UCAPAN DASAR PRESIDEN

GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)

MUKTAMAR KALI KE-28

 

“MARA BERSAMA ISLAM”

 

MUQADDIMAH

Yang dihormati Tuan Pengerusi Tetap, yang dimuliakan saf kepemimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sesi 2019, mantan pimpinan GAMIS sesi 2018, para pimpinan GAMIS Negeri, perwakilan, dan pemerhati dari setiap kampus, seluruh para tetamu jemputan, serta muktamirin dan muktamirat yang dikasihi oleh Allah SWT sekalian.

 

Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum, selamat datang dan selamat bermuktamar kami ucapkan kepada semua perwakilan dan tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis muktamar tahunan GAMIS kali ke-28 ini. Marilah sama-sama kita mengambil peluang yang ada setahun sekali bagi merapatkan saf sesama kita, bermuhasabah menegur pemimpin-pemimpin kita, saling bertukar idea atau pendapat dan menyelaras strategi serta hala tuju perjuangan GAMIS untuk tahun 2019 yang bakal menjelang. Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak kepada semua perwakilan, pemerhati dan tetamu untuk kita meletakkan harapan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT agar majlis ini berjalan dengan lancar juga diiringi dengan limpah rahmat-Nya.

 

Tidak lupa juga kepada para urusetia Muktamar GAMIS kali ke-28 yang telah bertungkus-lumus menyiapkan segala persiapan dan gerak kerja bermula dari beberapa bulan yang lalu bagi menjayakan Muktamar GAMIS untuk sesi kali ini. Moga-moga Allah membalas jasa kalian dengan balasan yang sebaik-baiknya, Insya-Allah.

 

Sidang muktamirin dan muktamirat yang saya hormati sekalian,

TEMA MUKTAMAR

Marilah kita sama-sama menghayati dan memahami firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan umat Baginda yang lain.

ٱنفِرُواْ خِفَافٗا وَثِقَالٗا وَجَٰهِدُواْ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Pergilah kalian beramai-ramai (untuk berperang di jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kalian di jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kalian, jika kalian mengetahui.” [Al-Tawbah, 9: 41]

 

Menurut Tafsir al-Jalalayn, ayat “انفروا خفافا وثقالا” membawa maksud “berangkatlah dalam keadaan bersemangat atau tidak bersemangat.” Menurut Tafsir Al-Azhar pula, ayat ini bermaksud “berangkatlah kamu dalam keadaan kuat mahupun lemah, dalam keadaan cukup atau dalam keadaan kekurangan.” Walau bagaimanapun, ayat ini telah dinasakhkan oleh ayat ke-91 Surah al-Tawbah iaitu tidak berdosa jika tidak pergi berjihad bagi orang-orang yang lemah.

 

Justeru, wajiblah bagi setiap orang yang beriman untuk mara sama ada dalam keadaan senang atau susah, ringan atau berat mahupun bersemangat atau tidak bersemangat.

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِير

Beristiqamahlah kamu (wahai Muhammad SAW) dan sesiapa yang bertaubat bersamamu dan jangan sekali-kali kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Melihat apa-apa yang kamu lakukan.” [Hud, 11: 112]

 

Berdasarkan ayat diatas , Allah S.W.T memerintahkan kepada Rasulullah S.A.W untuk tetap teguh dengan pendirian. Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan mahupun apabila berdepan dengan musuh yang lebih kuat dan lebih hebat. Jangan pernah sesekali berpaling dari pendirian dan tetap teguh dengan Islam.

Berdasarkan ayat di atas juga, Allah memerintahkan kita agar kekal beristiqamah. Jelas di sini bahawa istiqamah ini merupakan perintah agung daripada Allah SWT. Dua ayat di atas selari dengan tema muktamar GAMIS pada tahun ini; “Mara Bersama Islam.” Allah menegaskan bahawa umat Islam harus mara ke hadapan serta tetap berangkat dalam keadaan ringan mahupun berat.

