Selesai Politik Perkauman

malaysia-flag-jalur-gemilang-500x250

GAMIS MAHU KEMELUT POLITIK PERKAUMAN DISELESAIKAN

Pilihanraya umum 13 telah menyaksikan rentetan peristiwa perkauman dan kebobrokan yang kerap kali mencetuskan perbalahan dan menggugat keharmonian kaum yang ada di Malaysia. Laungan gempita daripada segenap lapisan masyarakat, pertubuhan dan NGO membuktikan wujudnya ketidaktenteraman dan ketelusan dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Isu “Tsunami Cina” umpamanya memberi gambaran bahawa tindakan rasis dan tidak jujur oleh kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat cina.

Perubahan dan kebanjiran lebih daripada 70 peratus pengundi cina terutama yang menetap di kawasan bandar mengundi Pakatan Rakyat (PR) diherdik dan dicerca dengan penuh rasis di media massa. Sewajarnya, Kerajaan harus mengambil iktibar dan mengkaji semula mengapa “Tsunami Cina” ini berlaku dan membetulkan kembali prinsip perjuangan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Isu perbalahan agama juga tidak ada kurangnya. Sejak lebih setahun yang lalu, isu kalimah Allah umpamanya berterusan dimainkan oleh media dan ahli politik. Tambah memuncak apabila berlaku kes serbuan JAIS bertindak ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM) dengan menyita lebih 300 naskhah Bible yang mengandungi kalimah Allah.

Dalam kejadian Januari lalu, pelbagai NGO telah mengambil tindakan mempersoalkan dan mengkritik tindakan JAIS termasuk Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) yang mengkritik dan menyelar tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana menyita lebih 300 nashkah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban dalam satu serbuan ke atas pejabat Persatuan Bible Malaysia. Kemelut ini terus berlanjutan hingga ke hari ini umpama tiada pihak yang mampu menanganinya dengan berhikmah.

Melihat pula kepada isu surau yang dijadikan sebagai tokong oleh penganut Buddha di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini adalah berpunca dari kegagalan kerajaan khususnya Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA).

JKMPKA telah ditubuhkan oleh kerajaan melalui Jemaah Menteri pada 24 Februari 2010 dengan tujuan membantu kerajaan mempromosikan persefahaman dan keharmonian di antara agama di Malaysia demi meneruskan usaha menjalin keamanan dan kestabilan sosial dengan melantik Datuk Hajah Ilani Ishak sebagai Penyelaras Khas JKMPKA.

JKMPKA sepatutnya bergerak secara aktif dan agresif bagi mendekati masyarakat dan penganut setiap agama agar menghormati nilai, amalan dan budaya hidup beragama masing-masing. Namun demikian, dengan berlakunya kes seumpama ini di Johor, ia menunjukkan bahawa masih ada masyarakat yang keliru dalam mengamalkan kebebasan beragama.

Persoalan yang perlu kita bangkitkan, apakah langkah yang telah diambil oleh jawatankuasa tersebut dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian agama diperkukuhkan dalam negara ini walaupun difahamkan JKMPKA telah menubuhkan 4 jawatankuasa bertindak terdiri daripada Jawatankuasa Kerja Persefahaman terhadap isu-isu Antara Penganut Agama, Aktiviti, Mediasi dan Acara Bersama Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat . Nampaknya sehingga kini masih belum ada tanda-tanda tindakan dibuat bagi memastikan kefahaman dan persefahaman dibentuk antara penganut agama.

Apa yang menghairankan lagi, gejala menghina agama terutama agama Islam semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga segelintir masyarakat meluahkan kebencian dan kemarahan mereka terhadap agama Islam melalui laman sosial dan secara terbuka. Gejala ini semakin menular sehingga sukar dibendung apabila ada sahaja isu yang sengaja dibangkitkan demi memperlekeh ajaran Islam dan menaikkan kemarahan umat Islam.

Lihat sahaja isu penghinaan oleh 2 pasangan kekasih Alvian dan Vivian lewat Ramadhan tahun lalu menyaksikan kemarahan demi kemarahan oleh pelbagai pihak. Pada Julai lalu, selepas memuat naik gambar sedang menikmati hidangan sup tulang babi di laman Facebook pada bulan Ramadan, pasangan kontroversi Alvin dan Vivian Lee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan. Mereka memuatnaik gambar dan komen yang bertajuk “Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh.. wangi, enak, menyelerakan!!!)” yang mengandungi logo Halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Pasangan ini juga telah didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948. Mereka didakwa bersama-sama memuat naik penerbitan yang sama di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan agama berlainan. Bagi tuduhan itu mereka didakwa mengikit Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Tuduhan ketiga pula berbaur penyebaran gambar lucah.

Sehubungan itu, GAMIS merasakan kegagalan JKMPKA berpunca dari kegagalan kepimpinan negara dalam menterjemahkan persefahaman ini. Adanya isu terutama yang berkaitan dengan agama sengaja dipolemikkan menjadi isu politik sehingga ramai pihak menjadi keliru dalam memahaminya. Ada pula beberapa NGO yang begitu agresif menyerang sesuatu isu terutama berkaitan isu agama sehingga menimbulkan ketakutan penganut agama lain serta menimbulkan prejudis terhadap agama Islam.

Keberanian pelbagai pertubuhan dan NGO hari ini pula menyaksikan titik ketidakpersefahaman antara masyarakat disebabkan kurangnya peranan badan-badan kerajaan dan jawatankuasa yang ditubuhkan memberi kefahaman yang menyeluruh dalam mewujudkan suasana yang aman dan harmoni di malaysia.

Justeru, semua Jawatankuasa yang telah dibentuk harus segera turun ke masyarakat dengan memberi kefahaman dan penerangan yang sebenar bagi memastikan keharmonian antara agama dan kaum dapat dibentuk. Kerajaan wajar menganganinya secara serius sebelum berlaku ketegangan agama dan perbalahan kaum di negara ini.

GAMIS juga berpendirian bahawa perpaduan antara kaum dan agama menjadi teras penting dalam sesebuah negara. Perpaduan juga merupakan jaminan kestabilan politik dan ekonomi Malaysia.

Polemik politik perkauman yang cuba dicetuskan oleh mana-mana pihak wajar ditentang. GAMIS dengan tegas menyelar dan menolak sebarang tindakan provokasi yang melampau sehingga mampu menganggu gugat keamanan negara.

Kerjasama antara kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia harus diharmonikan agar Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang maju dan aman.

Abdul Malik Ab Razak
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!