Rakyat Malaysia Perlu Tolak Budaya Hedonisme

Tidak serik dengan apa yang berlaku kepada Negara dengan kematian 6 remaja dalam konsert bebas bulan Mac yang lepas, Malaysia sekali lagi terbuka membenarkan konsert hiburan berlangsung di Negara ini. Dijadualkan, Konsert Mariah Carey dan juga Showcase K-Pop bakal berlangsung pada Oktober dan Ogos 2014.

Melihat kepada budaya Hedonisme yang semakin berleluasa dalam Negara, ia merupakan suatu ancaman yang menjerumus kepada keruntuhan akhlak anak muda, terutama anak muda Islam. Pergaulan bebas, pemakaian melebihi batas, hidangan minuman arak serta pengambilan dadah antara yang menjadi santapan yang jelas bertentangan dengan Islam.

Sedangkan, perkara yang penting perlu dititikberatkan oleh kerajaan adalah pembangunan modal insan generasi yang berkualiti dan berakhlak. Anak muda bakal pemimpin Negara dan bakal mencorak Negara pada masa akan datang.

Dalam pada Malaysia sedang berdepan dengan Isu MH370 dan MH17 yang belum berkesudahan, dunia sedang bersolidariti buat Umat Islam serata dunia yang diserang musuh Islam, bahkan Malaysia sedang mensia-siakan kualiti anak muda bakal pemimpin Negara dengan hidangan hiburan yang melalaikan. Bukanlah kerana insiden-insiden yang berlaku dalam negara mahupun dunia yang menjadi faktor utama kehadiran konsert-konsert ini ditolak, tetapi berbalik kepada seruan Allah untuk mencegah kemungkaran.

Justeru, SIGMA menyeru semua rakyat Malaysia, dari semua lapisan masyarakat, badan-badan NGO, parti politik, mahasiswa untuk sama-sama bekerjsama menolak dan membanteras budaya hedonisme ini daripada menjadi barah dalam kalangan rakyat Malaysia. Di samping bersama menyemarakkan budaya pembangunan generasi berakhlak dan berbudi yang perlu dihidupkan. Ibu bapa berperanan mengawasi dan mendidik anak-anak mereka, mahasiswa perlu lebih tegas membina kualiti diri untuk kepimpinan Negara dan agama, juga masyarakat perlu bersama menolak budaya ini berleluasa.

Nur Liyana Omar
Timbalan Pengerusi
Sinergi Gerakan Mahasiswi

SIGMA, GAMIS

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!