk mempertahankan diri saya? Mengapa kuasa yang begitu angkuh dan rakus, begitu takut dan gentar, dengan suara seorang Anwar?” persoal beliau mendapat tepukan gemuruh dari hadirin.

Ujar beliau lagi, sewajarnya maksud kebebasan akademik tersebut difahami mahasiswa dan pentadbiran dengan meluaskan perbincangan dan diskusi, keupayaan berhujah dan mengkritik sesuatu perkara dengan ilmiah, bukan dengan menyekat pengaruh pihak-pihak tertentu khususnya mahasiswa dalam memberikan pendapat.

“Pertahankan saudara Fahmi,” tegas beliau di akhir pidatonya disambut sorakan dan tepukan gemuruh oleh ribuan hadirin.

Acara pidato berakhir kira-kira pukul 11 malam dan peserta bersurai secara aman.

Bersedia dengan apa-apa tindakan

Dalam pada itu, saudara Fahmi Zainol selaku pemimpin pelajar nombor satu universiti tersebut memberi gambaran awal bahawa beliau kemungkinan besar akan dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak universiti berikutan penganjuran pidato tersebut, setelah mendapat amaran awal supaya dihentikan program terbabit oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) sebelum program dilangsungkan.

Namun demikian, beliau tetap bertegas dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang tindakan, sekalipun pihak HEP akan memecat beliau daripada jawatan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar universiti ataupun kemungkinan lebih besar untuk dibuang universiti.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!