Tema ini juga menjadi batu asas yang utama bagi kepimpinan 2019 dalam mendepani “Malaysia Baharu”.  Tanggal 9 Mei 2018 merupakan suatu tarikh yang sangat bersejarah bagi negara Malaysia. Selain berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tarikh itu juga menyaksikan berlakunya perubahan dan peralihan kuasa tampuk kepemimpinan negara, yakni berubahnya kerajaan pemerintah daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Hal ini sejajar dengan keputusan undian yang telah diberikan oleh seramai 12,229,514 (82.32%) warga Malaysia yang turun mengundi. Pada pilihan raya tersebut, rakyat terutamanya golongan anak muda dan pengundi senyap (silent voters) nekad lagi sepakat untuk menolak kerajaan BN yang telah memerintah Malaysia selama lebih daripada 60 tahun. Amaran awal telah diberikan oleh rakyat pada PRU-13 apabila undian yang diberikan pada ketika itu menafikan majoriti dua pertiga BN dalam Dewan Rakyat.

Kesepakatan yang wujud dalam kalangan pengundi jelas menolak kerajaan BN apabila undi bukan BN mencecah 66.23% (8,001,934) berbanding undi untuk BN hanya 33.77% (4,080,797). Kuasa penolakan rakyat ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor utama sehingga menghasilkan tsunami yang menamatkan riwayat pemerintahan kerajaan BN. Kebangkitan anak muda atas pelbagai isu yang menghimpit mereka seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kesukaran memperoleh peluang pekerjaan, peningkatan kos sara hidup, peningkatan harga barang, amalan rasuah dan sebagainya yang menatijahkan suatu pusingan atau swing di peti undi. Faktor yang turut menjadi penyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan ialah undian anak muda.  Anak muda pada hari ini yang dilihat mesra gajet dan media sosial teleh memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk memerintah Malaysia. Kejayaan terbesar Pakatan Harapan adalah menguasai pengundi anak muda melalui penguasaan media sosial.

Pasca PRU-14 ini telah merubah lanskap politik dalam negara termasuk dunia perjuangan mahasiswa. Sebagai gerakan mahasiswa Islam, GAMIS melihat era “Malaysia Baharu” telah dihadiri dengan cabaran-cabaran yang lebih mencabar dari sebelumnya. GAMIS melihat antara cabaran yang perlu dihadapi ialah pertembungan pemikiran dan ideologi yang dizahirkan secara jelas oleh pendokong pemikiran barat. Hal ini, bertambah rumit bila mana slogan kebebasan yang dilaungkan oleh kebanyakan mahasiswa telah membuka ruang untuk kepada aliran pemikiran yang pelbagai memasuki kampsu.  Selain itu, cabaran lain adalah dalam menyuarakan hak-hak autonomi mahasiswa yang masih belum diangkat sepenuhnya serta kebajikan dan jaminan masa depan anak muda apabila berdepan polisi Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

 

Namun begitu, masih wujud peluang yang perlu dimanfaatkan oleh gerakan mahasiswa terutamanya GAMIS. Peluang yang jelas perlu dimanfaat ialah dasar keterbukaan kampus yang membolehkan GAMIS lebih bergiat aktif di kampus-kampus. Dasar keterbukaan yang dizahirkan oleh kerajaan di dalam hal urus tadbir negara juga patut diberi perhatian. GAMIS telah diberi diserap masuk oleh Kementerian Pendidikan sebagai sebahgaian Ahli Jawantankuasa Teknikal unutk Kajian Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi mewakili suara mahasiswa. Ini merupakan peluang yang besar yang diberi oleh kerajaan untuk GAMIS mewakili suara mahasiswa.

 

Sesungguhnya, kemenangan yang diperolehi kerajaan PH pada PRU-14 yang lepas telah memberikan suatu perubahan yang maha besar dalam landskap politik negara. Namun perubahan yang berlaku ini tidak akan melunturkan nilai perjuangan mahasiswa yang diletakkan diatas prinsip dan nilai Islam ini. GAMIS akan sentiasa tetap dengan perjuangan ini walaupun cabaran serta peluang bakal menggugat prinsip perjuangan GAMIS. Oleh itu, GAMIS sebagai sebuah gerakan mahasiswa akan bersama seluruh mahasiswa “Mara Bersama Islam” dalam mendepani “Malaysia Baharu” dengan sedaya-upaya dan seluruh jiwa raga kami. Justeru, bagi menyambung mata rantai perjuangan yang suci ini, berikut merupakan paksi-paksi utama terhadap hala tuju perjuangan GAMIS 2019 sepanjang sesi 2019 yang mendatang.

