THE GREAT RETURN MARCH: APA YANG PERLU KITA TAHU?

THE GREAT RETURN MARCH: APA YANG PERLU KITA TAHU?
1 April 2019M | 25 Rejab 1440H

30 Mac 2019 yang lalu, dunia telah menyaksikan para penduduk dan rakyat Gaza telah menyambut ulang tahun pertama “The Great Return March” (GRM) mereka yang telah dimulakan pada 30 Mac 2018. Dikatakan, perarakan dan perhimpunan aman ini akan berlangsung selama enam minggu sehingga 15 Mei nanti.

Mungkin timbul persoalan dalam kalangan kita, apakah itu GRM, dan mengapakah 30 Mac hingga 15 Mei dipilih sebagai tempoh untuk perhimpunan tersebut?

Untuk pengetahuan semua, 30 Mac sebenarnya menandakan sebuah peristiwa yang dikenali sebagai ‘Land Day’. Pada hari tersebut dalam tahun 1976, negara haram Israel telah mengisytiharkan rampasan ke atas ribuan dunum atau ekar tanah milik rakyat Palestin. Ribuan orang rakyat Palestin telah bangkit membantah dan mengadakan perarakan dari Galilee ke Negev.

Dalam peristiwa tersebut, seramai enam orang penduduk Palestin syahid, ratusan orang tercedera, manakala ratusan orang yang lain lagi telah ditangkap oleh tentera pembunuh Israel.

15 Mei pula ialah tarikh yang sememangnya perlu terus hidup dalam ingatan umat Islam. Hal ini kerana, pada tarikh duka tersebutlah, bermulanya peristiwa “Nakbah”, yakni malapetaka besar.

Seramai kira-kira 700,000 orang rakyat Palestin terpaksa lari meninggalkan rumah dan tanah air mereka. Mereka menyelamatkan diri daripada pembunuhan kejam yang dilakukan oleh tentera pengganas Yahudi Zionis bagi menimbulkan ketakutan dalam diri penduduk Palestin.

Dalam peristiwa yang bermula pada tarikh tersebut – yang hakikatnya telah dirancang oleh Israel sebagai pelan ‘Dalet’ supaya penduduk Palestin keluar dari rumah mereka sehelai sepinggang hanya dengan membawa peralatan ala kadar dan semampu mereka – sebanyak 480 buah pekan dan bandar telah dikosongkan.

Rumah-rumah yang ditinggalkan ini segera dimasuki oleh pendatang-pendatang Yahudi yang dibawa masuk ke Palestin dari Eropah. Mereka mengambil alih rumah-rumah yang ditinggalkan dengan segala perabot dan kelengkapan. Rumah-rumah ini kemudiannya didaftarkan oleh kerajaan haram Israel sebagai hak milik pendatang Yahudi. Rakyat Palestin yang melarikan diri kemudiannya tinggal di khemah-khemah pelarian di sempadan Jordan, Syria, Mesir, Lubnan, bahkan di Gaza.

Penduduk Palestin menyangka bahawa mereka hanya akan tinggal sementara di khemah pelarian dan akan pulang dalam waktu yang terdekat. Namun begitu, perhitungan mereka nyata meleset dan kini, sebahagian besar daripada generasi pertama pelarian Palestin sudah meninggal dunia, manakala anak cucu mereka pula masih tinggal di khemah pelarian tersebut sehingga hari ini.

Justeru, GRM ini adalah sebagai simbolik bahawa rakyat Palestin berhimpun dan berarak untuk menuntut hak mereka yang sudah dicabuli sejak 70 tahun yang lalu. Mereka hendak mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa hak mereka telah dirampas oleh Zionis Israel.

 

Dari segi undang-undang antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah pun meluluskan Resolusi 194 (III) pada tahun 1949. Dalam resolusi tersebut, rakyat Palestin boleh kembali ke kediaman mereka dalam waktu yang segera ketika resolusi itu diluluskan 70 tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, apa yang telah kita lihat dan saksikan setelah 70 tahun? Ya, Israel langsung tidak mengendahkannya! Bukan sahaja resolusi ini dilanggar dan diingkari, malah Israel terus melakukan pelbagai bentuk perlanggaran hak atas perlanggaran hak yang sedia ada!

Di samping itu, GRM ini juga bertujuan untuk mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa Gaza sudah dikepung sejak 12 tahun yang lalu. Sejak tahun 2007 sehingga hari ini, bukan sahaja Gaza dikenakan sekatan ekonomi dan dikepung dari darat, laut, dan udara, bahkan Gaza diserang secara biadab pada tahun 2008, 2009, 2012, dan 2014.

Kini, keadaan Gaza sangat daif sehingga PBB mengisytiharkan Gaza tidak mungkin didiami oleh manusia menjelang tahun 2020 kerana ketiadaan ubat-ubatan, masalah pembentungan dan pengurusan sampah, serta ketiadaan air bersih dan kemudahan paling asas seperti bekalan tenaga elektrik.

Bahkan pada saat ini, hospital di Gaza keputusan ubat untuk rawatan penyakit kritikal seperti kes barah yang semakin banyak menimpa kanak-kanak kerana senjata kimia dan radioaktif yang digunakan oleh rejim Zionis, kegagalan fungsi ginjal, bayi yang lahir secara pramatang, dan lain-lain.

Sebagai tambahan, GRM juga mengingatkan kita tentang pengisytiharan Donald Trump yang mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu kota Israel. Amerika dan beberapa negara budak suruhannya telah memindahkan kedutaan masing-masing dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis pada 15 Mei.

Kononnya, 15 Mei disambut sebagai hari ‘kemerdekaan’ Israel, walhal seluruh dunia patut sedar dan tahu bahawa tarikh tersebut sebenarnya menandakan tragedi terancang Israel dalam melakukan pengusiran rakyat Palestin dan merampas negara Palestin lalu mengisytiharkan berdirinya negara haram Israel.

Terkini, pada bulan Mac 2019 yang lalu, Trump dan sahabat baiknya Benjamin Netanyahu sekali lagi melakukan penodaan antarabangsa dengan mengisytiharkan pula bahawa Bukit Golan ialah milik wilayah Israel. Tetapkanlah apa-apa saja undang-undang atau polisi antarabangsa, namun begitulah perangai rejim Zionis Yahudi dan para sekutunya, mereka akan tetap melanggar dan tidak mengendahkannya.

Rakyat Palestin menyampaikan pesan yang jelas iaitu mereka tidak punya senjata dalam tangan mereka, tetapi mereka mempunyai hak dan kehendak yang tidak pernah surut. Semangat mereka tidak akan pernah padam meskipun mereka berhadapan dengan kematian.

Perjuangan mereka akan diteruskan oleh anak-anak mereka sebagai mata rantai yang tidak pernah putus sejak nenek moyang mereka dipaksa keluar dari tanah air, tanah kelahiran, dan tanah tumpahnya darah mereka. Insya-Allah, dengan izin Allah, mereka akan dimenangkan jua ke atas musuh-musuh mereka dan kemuliaan akan kembali menjadi milik mereka pada akhirnya.

Ya Allah, bantulah kami umat Islam dan menangkanlah kami ke atas mereka!

“MARA BERSAMA ISLAM”

GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2019

#GAMIS2019
#MaraBersamaIslam

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!