TUSUKAN JARUM LIBERALISME MEROSAKKAN KEASLIAN TENUNAN ISLAM

TUSUKAN JARUM LIBERALISME MEROSAKKAN KEASLIAN TENUNAN ISLAM
26 April 2019M | 21 Syaaban 1440H

1. Pada 13 April 2019 yang lalu, sebuah forum bertajuk “Malay Women & Dehijabing” telah diadakan. Program tersebut telah turut mengadakan sebuah pelancaran buku yang berjudul Unveilling Choice hasil karya Maryam Lee. Buku tersebut telah menyentuh mengenai kisah wanita Melayu yang tidak lagi mahu bertudung.

2. Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Yang Berhormat (YB) Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa kerajaan perlu mengambil langkah serius dan lebih sensitif berkenaan hal-hal yang berkaitan agama Islam. Penulisan Maryam Lee ini perlu diambil tindakan bawah Perkara 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), yakni menteri berhak untuk menghalang apa-apa kenyataan mahupun penulisan yang mengelirukan fikiran orang ramai.

3. Adun Wanita Terengganu, YB Zuraida Mohd Noor, turut mengeluarkan kenyataannya pada 22 April 2019 yang lalu dalam laman Facebook beliau bahawa perkara sebegini bertentangan dengan normalisasi agama, adat, dan budaya ketimuran yang diamalkan sejak berzaman serta tindakan ini mencetuskan pelbagai polemik, keresahan, dan kekeliruan dalam kalangan wanita Islam secara umum.

4. Bagi beliau juga, usaha kesedaran menutup aurat sewajarnya ditingkatkan dan bukannya menjadi pengganggu yang merencatkan akal kefahaman bagi wanita khususnya wanita Muslimah.

5. Sebelum ini, seorang peguam bernama Latheefa Koya Abdullah pernah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita tidak seharusnya dipaksa bertudung dan menggunakan istilah tiada paksaan dalam Islam melalui media MalaysiaKini pada 17 April 2019.

6. Kenyataannya yang juga mengatakan bahawa “seseorang yang tidak memakai tudung; adakah masuk neraka, adakah menjadi murtad, dan adakah menjadi seorang perempuan yang jalang itu ialah pemikiran ekstremis” seolah-olah menggambarkan seperti sangat mengambil ringan terhadap hukum yang telah diarahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat. Firman Allah SWT dalam al-Quran, Surah al-Ahzab ayat yang ke-59:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah ialah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

7. Sebagai seorang pemimpin yang menggunakan dalil al-Quran atau Hadis dalam berhujah, hendaklah pemimpin tersebut tidak sekadar mengambil dasar kepada ayat tertentu, akan tetapi seharusnya memahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan oleh ayat tersebut secara tersirat seperti merujuk Asbab al-Nuzul. Selain itu, perlulah pemimpin tersebut merujuk juga para alim ulama yang arif tentang pentafsiran al-Quran dan Hadis.

8. Pentafsiran ayat tiada paksaan dalam agama haruslah jelas bahawa ayat tersebut hakikatnya ditujukan kepada orang kafir (bukan Islam) bahawa tiada paksaan bagi mereka untuk memasuki Islam.

9. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan Nabi Muhammad SAW sebagai suri tauladan. Allah SWT turut berfirman dalam Surah Taha ayat ke-123 hingga 124 sebagai peringatan kepada kita:

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ

“Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan sesetengah kamu menjadi musuh bagi sesetengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu, nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.”

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

10. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ

“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada kedua-duanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.” (Hadith Sahih Lighayrih; HR Malik, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Nasr, Ibnu Hazm. Disahihkan oleh Syaikh Salim al-Hilali dalam al-Ta‘zim wa al-Minnah fi al-Intisar al-Sunnah, hlm. 12-13)

11. Maka, Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) menyeru kepada semua umat Islam untuk melazimkan diri menuntut ilmu dan yakin bahawa agama Islam ini ialah sebuah agama yang sempurna dalam aspek kehidupan dan agama. Kami juga menyokong sepenuhnya kepada mana-mana individu atau parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tanpa ada cucukan pemikiran-pemikiran yang menentang Islam.

12. Sebagai tambahan, kami juga berterima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri kerana telah mengeluarkan Qalam Mufti #34 bertajuk “Dehijabing dan Paksaan Bertudung” sebagai sebuah respon yang harmoni terhadap isu yang berlaku. Berikut merupakan pautan untuk dirujuk:

http://www.muftiwp.gov.my/ms/sumber/berita/pejabat-mufti-wilayah-persekutuan/3348-qalam-mufti-34-tentang-dehijabing-dan-paksaan-bertudung

Wallahu a‘lam.

“SIGMA INSPIRASI UMMAH”
“MARA BERSAMA ISLAM”

SINERGI GERAKAN MAHASISWI (SIGMA)
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2019

#SigmaInspirasiUmmah
#MaraBersamaIslam
#GAMIS2019

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!