PAKSI 1: TARBIYAH PEMANGKIN NEGARAWAN TARBAWI

Agenda Negarawan Tarbawi menjadi fokus utama GAMIS pada sesi kali ini dalam melahirkan mahasiswa yang memiliki kepimpinan Islam pada masa hadapan. Kepimpinan Islam yang ingin dilahirkan mestilah mempunyai tarbiyah yang kukuh bercirikan aqidah yang sohih, mempunyai kekuatan rohani yang kukuh, memiliki kemahiran yang pelbagai serta pakar dalam bidang masing-masing. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, ayat ke 60:

 

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

 

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” [Surah Al-Anfal, 8: 60]

 

Ayat ini memerintahkan supaya umat Islam dapat menyediakan kekuatan yang merangkumi segala jenis kekuatan dalam menghadapi pihak musuh. Atas dasar memenuhi tuntutan inilah, GAMIS pada sesi kali ini mengambil langkah untuk terus beristiqamah dalam memberi fokus kepada pembentukan kepimpinan tarbawi dalam kalangan mahasiswa Islam di peringkat nasional.

 

Oleh itu, bagi memastikan hasrat Negarawan Tarbawi ini tercapai, GAMIS komited untuk menyediakan inisiatif -inisiatif yang diletakkan diatas 3 fokus utama iaitu pembentukan pemikiran; pemantapan aqidah dan fikrah Islam, kemahiran kepimpinan  yang holisitk serta pembinaan jati diri melalui kepakaran bidang masing-masing.  Sekiranya pembentukan mahasiswa melalui 3 fokus utama Negarawan Tarbawi dapat dilaksanakan. GAMIS yakin bahawasanya masa depan negara ini akan berada dalam tangan golongan yang berpegang teguh dengan prinsip dan nilai Islam.

 

 

PAKSI 2: MELUASKAN DAKWAH, MENGISLAHKAN UMMAH

Permasalahan yang melibatkan gejala social menjadi polemik yang besarkan kepada ummah. GAMIS komited untuk membendung gejala social yang melampaumelalui agenda pengislahan ummah. Agenda ini akan berjaya sekiranya usaha dakwah ini diperluaskan melalui peluang yang wujud dalam masyarakat seperti anak muda dan media social.

Namun begitu, usaha dakwah ini tidak akan tersebar luas tanpa bantuan daripada jentera-jentera utama GAMIS seperti GAMIS Negeri dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI). Kerjasama diantara GAMIS Negeri dan PMI perlukan diperkukuh dan diperkasakan. GAMIS seharusnya menjadi platform kepada mahasiswa bagi mengangkat ikon-ikon dakwah yang sedia ada di kampus. GAMIS optimis untuk melahirkan ikon utama dakwah bagi setiap kampus-kampus utama. Hal ini, bagi memastikan usaha dakwah yang dibawa oleh GAMIS akan terus tersebar kepada mahasiswa di kampus-kampus utama ini.

 

Dakwah bukanlah tanggungjawab alim ulama semata-mata, bahkan mahasiswa Islam perlu sedar akan keutamaan peranan ini dalam menjadi sebahagian tulang belakang gerakan dakwah. Allah SWT berfirman:

 

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

“Kalian (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, kerana kalian menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kalian pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” [Ali ‘Imran, 3: 110]

 

GAMIS Youth Relief (GYR) merupakan produk kebajikan yang telah diperkenalkan oleh kepimpinan yang lepas. GAMIS 2019 akan meneruskan usaha murni ini malah lebih memperkasakan institusi tersebut bagi memastikan segala hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa dan masyarakat dapat diangkat dengan baik.

