TAZKIR TARBAWI 1.0

 

TAZKIR TARBAWI 1.0

Sheikh Musthafa Masyhur menyebut:
“Kita memerlukan individu Muslim yang menjadi pendokong akidah yang sahih dan murni dari sebarang percampuran, pendokong ibadah yang sahih lahir dan batin, yang mempunyai akhlak yang teguh yang diambil dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang mempunyai pendidikan dan pemikiran yang sesuai dengan pimpinan amal Islami, yang mempunyai tubuh badan yang kuat dan mampu memikul berbagai tugas, amal dan jihad. Kita mahukan muslim yang bermujahadah dengan dirinya dan memerangi nafsunya, yang berguna kepada orang lain, yang menjaga waktunya, yang mampu mengatur segala urusannya dan mampu berusaha dan berdikari”.

Untuk membina dan membentuk seseorang individu muslim sejati yang menyentuh seluruh aspek kehidupannya meliputi rohani, jasmani dan akal fikiran itu memerlukan kepada satu proses pentarbiyahan iaitu satu proses pendidikan yang akan membuahkan keputusan dan keyakinan serta beriltizam dan beramal dengannya. Matlamat asas Tarbiyah Islamiyah ini dilaksanakan bagi menyempurnakan akhlak yang akan menghasilkan manusia hidup di dunia ini dalam keadaan yang baik dan mendapat keredhaan Allah di akhirat nanti.

Proses Tarbiyah Islamiyah ini mestilah secara prinsipnya berpegang kepada kaedah Islam yang merujuk kepada sumber asas utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah sepertimana Rasulullah telah bersabda:
تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنتي
“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara selagi kamu berpegang dengan keduanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya; iaitu kitab Allah dan Sunnahku”.

Oleh itu, hendaklah setiap individu muslim itu mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui jalan Tarbiyah seperti firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan carilah jalan (wasilah) untuk mendekatkan diri kepada Allah, dan berjihad pada jalanNya agar kamu beroleh keuntungan”. (Al-Maidah: 35)

Jelas daripada ayat ini Allah memerintah kepada hamba-hambaNya yang beriman agar bertakwa kepadaNya. Apabila lafaz ketakwaan disertai dengan ketaatan kepadaNya akan memberi makna yang merangkumi tindakan menghindari segala hal yang haram dan meninggalkan semua larangan. Manakala ayat seterusnya Allah menyebut agar orang-orang beriman mencari jalan (wasilah) yang mendekatkan diri kepadaNya. Qatadah menyebut di dalam Tafsir Ibnu Kathir, ayat tersebut membawa maksud mendekatkan diri kepada Allah dengan mentaatiNya dan mengerjakan yang diredhaiNya.
Justeru, kita perlu sedari bahawasanya tarbiyah merupakan satu-satunya proses dalam pembentukan individu muslim sepertimana Sheikh Musthafa Masyhur seorang tokoh menyebut: “Tarbiyah memang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak akan dapat diraih kecuali melalui tarbiyah”.

“MARA BERSAMA ISLAM”

MAJLIS TARBIYAH DAN KEPIMPINAN NASIONAL
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2019

#MenjadiKekasihAllah
#CreateABetterMalaysia
#MaraBersamaIslam
#GAMIS2019

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!