PIM9:TUNTUTAN REFORMASI GAMIS TERHADAP SISTEM PILIHAN RAYA DI MALAYSIA

Oleh: Jabatan Kajian Intelektual

Umum mengetahui bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14) pada 9 Mei 2018 iaitu pada hari Rabu. Perkara ini dilihat jelas telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat memandangkan hari Rabu merupakan hari bekerja bagi kakitangan awam dan swasta. GAMIS melihat implikasi daripada pengumuman tersebut akan mengurangkan peratusan pulang mengundi dalam kalangan pengundi luar.

Dengan itu, GAMIS telah mengemukakan 7 tuntutan reformasi terhadap sistem pilihan raya di Malaysia seperti berikut:

  1. GAMIS tuntut SPR menetapkan Standard Operating Procedure (SOP) untuk penetapan tarikh-tarikh penting dan tempoh yang munasabah bagi maksud menjalankan PRU.

Penetapan tarikh PRU14 yang dikeluarkan oleh pihak SPR baru- baru ini dilihat sangat tidak sesuai dan merompak hak mengundi rakyat, malah, tempoh berkempen yang diizinkan oleh pihak SPR adalah sangat tidak mencukupi dan tidak masuk akal. Perkara-perkara yang berlaku ini seolah-olah SPR bukan lagi badan bebas yang tidak dipengaruhi mana-mana parti politik. Oleh itu, GAMIS menggesa pihak SPR untuk menetapkan semula Standard Operating System (SOP) yang meletakkan kepentingan pengundi sebagai fokus utama agar dapat menyediakan platform pengundian terbaik untuk rakyat.

  1. GAMIS tuntut SPR menjalankan Hari Mengundi pada hari hujung minggu (Sabtu atau Ahad).

Keputusan SPR dalam menetapkan hari Rabu sebagai hari mengundi bukan sahaja tidak relevan, bahkan dilihat tidak konsisten dengan sasaran turun mengundi 85% yang dikeluarkan oleh pihak SPR sendiri sempena PRU14 ini. Penetapan ini jelas menyukarkan pelbagai pihak seperti agensi swasta, pekerja dan mahasiswa yang bekerja di luar negeri mengundi. Bukan itu sahaja, cuti sehari yang diperuntukkan seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata dan tidak memikirkan nasib pengundi yang berkhidmat di luar negeri. Oleh itu, GAMIS menuntut agar Hari Mengundi untuk pilihan raya akan datang ditetapkan pada hari Sabtu atau Ahad sahaja bagi memudahkan perjalanan rakyat untuk turun mengundi.

  1. GAMIS tuntut SPR menetapkan tempoh berkempen yang munasabah iaitu selama 21 hari daripada Hari Penamaan Calon.

Menurut Perkara 55 (4), pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran parlimen. Berdasarkan rekod sejarah pilihan raya umum Malaysia, tempoh berkempen pernah dijalankan selama 35 hari pada tahun 1959, 1964 dan 1969 manakala mencatatkan tempoh paling pendek iaitu 8 hari sahaja pada tahun 2004. Justeru, adalah sangat tidak adil dan sama sekali tidak memenuhi hak calon untuk turun berkempen dan bertemu rakyat dalam tempoh sesingkat 11 hari. Oleh itu, GAMIS menggesa pihak SPR untuk memanjangkan tempoh berkempen kepada 3 minggu, bersamaan 21 hari sebagai memenuhi hak sebagai calon.

      4. GAMIS tuntut SPR mengumumkan tarikh PRU seterusnya sejurus tamat PRU semasa.

GAMIS melihat pengumuman awal tarikh PRU akan datang mampu memberi manfaat kepada pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi swasta bagi memperuntukkan masa untuk pekerja keluar mengundi. Pengumuman ini juga membuka peluang kepada parti-parti yang bertanding untuk membuat persiapan dan perancangan awal bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Oleh itu, GAMIS berpendirian bahawa jika tarikh PRU akan datang diumumkan awal, perjalanan PRU akan menjadi lebih mudah dan tidak merumitkan mana-mana pihak.

      5. GAMIS tuntut SPR mendaftarkan setiap rakyat Malaysia yang cukup umur (21 tahun) dan layak berdaftar sebagai pemilih secara automatik.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, hampir 4 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pengundi. Perkara ini dilihat serius dan amat membimbangkan kerana nilaian satu undi mereka ibarat satu kuasa besar yang mampu menentukan masa depan Malaysia. Hal ini dapat dilihat berpunca daripada beberapa faktor seperti sikap tidak acuh rakyat sendiri terhadap isu negara dan proses pendaftaran yang agak rumit. Dengan ini, GAMIS menuntut agar pihak SPR dapat melaksanakan satu sistem daftar pemilih yang lebih efisien iaitu rakyat akan didaftarkan secara automatik sebaik sahaja mencecah umur 21 tahun.

     6. GAMIS tuntut SPR membersihkan senarai pemilih pada setiap suku sama seperti tempoh pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RPDT).

Adalah sangat membimbangkan rakyat Malaysia apabila terdapat beberapa kes yang meragukan berlaku pada sesi pilihan raya lepas seperti lambakan pengundi hantu. Justeru, demi memastikan pengundi yang tersenarai dalam senarai pemilih adalah sah dan benar, GAMIS memohon agar pihak SPR dapat membersihkan dan mengeluarkan nama-nama pemilih yang didapati tidak berhak dan tidak layak mengundi atas sebab-sebab tertentu seperti meninggal dunia.

     7. GAMIS tuntut SPR melibatkan parti-parti politik, ahli akademik, NGO dan pemimpin masyarakat di setiap peringkat untuk membuat keputusan berkaitan urusan PRU.

Pengumuman SPR menetapkan hari Rabu, 9 Mei 2018 sebagai hari untuk rakyat turun mengundi mengundang pelbagai reaksi masyarakat. GAMIS berpendapat penentuan sebarang keputusan berkaitan PRU di Malaysia seharusnya melibatkan semua peringkat yang berautoriti dan bertanggungjawab seperti ahli politik, ahli akademik, NGO dan pemimpin masyarakat. Hal ini bertujuan untuk menghasilkan keputusan dan aturan terbaik yang menunaikan hak rakyat sebagai pengundi dan tidak merugikan mana-mana pihak.

Kesimpulannya, GAMIS amat berharap agar pihak SPR dapat menerima tuntutan yang dikemukakan seperti di atas. Justeru, GAMIS yakin bahawa tuntutan ini akan mampu mewujudkan sebuah sistem pilihan raya yang lebih telus dan efisien untuk kesejahteraan negara pada masa akan datang.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!