PAKSI 3: MENDOMINASI GERAKAN MAHASISWA DAN ANAK MUDA DALAM MENDEPANI CABARAN MALAYSIA BAHARU

 

Pasca PRU-14 ini meperlihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia, bahawasanya terdapat pelbagai cabaran dan peluang yang perlu GAMIS menyeru kerajaan Malaysia hari ini agar komited dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan negara. Kita tidak mahu lagi mendengar siri-siri U-Turn dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan persis kanak-kanak yang tidak tetap pendirian. Tindakan ini bukan sahaja seolah-olah menggambarkan kerajaan tidak jelas dengan polisi yang dibawa oleh mereka sendiri bahkan turut memperlihatkan kepincangan kredibiliti kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini. Oleh itu, GAMIS bersedia dan komited dalam memberikan pendidikan politik bagi membentuk pengundi rasional terutama sekali golongan pengundi muda menjelang PRU-15 yang akan datang agar pisang tidak berbuah dua kali.

 

Selain itu, pasca-PRU-14 turut menyaksikan Kerajaan Malaysia hari ini tidak serius dalam mendukung agenda mahasiswa dan anak muda. GAMIS menyatakan rasa kesal terhadap komitmen kerajaan yang bukan sahaja gagal mengangkat agenda mahasiswa menerusi pembentangan Bajet 2019, malah menambah pula beban mahasiswa. Amatlah mendukacitakan tatkala belanjawan yang terlihat besar perbelanjaannya memperuntukkan perhatian yang sempit sekali terhadap ikhtiar hidup mahasiswa, bukan sahaja semasa menjalani sesi pengajian bahkan jua survival pascagraduasi.

 

Begitu juga dalam isu PTPTN yang dapat dilihat dengan jelas melalui sikap kerajaan yang bukan sahaja gagal menunaikan janji manifesto yang digula-gulakan kepada anak muda dalam PRU lalu malahan memperkenalkan pula polisi yang amat zalim berbanding zaman kerajaan Barisan Nasional. GAMIS 2018 telah membuktikan bahawa suara mahasiswa bukan sampah yang hanya dikuis-kuis. Perjuangan isu PTPTN telah membuktikan hampir ribuan mahasiswa daripada seluruh negara bersama dengan GAMIS dalam mengangkat isu kemahasiswaan.

 

GAMIS sentiasa konsisten memperjuangkan isu yang membabitkan hak-hak mahasiswa, termasuk aspek kebajikan, kebebasan bersuara serta kemandirian mahasiswa dalam membuat keputusan demi kebaikan mahasiswa secara keseluruhannya. GAMIS menolak sekeras-kerasnya segala campur tangan mana-mana pihak yang mahu menggugat autonomi mahasiswa di peringkat universiti. Pindaan AUKU yang hanya menyentuh aspek kebebasan berpolitik di dalam kampus tidak memenuhi aspirasi autonomi mahasiswa yang galak dilaungkan ketika berada di kerusi pembangkang.

 

Selain berpencak di gelanggang politik nasional, GAMIS komited mewarnai pentas demokrasi kampus. GAMIS komited dalam memastikan kemenangan pilihanraya kampus di seluruh kampus dimenangi secara majoriti oleh mereka yang mempunyai fikrah Islam yang jelas dan sentiasa berpegang kepada perjuangan mahasiswa ini.

 

GAMIS akan terus menerapkan budaya berpolitik secara matang dalam menangani sebarang isu. GAMIS sentiasa terbuka terhadap ruang diskusi bagi mencari penyelesaian terbaik berlandaskan Islam terhadap sebarang isu.  GAMIS turut bersedia menjadi agen penerangan, namun seandainya pintu rundingan ditutup, GAMIS tidak teragak-agak untuk menyerang.

PAKSI 4: SIGMA INSPIRASI WANITA MUDA

SIGMA perintis mahasiswi yang OPTIMIS

Cabaran kehidupan kini yang menekan, seolah-olah kembali meletakkan golongan wanita di taraf terendah sepertimana yang berlaku ketika zaman jahiliyyah. Golongan wanita juga merupakan penyumbang bilangan yang besar dalam permasalahan gejala sosial yang melampau. Hal ini kerana, ramai wanita pada hari ini terdedah dengan cara fikir barat yang terlalu memberi penekanan terhadap kebebasan. Masalah ini, telah memperlihatkan kepada kita kepada kemunculan kelompok manusia yang memusuhi Islam dan ‘opportunist’ seperti Sister in Islam (SIS), yang cuba memperjuangkan isu LGBT dan feminism. Sedangkan Islam menganjurkan kepada kita keadilan lelaki dan perempuan iaitu meletakkan wanita dan lelaki pada tempatnya. Malah, jalan utama mencapai keredhaan Allah adalah dinilai berdasarkan dasar keimanan dan ketaqwaan. Firman Allah SWT dalam Al-Quran surah An-Nahl ayat 97:

