Ruu: Mengapa Mahasiswa Perlu Sokong Pindaan Akta 355?

RUU MENGAPA

1. Baru-baru ini negara digemparkan dengan pelbagai spekulasi seputar isu pindaan Akta 355 yang dibentangkan oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 26 Mei tahun ini.

Malah ada sesetengah pihak cuba menakut-nakutkan orang bukan Islam di negara ini dengan mengaitkan pindaan ini adalah berkaitan hukuman hudud jika kesalahan melibatkan orang bukan Islam di negara ini.

2. Matlamat pindaan Akta 355 ini mudah iaitu usul persendirian TGHH berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tidak lain tidak bukan adalah untuk memperkasa kedudukan mahkamah syariah yang dibataskan kuasa hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, atau enam kali sebatan syar’ie.

Kali terakhir ianya dipinda adalah pada 1984, kira-kira 20 tahun dahulu.

3. Tidak keterlaluan jika dikatakan hukuman yang sedia ada sudah tidak relevan apatah lagi menggerunkan pesalah laku.

Ini tidak bertepatan dengan prinsip asas undang-undang yang sepatutnya berfungsi sebagai “deterrent” ataupun halangan.

4. Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada hukuman mengikut hukum syarak selain hukuman mati walaupun tidak mencapai tahap hukuman yang sebenar-benarnya.

5. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

Apa yang pasti, orang bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bidang kuasa mahkamah syariah hanya untuk umat Islam.

6. Merujuk Seksyen 2 Akta 355, ia telah menjelaskan hanya orang Islam boleh dibicarakan dan dihukum di dalam mahkamah syariah.

Justeru, spekulasi yang mengatakan bahawa hukuman sebatan syariah boleh dikenakan pada orang bukan Islam adalah tidak tepat sama sekali.

7. Akta 355 ini juga bukanlah pintu belakang bagi melaksanakan hudud seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Rakyat dan mahasiswa khususnya perlu memahami bahawa Akta 355 ini tiada kaitan dengan pelaksanaan hukuman hudud.

8. Pelaksanaan hudud hanya berkait rapat dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di negara kita Malaysia.

Hal ini boleh berlaku hanya jika undi majoriti iaitu 2/3 ahli-ahli parlimen bersamaan 148 daripada 222 orang ahli parlimen bersetuju menyokong pindaan berkenaan hudud tersebut.

9. Realiti politik hari ini tidak menggambarkan hal ini boleh menjadi realiti kerana ahli parlimen yang beragama Islam masih tidak memenuhi bilangan majoriti di Parlimen.

Malah, kefahaman tentang syiar Islam juga masih belum berjaya difahami keseluruhannya oleh rakyat Malaysia walaupun masyarakat Muslim sendiri.

10. Namun begitu, ini tidak bermakna kita sebagai orang Islam yang memahami kebenaran hukum Allah ini mengambil jalan mudah dan mengetepikan terus tanpa ada usaha ke arah menegakkan syiar Islam.

11. Selari dengan firman Allah di dalam Al-Quran:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.”

[Al-Maidah: 49]

12. Justeru itu, GAMIS akan terus komited menyebarluaskan pemahaman mengenai salah faham pindaan Akta 355 ini.

Dengan ini, Majlis Politik Nasional dengan kerjasama Majlis Presiden GAMIS akan mengadakan sebuah diskusi khas dalam “Green Tea Talk 4 Malaysia” siri ke-5 dengan tajuk “RUU: MENGAPA MAHASISWA PERLU SOKONG PINDAAN AKTA 355?” yang akan dikupas oleh Dr. Fathi Yusoff, seorang Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) (UTM) yang juga merupakan seorang Ahli Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) untuk menjawab persoalan ini.

13. Ayuh bersama kami dalam merungkai salah faham pindaan Akta 355 pada Selasa ini bersamaan 2hb Ogos 2016 jam 8 malam di Pejabat GAMIS, Seksyen 4 Bangi.

Jumpa anda di sana!

“Menuju Politik Idea dan Solusi”

“BERSAMA MELANGKAH, MENUJU PERUBAHAN”

MAJLIS POLITIK NASIONAL
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2016

 

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!