Siling Mingguan Minyak Tambah Beban Mahasiswa

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpandangan tindakan kerajaan untuk mengumumkan harga siling petrol secara mingguan tidak mampu menyelesaikan masalah bebanan kos sara hidup rakyat, sekiranya subsidi  minyak masih tidak dipulangkan kepada mereka.
Sebaliknya perkara itu dilihat seperti langkah terdesak pihak kerajaan untuk membaik pulih masalah kos sara hidup rakyat yang tinggi yang kesemuanya berpunca daripada kenaikan harga minyak yang mendadak sebelum ini.
Naib Presiden 1 GAMIS, Muhammad Faizzuddin bin Zai berkata, usaha kerajaan itu hanya akan menguntungkan pihaknya sekiranya subsidi minyak tidak dipulangkan kepada rakyat.
Ini kerana, katanya, kesemua pengusaha-pengusaha minyak akan berusaha untuk menetapkan harga tinggi (untuk menampung kos) berdasarkan formula yang ditetapkan oleh kerajaan.
Beliau berkata, keadaan ini hanya akan mengakibatkan harga minyak akan tetap tinggi tanpa adanya mekanisme subsidi oleh kerajaan. Antara yang terkesan dengan keadaan ini pula ialah kelompok mahasiswa di kampus.
“Harga makanan harian di kampus yang meningkat secara mendadak menyebabkan ada yang terpaksa makan sekali sehari sahaja. Kes kecurian meningkat dan ada yang terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kos sara hidup sebagai mahasiswa,” katanya kepada Harakah, baru-baru ini.
Justeru, katanya, dengan pengumuman harga siling yang akan ditetapkan setiap minggu oleh kerajaan, mahasiswa menuntut pihak kerajaan untuk mengembalikan semula subsidi minyak kepada rakyat supaya usaha untuk mengembalikan kestabilan harga minyak terjamin.
(Artikel ini merupakan hasil tulisan Nyza Ayob: akhbar Harakah, 17-19 Mac 2017)

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!