من عمل صالحا من ذكر او انثى وهو مؤمن فلنحيينه حياة طيبة و لنجزينهم اجرهم باحسن ماكانوا يعملون

“Barangsiapa yang beramal Soleh, lelaki atau perempuan sedang dia adalah seorang yang beriman, maka kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan akan Kami beri pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” [An-Nahl, 16: 97]

Oleh yang demikian, SIGMA dengan bertanggungjawab dan komited akan berusaha tampil di kalangan mahasiswi seluruh Malaysia bagi membentuk sikap optimis dalam diri mahasiswi. Sikap optimis akan dibentuk melalui inisiatif-inisiatif yang berbentuk pentarbiyahan dan didikan khusus untuk mahasiswi. Pada fasa awal, SIGMA akan menyantuni mahasiswi dengan menjadi agen penerangan tentang bahayanya isu-isu feminism. Kemudian, SIGMA akan berusaha menganjurkan program pentarbiyahan terbesar yang mengumpulkan mahasiswi seluruh Malaysia di fasa pertengahan atau pengakhiran kepimpinan. Melalui inisiatif-inisiatif ini, dengan pembawaan sikap ‘optimis’, SIGMA keterhadapan untuk membentuk diri mahasiswi yang lembut dan dipangku dengan ketegasan serta berintelektual tinggi sebagai benteng utama dalam memelihara mahkota diri yang mempunyai nilai tertinggi dalam diri seorang wanita.

SIGMA Ikon Wanita Muda

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, surah At-Tawbah ayat 71:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberikan rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”  [Al-Tawbah, 9: 71]

 

Berdasarkan ayat di atas, Allah menjelaskan kepada kita bahawa tugas dakwah bukan sahaja terletak pada bahu lelaki, bahkan wanita turut sama bertanggungjawab menggalas amanah sebagai pendakwah. Tugas pendakwah yang dimaksudkan di sini adalah yang pertama: dakwah terhadap diri sendiri iaitu amal fardhi, yang mencakupi solat, zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul. Yang kedua: dakwah terhadap orang lain dan melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar.

Sinergi Gerakan Mahasiswi atau dikenali sebagai SIGMA lahir dengan sejarah dan corak gerakan mahasiswi yang tersendiri di mana ianya merupakan cabaran yang besar kepada kepimpinan mahasiswa amnya dengan memfokuskan agenda GAMIS dalam ruang lingkup hal ehwal wanita, keluarga dan masyarakat. Saban tahun, gerakan wanita dilihat kaku dalam mengorak langkah, terbelakang dalam menyediakan idea solusi Islam kepada masyarakat. Justeru itu, SIGMA akan menjadi gerakan wanita yang aktif dan progresif dalam menjadi rujukan kepada masyarakat khususnya kepada wanita muda dalam menjawab isu-isu wanita yang berbangkit. SIGMA juga bersedia menjadi agen penyatuan badan-badan dakwah siswi kampus, NGO wanita luar dan gerakan-gerakan wanita diperingkat nasional seluruh Negara demi menyebarkan dakwah kepada golongan warga emas, ibu tunggal dan wanita muda.

PAKSI 5: JARINGAN KORPORAT

Jaringan Kampus dan Negeri

Kekuatan yang dimiliki oleh GAMIS terletak pada rangkaian di peringkat negeri dan kampus di serata negara. Namun begitu, masih banyak ruang yang perlu diterokai bagi mengoptimumkan kapasiti tersebut agar usaha yang berterusan sentiasa dipacu demi melahirkan penyokong dan pendukung perjuangan Islam.

