PIM 11: Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pasca PRU ke-14: Apa Seterusnya?

Oleh: Muhammad bin A Rahman

Pada pukul 4.41 pagi, 10 haribulan Mei 2018 tadi, saya denga tidak tenangnya mendengar ucapan Pengarah SPR yang telah mengumukan kemenangan Pakatan Harapan. Angin perubahan nampaknya telah berjaya menumbangkan kerajaan yang sekian lama berdiri. Dengan jumlah yang turun mengundi seramai 14, 940, 624 berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 seramai 11, 054, 577, tsunami rakyat yang saya yakin penambahan jumlah itu adalah kerana pengundi muda telah berjaya membuat perubahan setelah sekian lama Malaysia dikuasai oleh Barisan Nasional.

Selama 61 tahun Malaysia ditadbir oleh Barisan Nasional dan kekalahan parti gabungan ini akan tercatat selamanya dalam sejarah Malaysia. Walaubagaimanapun, ada satu kebimbangan yang hadir dari rakyat terutama golongan pasca reformasi yang suka saya kemukakan tetapi tidak mengulas tentang adalah kembalinya Tun M ke tampuk pemerintahan Malaysia dengan menjadi Perdana Menteri sementara. Mari kita sama-sama sekadar bear that in mind, letak dalam minda yang Tun Mahathir Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

Selama 61 tahun dibawah bayangan BN, sesungguhnya masih ramai yang tidak percaya akan perubahan yang berlaku ini terutamanya pengundi Saluran 1 dan 2. Semasa mengira undi di Bentong tempoh hari, saya ada berbicara dengan seorang uncle yang menjadi ejen untuk Barisan Nasional di sana. Selepas pengiraan, dia menggeleng kepala dan harap pusat masih utuh Barisan Nasional walaupun dia sebelumnya ada menyatakan ramai orang muda sudah tolak BN dan Gerakan.

What’s next pertama: Pemerintahan Mahathir yang baru

Bagi saya pengundi Saluran 1 dan 2 bolehlah perlahan-lahan menelan kenyataan dan ianya bukanlah suatu yang mengerikan pun terutamanya untuk kaum Tiong Hua. Saya sungguh teruja untuk mengetahui bagaimana pemerintahan Tun M pada kali ini. Terlalu banyak kisah dan cerita dari ayah, ibu, rakan ayah dan ibu juga mereka yang merasa dibawah pemerintahan Tun M tentang kebobrokan beliau. Saya tidak sempat merasainya kerana terlalu kecil di era pemerintahan Tun M tetapi masih ingat lagi ayah akan sentiasa membawa artikel berkenaan ‘Mahafiraun’ ini ke rumah untuk ditelaah.

Oleh kerana itu, saya begitu teruja untuk menantikan apakah corak pemerintahan beliau kali ini. Apakah beliau akan memerintah Malaysia sama seperti dahulu ataupun dengan gabungnya beliau dengan bekas pembangkang ini, lain coraknya. Walaupun beliau hanya sekadar Perdana Menteri sementara, saya yakin beliau ini licik dalam beragenda.

What’s next kedua: Perlaksanaan Manifesto dan Janji.

Sejujurnya, Malaysia semasa pemerintahan BN tidaklah dalam keadaan yang baik. Kerosakan yang dilakukan oleh pihak pemerintah lalu cukup parah dan untuk membaikpulihnya, dalam pandangan saya, bukanlah suatu kerja yang mudah. Bayangkan, kerosakan yang dilakukan selama 61 tahun lamanya, termasuk 20 tahun di zaman Tun Mahathir memerintah, Pakatan Harapan perlu cover kesemuanya kerana amanah negara sekarang di pundak mereka.

Tambah lagi, perlaksanaan janji dan manifesto mereka juga perlu dilaksanakan yang dilihat bukanlah perkara yang mudah. Semisalnya peningkatan gaji swasta dan penjawat awam, bantuan pendidikan percuma, subsidi air dan elektrik dan juga yang lain-lain memerlukan kewangan yang besar sedangkan hutang negara lebih kurang 1 Trilion Ringgit banyaknya. Ini satu cabaran buat kerajaan baru Pakatan Harapan.

