Pilihanraya Kampus: Serahan Memorandum Pilihanraya Kampus (PRK)

 

13690793_1454263937935958_2924707777032049063_n

Terima kasih kepada Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof. Dato’ Dr. Aishah Bidin dan Mr. Jerald Joseph, dan Pegawai Suhakam, Helmi Fendy Mohd. Idris, kerana sudi menerima kehadiran delegasi WUFI UIAM dan GAMIS dalam serahan memorandum menuntut pilihanraya kampus yang telus dan pelaksanaan undang-undang disiplin pelajar yang adil dan saksama di Pejabat SUHAKAM pada pagi tadi.

Pihak SUHAKAM memberikan kerjasama yang sangat baik dan perbincangan dua hala dapat diadakan secara ramah dan profesional. Perbincangan banyak berkisar kepada 10 tuntutan yang dikemukakan kepada pihak SUHAKAM meliputi PRK, undang-undang disiplin pelajar, dan kuasa MPP.

Di bawah merupakan tuntutan WUFI UIAM dan GAMIS kepada SUHAKAM:

1. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut agar PRK yang bakal diadakan tahun ini dapat dilaksanakan dengan telus dan bebas daripada campur tangan politik luar dan pentadbiran universiti.

2. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut agar diberikan hak untuk berkelompok dan berpartisipasi dalam mana-mana parti sepanjang tempoh PRK diadakan.

3. WUFI UIAM dan GAMIS memohon agar SUHAKAM dapat membuat tinjauan secara rasmi ke atas pelaksanaan PRK di universiti seluruh negara.

4. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut agar undang-undang universiti di seluruh negara mestilah tertakluk dan terikat kepada AUKU 1971 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

5. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut agar undang-undang universiti tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak yang berkepentingan untuk menyekat mana-mana wacana ilmiah untuk diadakan di dalam kawasan universiti.

6. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut agar mantan exco MPP diberikan hak untuk memantau pelaksanaan PRK secara penuh mewakili pengundi dan mahasiswa secara keseluruhannya.

7. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut agar MPP diberikan kebebasan untuk menguruskan kewangan dan pengurusan bajet sendiri bagi setiap program mahasiswa kampus.

8. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut supaya peraturan PRK mestilah bertepatan dengan hak asasi pelajar dan mengikut budaya berpilihanraya di peringkat nasional.

9. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut pihak pentadbiran universiti tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang menyeleweng seperti mendakwa pihak pro-universiti atau mana-mana pihak yang menang dalam PRK.

10. WUFI UIAM dan GAMIS menuntut supaya tarikh PRK diumumkan genap sebulan lebih awal sebelum membuka borang pencalonan sebagai makluman awal dan menjamin persaingan yang adil sesama calon.

Pihak WUFI UIAM juga sekali lagi membuat permohonan rasmi supaya SUHAKAM boleh membuat tinjauan rasmi kepada seluruh perjalanan PRK di UIAM. WUFI UIAM sentiasa komited dan konsisten supaya nilai & pembudayaan demokrasi dapat disemarakkan kepada masyarakat kampus.

Pertandingan PRK kelak mestilah bersifat sihat, berdaya saing, dan matang. Kita fokus kepada pembinaan masyarakat kampus yang matang, rasional, dan proaktif. Ayuh kita mula dahulu dengan UIAM! Seterusnya kita akan bawa isu ini kepada kementerian & perbincangan dengan pentadbiran universiti. WUFI UIAM sangat terbuka dan sudi untuk berbincang dengan sesiapa sahaja untuk membina masyarakat kampus yang tinggi nilainya.

Kami berharap semoga hubungan rapat antara mahasiswa dan SUHAKAM akan sentiasa terjalin dalam menyuburkan kesedaran dan tanggungjawab kepada masyarakat kampus untuk menghidupkan fungsi universiti yang rencam dan kondusif.

YAZID KHAIRUL AZMAN
Pengerusi WUFI UIAM

‪#‎weuniteforislam‬
‪#‎prkuiam‬
‪#‎prkbersih‬
‪#‎bebaskampus‬

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!