Mendepani kerencaman era Malaysia Baharu, terdapat potensi yang boleh dimanipulasi sekaligus memberikan maslahah kepada GAMIS. Kebebasan akademik yang mulai dinikmati pasca-PRU-14 membuka ruang kepada GAMIS agar lebih berani menembusi kampus-kampus dan menampilkan figura serta pendekatan Islam. Hubungan dengan rakan strategik di kampus seperti Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan gerakan politik terus dijalinkan bagi mengangkat agenda tarbiah, dakwah dan siasah.

Penyelarasan gerak kerja melibatkan cawangan GAMIS di negeri-negeri perlu ditambah baik bertujuan menjamin impak yang menyeluruh di samping menzahirkan keutuhan organisasi ini kepada pandangan awam. Maka, perancangan dan pelan tindakan akan dikemas kini bersifat atas bawah (top-down) pada setiap suku tahunan merangkumi survival Islam, politik dan kenegaraan, isu mahasiswa dan sebagainya.

Jaringan NGO

Keharmonian negara, agama dan bangsa boleh dilihat melalui kepentingan jalinan kerjasama dan kesatuan antara NGO-NGO terkemuka atau seluruh Malaysia ini dalam membawa hasrat rakyat dan anak muda khususnya. Melalui wasilah ini, rakyat dan anak muda khususnya mampu menjadikan hasrat mereka sebagai penyemak imbang antara pihak pemerintah dan rakyat. Maka, berdasarkan tunjang kesatuan ini, GAMIS pada sesi kali ini tekad untuk terus memperkasakan hubungan bersama NGO-NGO seluruh Malaysia dalam mengangkat isu mahasiswa dan kemasyarakatan.

Jaringan Antarabangsa

GAMIS pada sesi kali ini akan terus beristiqamah memperkasa hubungan GAMIS di peringkat antarabangsa dengan lebih banyak membina hubungan dan jaringan bersama gerakan-gerakan mahasiswa di peringkat antarabangsa. GAMIS akan sentiasa komited dalam menjadi suara utama bagi memperjuangkan isu-isu yang berkaitan Palestine serta akan terus berusaha untuk membina kesedaran dan kecaknaan dalam kalangan masyarakat.  GAMIS juga optimis untuk menjadi pencetus dan ejen penggerak kepada berkumpulnya seluruh gerakan mahasiswa Islam dunia. Hal ini, bertujuan memastikan kesatuan yang dibina antara gerakan mahasiswa Islam sedunia ini menjadi asbab kepada kebangkitan Islam diperingkat antarabangsa.

 

 

 

PAKSI 6: MELEBAR LUAS KUASA JARINGAN KERJASAMA MERENTASI BANGSA DAN AGAMA

Melihat kepada isu-isu yang berkaitan dengan sentimen kaum belakangan ini, GAMIS mengambil inisiatif untuk mengukuhkan jaringan kerjasama merentasi sempadan kaum. GAMIS melihat kewujudan persatuan-persatuan bukan Muslim dan bangsa-bangsa lain sama ada di peringkat universiti mahupun badan bukan kerajaan (NGO) sebagai ruang untuk memperkukuh perpaduan kaum di negara ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Mumtahanah ayat ke-8:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Allah tidak melarang kalian daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kalian kerana agama (kalian), dan tidak mengeluarkan kalian dari kampung halaman kalian; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [Al-Mumtahanah, 60: 8]

 

Besar harapan GAMIS dalam mencari titik persamaan dan ruang persaudaraan yang merupakan nilai-nilai fundamental bahkan menjadi pemangkin dalam perkembangan ketamadunan dan kemajuan Islam itu sendiri.

 

Bukan itu sahaja, GAMIS pada sesi kali ini akan berusaha mewujudkan satu simpulan persahabatan dan persaudaraan bersama-sama dengan rakan-rakan bukan Muslim. GAMIS 2019 menyasarkan untuk membina jaringan bersama 30 persatuan bukan Islam yang lain melalui salah satunya mengadakan konvensyen yang memberi fokus tentang perpaduan negara kita di peringkat nasional. Konvensyen yang disasarkan akan melibatkan lebih daripada 10 NGO bukan Muslim ini pastinya dapat menjadi batu loncatan dalam membina perpaduan negara yang lebih utuh.

