PAS : ANAK DARA SUNTI YANG VISI JAUH TERKEHADAPAN (SIRI 4)

Baru berkesempatan untuk respon isu politik di Perak, disebabkan lebih berhati-hati dalam mendapatkan maklumat sahih selepas tular kononnya YB Dato’ Suraya Ya’akob, ADUN Sg Tiang dari BN lompat ke PH. Dalam keghairahan mengikuti perkembangan politik Malaysia mutakhir, jangan lupa konsep Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) telah menggariskan salah satu prinsip iaitu, politik bertunjangkan kebenaran. Permohonan maaf telah saya tujukan kepada YB Dato’ Suraya seperti tertera di pautan bawah :

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2102455036461613&id=100000914120194

Mengulas polemik pembentukan kerajaan di Perak, seperti diketahui tiada satu pun parti/gabungan yang mendapat majoriti mudah untuk membina kerajaan. Pakatan Harapan (DAP-PKR-AMANAH-PPBM) memperoleh sebanyak 29 kerusi, manakala Barisan Nasional memperoleh 27 kerusi. Antara faktor kedua-dua blok gagal mendapatkan majoriti mudah disebabkan PAS berjaya memperoleh 3 kerusi walaupun secara bersendirian. Bagi membentuk kerajaan, majoriti mudah yang diperlukan adalah 30 kerusi.

Desas-desus bertiup kencang PAS bakal membentuk kerajaan bersama BN. Ternyata meleset apabila PAS telah mengeluarkan kenyataan rasmi tidak akan bersama BN malahan meletakkan satu jalan penyelesaian iaitu Kerajaan Perpaduan. Di samping itu, PAS juga meletakkan syarat Menteri Besar perlulah seorang yang beragama Islam dan mendapat sokongan daripada majoriti ahli dewan tidak kira dari parti mana sekalipun. PAS diibaratkan anak dara sunti kerana peranan king maker ini telah menjadikan parti yang hendak membentuk kerajaan perlu bersetuju dengan syarat PAS tetapkan. Ia bukan soal PAS tidak tahu malu kerana kerusi sedikit, ia adalah amanah rakyat, jika rakyat tidak yakin pada PAS, sudah lama PAS tidak mendapat kerusi. PAS sudah serik dengan komplot yang terjadi dalam Pakatan Rakyat seperti Perak jatuh ke tangan BN dan Langkah Kajang.

Pendirian PAS ini selaras dengan idea yang disebut oleh Presiden PAS sebelum ini, jika mana-mana tidak bersetuju dengan syarat PAS iaitu dasar Islam, maka kerajaan Perpaduan akan diwujudkan. Sedikit maklumat berkaitan ini, Kerajaan Perpaduan atau bahasa inggerisnya Unity Government adalah sebuah kerajaan yang ditadbir tanpa pembangkang. Mengambil kata-kata daripada Presiden PAS sendiri, beliau menyebutkan,

“Semua parti duduk dalam kerajaan dan semua parti ini ada identiti, ada syakhsiyyah, ada kepelbagaian dan dia (parti) berhak untuk membangkang di mana ‘Unity Government’ ini membolehkan orang dalam Umno sendiri bangkang kerajaan.”

Selain itu, idea ini juga sebagai solusi menyelamatkan negara selepas kerosakan yang dilakukan oleh UMNO-BN. Selaras dengan tagline Pakatan Harapan iaitu #SelamatkanMalaysia#BinaNegara. PAS juga selaras menyelamatkan Malaysia dari terus hancur dengan memperkenalkan konsep #MalaysiaSejahtera. Jelas hasrat PAS mahukan pentadbiran telus merentasi parti bagi membina semula negara Malaysia yang dicintai. Antara kata-kata disebut Presiden PAS,

“Ini kita (PAS) memecahkan tradisi yang dibuat oleh Umno yang ada pada hari ini. Di mana orang Umno tidak boleh bangkang parti dia dan kalau bangkang dia akan kena pecat. Ini termasuklah, kita membebaskan Umno itu sendiri. Ini kena faham dan dalam masa yang sama ‘Unity Government’ ini mestilah melakukan perubahan yang adil untuk semua rakyat. Ini termasuklah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan kehakiman, pentadbiran.”

Dalam sejarah politik dunia, banyak negara sudah mengamalkan konsep UG ini, antara contoh negara tersebut adalah seperti di Indonesia berlaku pemisahan kuasa dengan ‘SPR’ atau Pemilu di Indonesia dengan badan politik. Pemisahan kuasa dengan badan kehakiman, sehingga badan kehakiman di Indonesia boleh menyeret Suharto ke mahkamah, boleh menyeret Perdana Menteri dan Menteri-menteri ke Mahkamah jika melakukan kesalahan. Di Israel juga mengamalkan, Perdana Menteri Israel pun boleh dibawa ke mahkamah dan disiasat. Banyak negara pernah mengamalkan konsep UG ini walaupun berubah-ubah bagaimana UG itu diamalkan, UK, Greece (ketika pemerintahan Lucas Papadomos pada 2011), Italy, Canada, Afghanistan dan banyak lagi. Kebanyakkan negara tersebut mengamalkan UG bagi menyelamat negara mereka selepas peperangan dan krisis ekonomi yang berpanjangan.

Apa yang boleh saya simpulkan, pengalaman Presiden PAS dalam mendepani politik dunia adalah aset yang perlu dimanfaatkan oleh seluruh pemain politik di Malaysia. Ketika era Pakatan Rakyat juga, Presiden PAS pernah memberi cadangan Kerajaan Perpaduan selepas Undi Tidak Percaya kepada Tun Abdullah Badawi gagal di Parlimen. Cadangan ini ditolak oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat ketika itu. Ironinya, pada 2015, Lim Kit Siang pernah mencadangkan kerajaan Campuran bagi menjaga kepentingan negara. Apa yang akan berlaku di Perak,akan ditentukan hari ini. 2 sahaja pilihan, selamatkan negara atau menjaga kepentingan parti walaupun terpaksa gadai prinsip.

 

MUHAMMAD HAFIZUDDIN MUHAMMAD
Majlis Politik Nasional
GAMIS 2018

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!