What’s next ketiga: Nasib Terengganu dan Kelantan

Pantai Timur pada kali ini telah terlanda Tsunami Hijau atau Tsunami Islam apabila PAS berjaya membentuk kerajaan disana. Ini membuktikan bahawa perjuangan PAS masih diterima oleh penduduk Pantai Timur dan PAS merupakan salah satu parti masih kuat walaupun beberapa cabaran melanda oleh parti tertua ini. Maka, tidak betullah bacaan politik Rafizi yang menyatakan PAS tiada tempat dihati rakyat Malaysia.

Namun, Kelantan dan Terengganu tidaklah dalam keadaan selesa. Ini kerana musuh PAS pada PRU ke-14 kali ini berjaya membentuk kerajaan di persekutuan. Ini boleh menjadi ancaman terbesar pada kedua buah negeri tersebut dari sudut ekonomi, sosial dan lain-lain. Tambahan lagi, Tun Mahathir pula yang jadi Perdana Menteri, tambahlah lagi khabar angin yang menyatakan Kelantan dan Terengganu akan dilayan dengan teruk kerana kebencian beliau terhadap PAS.

What’s next keempat: Nasib Perlis dan Pahang

Walaupun BN kalah tetapi berjaya memegang 2 buah negeri di Semenanjung iaitu Perlis dan Pahang. Kubu kuat mereka, Johor, akhirnya berjaya dipecahkan oleh PH. Johor yang terkenal dengan ‘safe deposit’ BN nampaknya bolehlah dinafikan setelah sekian lama.

Kerana kezaliman BN selama ini, tidak mustahil dosa silam mereka akan dibalas balik oleh kerajaan baru. Ataupun mungkin PH akan berlemah lembut dengan memaafkan dosa silam dan membantu kedua-dua kerajaan negeri ini dalam membangunkan negeri masing-masing.

What’s next kelima: Nasib Islam

Barangkali ini adalah sekadar permainan persepsi bagi sesetengah kelompok namun tak salah untuk kita sama-sama fikirkan. Sebelum pilihan raya umum ke-14, terdapat banyak ura-ura yang menyatakan nasib agama Islam akan menjadi negative apabila mandat diberikan kepada Pakatan Harapan. Banyak video dan tulisan telah ditularkan di laman media sosial dan juga sistem pesanan ringkas tentang hal ini. Tidak dinafikan berlakunya penambahan kerusi bukan Islam di dalam parlimen dari kalangan parti PKR dan DAP pada kali ini. Tetapi apa yag diharapkan ianya hanya sekadar persepsi dan tidaklah benar sama sekali

Penutup

Sesungguhnya terlalu banyak andaian dan what’s next yang datang dan hadir dalam benak minda rakyat Malaysia, terutamanya pemikir politik. Mungkinkan ada yang akan melompat parti nanti? Adakah nasib Malaysia Timur berubah selepas Persekutuan ditadbir oleh Pakatan Harapan? Adakah Malaysia kearah yang lebih baik dan kalau ya, sejauh mana baiknya? Apakah nasib Malaysia dibawah Tun M untuk kali kedua? Saya cukup berharap akan keluar penulisan ilmiah berkenaan tersebut untuk kita sama-sama mentelaah. Tulisan ini hanyalah sekadar lontaran fikiran terus dan bukan ilmiah sangat, jadi maaf jika tidak tersusun fakta yang tertulis. Akhirnya, marilah sama-sama kita doakan yang terbaik untuk Malaysia.

Viva la Islam, Viva la Rakyat, Viva la Malaysia.

 

Penulis merupakan Pengerusi Jabatan Kajian dan Intelektual GAMIS Nasional.

Kami mengalu-alukan penulisan anda untuk disiarkan ke portal GAMIS. Sila emailkan penulisan anda ke jabatankajianintelektual@gmail.com. Terima kasih.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!