 

Persepsi bahawa Islam hanya untuk Melayu sahaja yang sudah sekian lama tertanam dalam diri rakan-rakan bukan Islam haruslah dihakis. Oleh itu, GAMIS membuka ruang dan peluang seluas-luasnya dalam membentuk jaringan perpaduan kaum. Dari suatu sudut, perkara ini bukan sahaja membawa manfaat kepada Islam, bahkan kepada semua masyarakat Malaysia umumnya kerana Islam itu merupakan rahmat kepada seluruh alam. Kebersamaan yang bakal dibina ini akan membuka ruang kepada GAMIS dalam mengangkat isu-isu kebajikan mahasiswa daripada pelbagai lapisan kaum dan agama.

PAKSI 7: PEMERKASAAN ORGANISASI DAN IMEJ GAMIS

GAMIS memandang tinggi dari sudut profesionalisme dalam memastikan keberkesanan sudut pengurusan organisasi. Bagi menjamin kerelevanan GAMIS di peringkat nasional, seharusnya sistem pengurusan yang diterapkan adalah berpaksikan efisien dan efektif. GAMIS akan berusaha sedaya upaya untuk mengaplikasikan sistem organisasi yang berkesan bagi memastikan gerak kerja dakwah, politik yang dibawa dipercayai oleh semua peringkat samada kampus, negeri dan nasional.

 

GAMIS juga akan memperkasakan pengurusan sumber manusia bagi memudahkan penyaluran tenaga dengan memanfaatkan sebaiknya medium yang sedia ada. Medium tersebut adalah medium kesukarelawanan yang mana ia diperlukan untuk bersama-sama dalam menggerakkan front ini supaya segala movement yang telah dirangka dan dirancang akan lebih laju dan berjaya.

 

PAKSI 8: MEMPERKASA STRATEGI PENERANGAN YANG EFEKTIF DAN BERDAYA SAING

Mempergiat Jalinan bersama Media Arus Perdana

GAMIS sebelum ini telah berjaya menjalinkan hubungan dengan beberapa media arus perdana dalam mempertingkat sebaran isu-isu yang dibawa. Menyedari hakikat keberkesanan media arus perdana ini, GAMIS akan berusaha menjadikan gerakan mahasiswa ini sebagai sumber utama bagi membawa suara mahasiswa untuk diketengahkan oleh media arus perdana dalam perbincangan dan bertindak balas terhadap isu-isu di peringkat nasional.

Kepelbagaian Kaedah Penyampaian yang Lebih Kreatif dan Interaktif

Jika diperhatikan perihal mahasiswa era ini, mereka lebih tertumpu kepada penyampaian yang berbentuk gambar, video, dan bahan media yang menarik serta isi yang di luar kotak pemikiran biasa. Justeru, GAMIS kali ini akan menambah baik isi dan kaedah penyampaian agar mampu menerobos emosi para mahasiswa. Selain itu, GAMIS juga akan berusaha memperbaik penerangan dari sudut tarbiah dan dakwah dengan cara kerjasama kelompok pendakwah media sosial seperti Cocombee, Teega, dan lain-lain agar kita mampu untuk menyentuh kumpulan sasaran yang lebih luas terutamanya mahasiswa dan anak muda.

Penguasaan Media Baharu dan Penyelarasan di Peringkat Penerangan

Menyedari dominasi musuh Islam dalam media baharu, berita yang tidak sahih dan tidak telus terus berlegar di sekitar mahasiswa dan anak muda. Hal ini membimbangkan kita kerana boleh mempengaruhi minda kelompok mahasiswa dan anak muda. GAMIS komited untuk bersama PMI di seluruh kampus  bagi menguasai media baharu sebagai platform penerangan yang pantas menangkis isu-isu yang dangkal sekaligus mampu mempengaruhi minda kelompok pengundi termuda ini untuk mengundi Islam.

 

KESIMPULAN

“Mara Bersama Islam” merupakan tema muktamar pada kali ini. Maka marilah kita bersama-sama di dalam satu saff dan berdiri teguh untuk memahami dan menggerakkan Gerakan Mahasiswa yang kita dokongi ini.  Kita satukan jiwa-jiwa kita untuk bersama GAMIS dalam mendepani segala bentuk cabaran yang akan dihadapi sepanjang sesi 2019 ini.

Justeru, berikut merupakan seruan bertindak Presiden GAMIS 2019 kepada semua perwakilan yang dirahmati oleh Allah S.W.T.

 

1.Dalam memastikan saff yang dibina untuk menggerakkan GAMIS dengan agenda “Mara Bersama Islam” ini berdiri utuh dan teguh, ahli GAMIS perlu mempersiapkan diri dengan keabsahan fikrah perjuangan Islam yang tulen.  Ahli GAMIS yang ada pada hari ini datangnya dari pelbagai bidang dan didatangi dengan pelbagai kebolehan dan kemahiran. Gerakan mahasiswa Islam yang dikatakan tidak mampu bersaing dengan front-front mahasiswa lain kerana tiada kepimpinan yang kompeten. Maka, ahli GAMIS perlu sentiasa bersedia kepakaran bidang dan kemahiran masing-masing dalam mengangkat syiar kepimpinan Islam di mata masyarakat dan mahasiswa.

Kesatuan fikrah dan amal menjadi kekuatan sesebuah gerakan. Oleh itu, kesatuan yang diletakkan diatas asas kefahaman yang jitu akan memastikan GAMIS sentiasa menjadi sebuah Gerakan Mahasiswa Islam yang sentiasa releven dan menjadi kuasa dominasi utama di peringkat nasional. Disamping itu, seruan kepada semua ahli GAMIS untuk terus membina jati diri sebagai mahasiswa Islam dengan ilmu-ilmu dan kemahiran yang dapat memberi manfaat kepada perjuangan ini. Perjuangan ini tidak akan sempurna sekiranya hanya diletakkan diatas asas semangat semata-mata. Hal ini kerana, idealisma mahasiswa Islam diletakkan atas asas dan nilai ilmu.

  1. Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di seluruh kampus perlu sentiasa menyatakan kebersamaan yang jitu terhadap agenda perjuangan yang dibawa oleh GAMIS. Kita seharusnya meraikan dasar keterbukaan yang diperkenalkan di seluruh kampus oleh kerajaan. Hal ini kerana, dasar yang diperkenalkan ini akan lebih melebar luaskan lagi usaha dakwah yang dibawa oleh GAMIS dan PMI kampus-kampus. PMI kampus perlu lebih bergerak ke hadapan dan sentiasa bersaing dengan front-front dakwah mahasiswa yang lain. Rancak suasana dakwah di setiap kampus-kampus.
  2. GAMIS Negeri dari seluruh negara, perlu berusaha untuk perkasakan kembali fungsi dan pergerakan GAMIS di peringkat negeri. Kembalikan kerjasama dan tautan ukhuwah bersama mahasiswa diperingkat negeri. Perbetulkan haluan kalian, agar pergerakan yang disusun diperingkat nasioanl dan negeri seiring dan jitu. Elakkan perbezaan haluan antara nasional dan negeri. Sentiasa bersedia untuk menyahut segala pergerakan GAMIS Nasional diperingkat nasional. Kesatuan dan kebersamaan ini akan menatijahkan kekuatan GAMIS disemua peringkat.

Seruan ini bertujuan untuk kita sama-sama menjadi sebahagaian dari usaha-usaha untuk menegakkan dan meninggikan syiar Islam diatas muka bumi Allah S.W.T ini serta menguatkan lagi gerakan mahasiswa yang ditunjangi dengan prinsip Islam ini.

Akhirnya, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Pengerusi Tetap Muktamar, Jawatankuasa Panitia Muktamar, mantan pimpinan GAMIS 2018, para pimpinan GAMIS Negeri, perwakilan dan pemerhati yang datang daripada setiap kampus, para tetamu dan semua pihak yang membantu bagi menjayakan Muktamar Tahunan GAMIS kali ke 28 ini.

 

Mudah-mudahan segala amal dan pengorbanan kita semua ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Saya akhiri ucapan dasar Presiden GAMIS 2019 ini dengan menukilkan sabda Rasulullah SAW:

سيروا على بركة الله.

الله أكبر!, الله أكبر!, الله أكبر!, الله أكبر!